Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

Frankie Miller- orang hebat

0 comments

Saya mula minat muzik rock tahun 1982. Zaman itu memang banyak anak muda minat muzik rock. Album slow rock banyak di jual hatta di kampung saya sekalipun..ha ha ha..Sebagai pemuzik, saya tidak menafikan lirik-lirik cinta dalam lagu walaupun lagu rock. Bagaimanapun untuk jiwa yang khusus roots muzik saya adalah folk. Itu yang banyak membantu saya dalam karier sebagai busker atau penyanyi di majlis-majlis komersial.

Banyak penyanyi rock atau pop yang saya sangat kagum suara dan penghayatan mereka pada lagu-lagu yang dinyanyikan. Freddie Mercury( Queen),Peter Cetera(Chicago) Steve perry(Journey) Frankie Miller dan beberapa nama lagi yang saya memang suka suara mereka.

Frankie Miller- pertamanya saya dengar lagu hit beliau’ jealousy’ dalam album slowrock tahun 1982 dahulu. Penyanyi dan komposer kelahiran Scotland yang lahir pada 2/11/1949 ini memang bersuara lunak dan sangat popular di pertengahan 70an. Abang saya ada membawa pulang kaset album beliau yang berjudul ‘falling in love’ pada awal 80an dahulu, dari situ saya mula kagum pada suara beliau yang serak-serak basah.

Antara penyanyi hebat yang mengkagumi suara beliau adalah Rod Stewart. Frankie juga seorang penulis lagu yang hebat, cuma kebanyakan tema dalam lagunya adalah cinta dan harapan. Kebanyakan lagu pop memang bertemakan cinta cuma masih dalam bentuk yang rugged. Liriknya tidak berat dan biasa-biasa saja. Dasyat mamat ni. Dia sudah merakamkan 12 album sejak 1973 hingga 2006.


Phil Ochs

0 comments

Saya mengenal beliau melalui penyanyi folk sosialis era 80an, Billy Bragg. Awal 90an dulu, saya suka mendengar lagu-lagu Billy Bragg, dan tentang salah satu cover albumnya yang berjudul ‘The Internationale’, ada beliau bercerita tentang Phil Ochs, yang mana katanya kalau nak dibandingkan dengan Dylan, beliau lebih menghormati karya-karya Phil Ochs.

Bagi Bragg, Phil Ochs lebih pure manakala Dylan pula mengecap kemasyuran sebagai penyanyi folk yang melalui zaman penuh gilang gemilang. Salutnya pada Phil Ochs, hinggakan terdapat sebuah lagu yang berjudul ‘ I Dreamed I Saw Phil Ochs Last Night’ di dalam albumnya, di dedikasikan untuk mentornya itu.

Dari situ saya cuba mendengar lagu-lagu rebel dan protes Phil Ochs kerana bagi saya ianya penting untuk kita tahu dan memberi penghormatan kepada orang-orang hebat yang jujur berkarya tanpa kepentingan yang besar dalam hidup. Saya adalah penggemar muzik Bob Dylan, Nick Drake dan Cat Stevens yang tegar. Muzik folk pula adalah genre muzik yang saya bawakan. Jadi bagi saya ianya subjek yang berkesinambungan .

Saya agak berkecuali dalam menilai mana yang lebih bagus, sebab masing-masing mereka, Dylan mahupun Ochs, ada kelebihan. Mereka muncul dalam era yang sama, pertengahan zaman 60an. Secara umumnya tidak dapat dinafikan Dylan lebih menonjol. Banyak faktor, antaranya Dylan lebih berkarisma, kacak, bijak manakala lagu dan liriknyanya tidak terlalu serius, mudah diterima, variasi sifatnya dan beliau adalah satu fenomena di zamannya.

Agak malang nasib Ochs tidak secerah Dylan. Ianya mengingatkan saya pada era Jimi Hendrix, banyak gitaris hebat yang lain tenggelam nama dan kehebatan mereka dek karisma Hendrix yang mendahului zamannya. Salah seorang gitaris/penyanyi hebat yang tidak bernasib baik Rory Gallagher. Apa boleh buat, Hendrix muncul dengan package yang sempurna sebagai seorang gitaris yang berkarisma.

Di sini memang tidak dapat kita nafikan Ochs tenggelam dek kehebatan Dylan, Sawong Jabo tenggelam dek karisma dan populariti Iwan Fals. Takdir lebih menyebelahi mereka.

Berbalik pada Phil Ochs, penyanyi folk Amerika ini di lahirkan dari pada 19hb disember 1946 dan meninggal pada tahun 9hb april 1976. Bapanya seorang doktor dan mereka berasal dari golongan pertengahan.

Di usia belasan tahun di zaman sekolahnya beliau seorang pemain muzik clarinet yang sangat berbakat dalam memainkan muzik-muzik klasikal. Bila meningkat ke zaman remaja beliau mula beralih minat pada muzik dan lagu-lagu rock n roll Buddy Hollly, Elvis mahupun Johnny Cash.

Di universiti , Ochs berminat dan belajar mengenai kewartawanan dan subjeknya adalah politik. Di situ beliau mula bertemu dengan seorang pemuzik folk, Jim Glover seterusnya mereka bergerak sebagai sebuah duo grup yang mereka gelarkan ‘The Singing Socialists’ sebelum berpecah untuk membawa haluan masing-masing.

Dylan dan Ochs, hero mereka adalah Woody Guthrie, legenda penyanyi folk sosialis yang namanya akan terus dikenang sepanjang zaman. 1963, nama Phil Ochs semakin dikenali. Beliau mula mendapat tempat untuk membuat persembahan di majlis yang dianjur oleh pertubuhan pelajar mahupun dari parti politik, di Carnegie Hall dan Town Hall contohnya, juga di pentas ceramah anti-perang dan protes.

Dylan bahkan menganggap Ochs sebagai saingannya mungkin sebab mereka waktu itu di bawah pengurus yang sama, Albert Grossman.

Dalam waktu yang sama mereka adalah kawan seperjuangan yang boleh dikatakan akrab. Bila peminat Dylan tidak menyukai dia bermain gitar elektrik, Ochs malah mengkagumi Dylan di atas keberaniannya dalam membuat perubahan dalam muziknya.

Bagi saya lagu-lagu Ochs sangat bermutu dari segi proses penciptaan mahupun lirik-liriknya. Unik dan menarik. Cuma tema dalam lagunya serius walau ada unsur-unsur humor yang sarkastik, perang dan protes. Cuba dengar lagu ‘Highwayman’, ‘ Power and Glory’, ‘I aint Marching Anymore’ dan ‘ War Is Over’. Walaupun beliau mengkagumi Woody Guthrie sebagai mentor, namun dari segi penciptaan lagu bagi saya Phil Ochs lebih menarik, Woody pula agak tradisional dan straight forward.

Muzik berirama folk segi prosesnya memang agak sama atau stereotype, mudah cuma cara kita mengolahnya itu yang menentukan mutu dan kualitinya. Cara Ochs mencipta lagu bagi saya menarik kerana melodinya unik, berjiwa dan yang paling utama adalah nilai kejujuran dalam penciptaan itu sendiri.

Betapa hebat dan berpengaruhnya Dylan bila mana diberitakan Ochs mahu menganjurkan sebuah konsert amal, ‘An Evening with Salvador Allende’ untuk membantu penduduk Chile akibat rusuhan dan kematian Victor Jara dan Salvador Allende pada tahun 1973. Pada mulanya konsert itu tidak disertai Dylan, yang bersetuju untuk terlibat dalam program tersebut Pete Seeger dan Arlo Guthrie, anak kepada Woody Guthrie dan Ochs sendiri.

Dylan hanya mengesahkan untuk hadir di saat akhir bila beliau diberitahu yang jualan tiket sangat perlahan. Bila Dylan mengesahkan untuk turut sama mengambil bahagian, jualan tiket habis dengan cepat.

Sepanjang kariernya, Ochs telah menghasilkan 8 album iaitu ‘ All the News Thats Fit to sing’(1964), ‘ I Aint Marching Anymore( 1965), ‘ Phil Ochs in Concert (1966), ‘Pleasures of the Harbour (1967), ‘Tape From California’(1968), ‘Rehearsals From Retirement’(1969), ‘Greatest Hits’(1970) dan ‘ Gunfight at Carnegie Hall(1975)

Lagu-lagu beliau tidak pernah menduduki carta 100 lagu terbaik Amerika, cuma penyanyi folk Joan Baez pernah mempopularkan lagu beliau yang berjudul ‘There but for Fortune’ dan menduduki carta sepuluh lagu terbaik di U.K

Apabila perang Vietnam tamat pada 1975, Ochs mengadakan konsert terakhirnya ‘War is Over’ di New York Central Park yang dihadiri lebih 100,000 penonton. Harry Belafonte, Odetta, Joan Baez, Pete Seeger turut membuat persembahan.

Nasib penyanyi folk selalunya berakhir dengan cerita sedih dan tragis. Nick Drake mati di kerusi malas, depresi, murung dan putus asa dalam hidup. Victor Jara, legenda penyanyi folk Chile yang juga rakan akrab Ochs mati dibunuh, John Lennon yang juga kawan baik Ochs mati dibunuh oleh peminatnya sendiri, Ochs juga mengalami nasib yang sama, murung, sakit mental, kecewa , dadah, arak dan mati.

Kematiannya dikatakan ada sangkut paut dengan keterlibatan pihak-pihak dari CIA dan juga FBI, kerana bagi mereka pengaruh yang ada pada Ochs sangat membahaya dan keterlibatannya dalam konsert protes, politik dan lagu-lagunya tidak disenangi.

Pun begitu, nama Phil Ochs akan tetap dikenang sebagai orang hebat yang pernah wujud di muka bumi ini. Pengaruh dan lagu-lagunya dari generasi ke generasi semakin subur berkembang. Lagu-lagu tribute untuknya dinyanyikan oleh banyak penyanyi terkenal seperti Nancie Griffith, Harry Chapin, John Wesley Harding, Billy Bragg, Lesley Fish, Al Baker dan beberapa nama lagi.

Lagu-lagunya pula banyak dinyanyikan oleh penyanyi seperti Eric Endersen, Billy Bragg, Joan Baez, Cher, Judy Collins, Gordon Lightfoot, Harry Nilsson dan ramai lagi.

Kita boleh pilih jalan hidup kita sendiri. Kalau jalan itu menuju ke neraka, ke nerakalah kita, kalau jalan yang kita pilih itu menuju ke syurga, ke syurgalah kita. Ianya pilihan dan kita pun tak punya banyak pilihan sangat dalam hidup ini sebenarnya.

Jika subjek neraka itu mampu membahagiakan jiwa kita, atau jika syurga itu subjek yang menambah sengsara jiwa kita. Apa pilihan kita?

Muzik folk memerlukan kesabaran panjang yang tidak berpenghujung. Ianya kehendak jiwa. Kadang-kadang kita lemas dengan kehendak keakuan itu sendiri.

Mungkin subjek keseimbangan itu adalah yang terbaik . Terserah.

*disiarkan di (www.jalantelawi.com ) pada 22/11/2010


Antara pop dan klasikal

0 comments

Saya bekerja di Yamaha Music agak lama juga. Dari tahun 1996 hinggalah ke tahun 2004. Berpindah randah dari satu branch ke satu branch.Dari situ saya banyak terdedah pada muzik yang berat seperti classical atau muzik-muzik concerto Beethoven, Mozart, Chopin, Bach Tchaickovsky dan banyak lagilah..Mereka ini genius dalam muzik. Itu saja yang saya faham. Kalau dalam permainan gitar banyak juga yang saya suka dan hebat-hebat belaka. Ada sebuah grand piano berharga rm 650,000 untuk dijual di Kelana Jaya showroom berwarna putih. Dua buah saja yang dijual. Sebuah sudah dibeli oleh seorang yang sangat kaya dan berpengaruh di Malaysia. Bayangkan untuk komisyen sebuah piano yang berharga semahal itu sudah rm 50 ribu.

Semasa saya di Yamaha Music, banyak juga terlibat dengan orang-orang hebat dari seluruh dunia. Mereka ini menjadi duta untuk produk Yamaha. Ada seorang gitaris Klasikal kelahiran Amerika Syarikat yang hebat datang membuat persembahan dan bengkel muzik di sini suatu ketika dahulu. Gitar klasikal yang digunakannya jenama Yamaha berharga rm 40 ribu. Saya pernah cuba gitar itu, memang sedap sangat bunyinya..Itulah penyakitnya bila kita dah cuba berbagai-bagai jenis gitar yang mahal seperti Martin, Taylor dan Yamaha. Semasa saya bekerja di Bentley Music tahun 1995 dulu, saya pernah cuba gitar Taylor yang modelnya saya dah lupa, tapi harganya dalam rm 7 ribu. Memang sedap. Memang berbeza antara gitar mahal dan murah. Yamaha gitar ada model-modelnya yang saya cukup berkenan dengan soundnya. Saya juga pernah menghadiri bengkel klasikal gitar yang dikendalikan oleh sorang otai dari Jepun. Memang menyeronokkan. Barulah kita tahu kenapa gitar itu mahal kerana bergantung pada jenis kayunya. Ada jenis kayu yang di peram selama 15 tahun.

Berbalik pada mamat yang datang dari US tadi, dia ni bagi saya unik. Dia menang 2 kali anugerah muzik yang besar di Amerika.Memang bagus. Yang buat saya rasa dia unik sebab para penonton dah sampai satu jam awal, tapi mamat ni belum sampai lagil. Bila sampai dengan muka tak mandi dan berserabut dia relax je..ha ha ha..tapi permainan klasikalnya sangat hebat. Kalau finger picking dan dia bermain akustik, saya rasa Tommy Emmanuel lebih bagus.

Dua malam lepas saya menonton program ‘Bio’ di TV Astro. Lang Lang namanya. Pianist kelahiran negeri Cina ini seorang yang genius dalam permainannya. Bayangkan terlalu banyak note yang dihafalnya. Menonton kisah Lang Lang ni menarik juga. Berbagai kepayahan yang terpaksa ditempuh oleh ibubapanya untuk karier anak mereka. Untuk bagus kita tak boleh sekadar biasa-biasa. Kena luarbiasa baru keadaan akan menjadi sebiasanya.

Muzik pop dari segi melodinya lebih mudah. Nama pun pop cuma biasanya ia lebih mudah diterima oleh pendengar dan masyarakat dunia. Untuk menghasilkan sebuah album concerto yang diiringi okestra bukanlah murah dan biasanya dari segi pulangan ianya tidak menjanjikan keuntungan.


saki baki nafsu nafsi

0 comments

Saki baki hidup ini marilah kita raikan seadanya kita. Jangan tertekan sangat dengan rencah hidup..anggap ianya sebahagian proses untuk kita menghadapi..Bukankah kita sebahagian dari cerita dan kejadian?
Adakah kita ini penting? Ia betul…Kita adalah pelengkap takdir hidup ini..

Seperkara lagi..jika di situ adanya kebahagiaan, pergilah ke sana..Jika tilam yang nipis itu mampu membahagiakan kita, lenalah di situ bersama mimpi-mimpi yang datang. Jika muzik itu mampu mendamaikan jiwa yang kusut, dengarlah lagi..Jika kita boleh bermain muzik walau dalam bentuk yang seadanya, mainkanlah lagu yang kita suka, yang mampu meleraikan kusut di jiwa..Jika gitar itu mampu menjadikan kita teman setia..dakaplah ia selalu..Apa saja asalkan kita meraas selesa dan bahagia. Apa saja…..


Page 1 of 3123