hidup dan politik(mingguan wasilah-6-12 july08)
Posted on July 9, 2008, under Uncategorized.
Sejujurnya saya,atau mungkin mewakili para Marhaen atau rakyat biasa,terpanggil untuk sama menyuarakan pendapat dan cerita tentang Politik dan iklim panas dan bercelaru yang sedang kita hadapi hari ini.Dan sejujurnya juga saya merasakan berhak untuk menyuarakan pendapat tentang apa yang dirasakan perlu dan betul sebagai mewakili hak saya sebagai warganegara Malaysia.
Politik itu kepentingan dan kuasa.Orang berpolitik untuk mencapai apa yang dimahu dalam hidupnya.Buruk dan baik itu permainannya,kejujuran itu pertaruhannya,walau hanya sekadar kata-kata,itu pun mencukupi untuk meyakinkan kita terutamanya Melayu
Yang masih lemah dalam serba-serbi terutamanya dalam bab pemikiran.Sebab lemahnya orang melayu ni adalah kerana mereka tidak suka berfikir sangat,hanya yang sedang-sedang saja.Itu sebab Melayu sangat mudah dimanipulasi pemikirannya.
Dan sejujurnya juga saya tidak mempercayai orang Politik,sebab bagi saya mereka hanya sekadar pelakon yang hebat dipentas yang namanya kehidupan ini.Semua orang Politik itu dikatakan sempurna dimata masyarakat,imej seperti Malaikat yang tak punya dosa.Hakikatnya?Kita boleh menipu antara sesama,tapi kita tidak dapat menipu diri dan Tuhan sekelian alam.Wallahualam..
Cuma saya sukakan Politik dan ceritanya,sebab saya sebahagian dari ceritanya.Dan mahu tak mahu saya perlu mengambil berat tentangnya.
Sistem Kehakiman tergugat dek kerana kuasa menguasai segalanya,saya pun tersentak sama,kerana saya pun bernaung dibawah satu sistem kehakiman yang sepatutnya telus dan adil.Harga minyak naik,saya terbabit sama,orang lain mengeluh begitu juga saya.Harga beras naik,saya pun sakit kepala juga.Sebab congak-congak bodoh pun kita tahu yang kita ni Negara pengeluar minyak dan pengeluar Beras,dan tak sepatutnya Negara kita menghadapi kemelut kenaikan harga ini.Pendapatan sara hidup masih ditakuk lama,dan Kerajaan seperti biasa,masih mengatakan merekalah yang benar dalam apa saja keputusan yang melibatkan rakyat dan ekonomi.Untuk hidup dizaman ini walau pendapatan hanya sekadar rm 2000,ianya masih tidak mencukupi ditambah pula jika kita tinggal di kota besar,seperti Kuala Lumpur contohnya.
Sepatutnya pendapatan rakyat dan Negara perlu seimbang dengan kenaikan harga barang dan minyak dipasaran dunia,kerana jika harga minyak melambung dipasaran dunia,secara tak langsung pendapatan Negara juga meningkat,sebab kita Negara pengeluar minyak,bukan pembeli.Yang nyatanya pendapatan rakyat terutamanya golongan bawahan masih ditakuk lama.Walau apa alasan yang diberi,Kerajaan perlu melakukan sesuatu yang berkesan dan memberi kesenangan pada rakyat.Jangan hanya sekadar berjanji untuk menyedapkan hati rakyat,sebab bab berjanji ni semua orang boleh buat,Cuma perlaksanaannya.Sistem itu apa pun kaedahnya mungkin betul,perlaksanaanya yang boleh dipertikaikan,kerana yang memainkan peranan adalah orang-orang atas yang mungkin berkepentingan dan rakus untuk kepentingan peribadi.Dan sebab utama yang memainkan peranannya juga kita ini spesis makhluk yang namanya manusia yang punya akal,yang bernafsu dalam segala hal.
Alangkah baiknya jika yang mentadbir Negara ini sejenis mesin komputer yang diprogramkan,disetkan untuk satu tempoh oleh para cerdik pandai yang jujur sebagai makhluk Tuhan yang faham hukum-hakam.Dan semua rakyat tidak akan punya masaalah lagi dengan subjek ketidakadilan.Pun masaalah juga,sebab bukankah hidup ini satu permainan juga,menguji akal waras kita sebagai manusia,bukan hanya kita,bahkan semua makhluk termasuk binatang pun ada permainan politiknya sebagaimana konsep cerita anak Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil,watak baik dan jahat.Iblis dan Malaikat pelengkap takdir.
Dan sejujurnya juga,kita sebagai manusia semakin tidak mempercayai sesiapa pun lagi.Kawan makan kawan,dimana-mana pun berlaku,kita semakin selfish,dan kita hanya percaya pada yang terdekat dengan kita saja,anak dan famili kita.Sedang kita pun mudah lupa juga kerana segala yang ada dimukabumi ini hanyalah bersifat pinjaman Cuma.tidak ada yang kekal,melainkan yang Hak.
Kepentingan kadang buat kita lupa siapa kita disisinya.Kita masih berkepentingan untuk dunia dan ceritanya.Kita juga masih berpolitik untuk mencapai hasrat dan impian.Cumanya permainan kita kecil,pertaruhan kita juga kecil,tidak melibatkan Negara dan rakyat,sebab kita hanya rakyat biasa dan jika dikategorikan kita ini penjenayah,mungkin boleh diklasifikasikan sebagai penjenayah kelas tiga,atas kesalahan mencuri aiskrim dikedai mamak contohnya,sebab tak punya cukup wang walau hanya seringgit dua.Maklumlah orang Marhaen,pun tetap jenayah juga namanya.Jika ditangkap,kesannya melibatkan anak dan isteri atau diri sendiri misalnya,pun akhirnya kita akan dipenjara sebab tak punya wang untuk melantik peguam.
Berbeza situasinya dengan orang politik atau orang-orang atas,permainan mereka besar,melibatkan Negara dan rakyat,pun jika ditangkap,mereka masih punya segala kelengkapan dan kesempurnaan duniawi untuk menafikan kejujuran dan kebenaran.Itulah perbezaannya antara kita dan mereka.Kita hanya ikan bilis,mereka pula jerung.Mungkin jerung ada yang baik hati,namun sifat dan fitrahnya jerung ,apa yang boleh kita faham lagi melainkan subjek ganas sesuai dengan sifatnya jerung.
Apapun,moga ada perubahan yang bakal memberi impak yang baik pada kita,orang Marhaen.END.(www.pestajiwa.net)