Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

Semalam

0 comments

Saya dibesarkan di Kampung Kilang, Bruas, Perak.Tinggal di rumah di tepi sungai. Hari-hari saya akan mandi sungai bersama kawan-kawan. Waktu itu kita belum mendapat kemudahan air dan letrik. Peristiwa besar yang saya ingat tahun 1973 itu, P. Ramlee meninggal dunia.
Kalau hujan lebat, air sungai akan melimpah sampai ke tangga rumah.

Dari usia 5 tahun hingga 10 tahun, saya tidak pernah menggosok gigi rasanya. Tidak hairanlah gigi saya hari ini banyak yang rosak. Itu sebab saya sangat tekankan supaya anak-anak saya jangan lupa gosok gigi sebelum ke sekolah dan malam sebelum tidur.

Jika ingin menonton TV hitam putih saya dan saudara saya akan berjalan meredah malam dengan menggunakan lampu suluh ke rumah jiran sekampung yang memiliki TV. Kadang-kadang kami menonton cerita
Pontianak Gua Musang.

1974 saya mula bersekolah di sekolah Gangga. Arwah bapak akan menghantar saya ke sekolah dengan basikal tuanya. Belanja untuk duit sekolah cuma 15 sen. Hari ini belanja sekolah anak-anak rm 2.
Dulu 15 kita boleh beli macam-macam.

Sepanjang tahun 1 persekolahan saya blur, tak ingat apa pun. Sebabnya saya ini buta huruf, naik darjah 2 baru mampu membaca itupun setelah di rotan dengan pembaris sehingga patah pembaris itu di kerjakan oleh abang saya.

Bapak saya waktu itu seorang anggota polis yang di larang untuk menyimpan pistol lantaran sikap panas barannya. Jadi kehidupan kami agak sukar juga. Emak saya akan menjual telur ayam di kedai mamak India. Memang susah waktu itu, tapi saya tidak dapat merasakannya kerana saya blur dan masih tak faham apa-apapun.

Bila sudah agak lama dan biasa dengan jalan untuk menuju ke sekolah, saya berjalan dengan kawan-kawan sejauh 4 kilometer ke sekolah.
Saya ingat lagi waktu itu Tasik Gangga airnya masih belum kering dan ianya memang menyeramkan walau di waktu siang.

Kawan rapat saya waktu itu abang saya, Salehuddin, Zahari, Azmie, Shah Johan(anak saudara) Hari ini Saleh abang saya sudah menjadi guru besar, manakala Zahari anak Pak Ngah Santan sudah meninggal dunia sepuluh tahun lalu.

Zahari atau Aie, dia ni entah macam mana sudah berguru dan menyertai gerakan jemaah tabligh. Untuk satu tempoh saya lihat wajahnya sangat berseri-seri sebagaimana layaknya orang yang berilmu tinggi. Saya pula tinggal di Kuala Lumpur. Apabila saya balik kampung si Aie yang tabligh ni tadi sudah putus wayar dalamnya. Tak tau pula macamana dia boleh jadi begitu.

Itulah, perjalanan hidup kita ini memang misteri dan berbelit-belit. Saya pun tidak pernah dapat menduga perjalanan hidup saya sehinggalah ke saat saya sedang menulis ini.

Bagaimanapun itu perjalanan. Ianya hanyala semalam yang indah untuk dikenang. Ianya umpama catatan dairi masa lalu, terselak apabila angin bertiup nyaman dan saya pun membacanya.


Tuhan dan hijab.

0 comments

Sudah lama saya tidak menulis tentang Tuhan. Kita semua bagi saya boleh berbicara tentang Tuhan selagi kita bernama manusia. Sebabnya Tuhan bukan hanya ada di masjid atau tempat-tempat yang di khaskan untuknya. Dia ada di mana-mana. Dia adalah milik kita semua, kita adalah miliknya.

Hijab- Seusia 5 tahun saya selalu membayangkan Tuhan itu seperti watak kartun Giant Robot. Saya rasa itu hijab saya yang pertama dalam mengenal Tuhan dalam bentuk yang saya faham waktu itu. Gagah, kuat, besar dan hebat.

Selepas itu di usia itu juga saya mengalami sebuah mimpi yang menghantui hidup saya, buat saya cuba memahami apa yang tersirat atau tersurat. Jalanraya yang terbelah dua menjadi sungai yang luas dan saya terselamat oleh sebuah sampan kecil yang membawa saya entah ke mana.

Menginjak ke dunia remaja saya selalu beramal menjalankan suruhannya kerana mahukan ganjaran dan sangat takut akan balasan dosa. Perhubungan saya dengannya waktu itu sangat jauh saya rasa mungkin kerana takutkan Tuhan dan yang lebih utama kerana arwah bapak saya sangat garang dan tegas. Saya beruntung kerana diberikan didikan agama yang secukupnya tentang Al quran dan ilmu-ilmu syariat keagamaan. Cuma yang pasti sikap buruk dan hasad dalam diri saya masih belum terhakis, jadi saya anggap perjalanan saya dalam mengenal Tuhan baru bermula dan masih tidak kesampaian akan maksud dan tujuan.

Ianya buatkan saya menjadi seorang peneroka jiwa. Meneroka segala macam bentuk ruang yang saya nampak dan faham. Kadang-kadang lemas di buai rasa, kadang-kadang selesa kerana ada sinar menerangi jalan saya.

Sudah berpuluh-puluh hijab yang saya lalui, dan saya akui saya suka mendalami ilmu ugama, tanpa mengira apa agamapun, falsafah mahupun ajaran. Saya anggap ianya ilmu dan sangat penting untuk kita tahu.

Hasilnya setelah lama di sini, saya berasa selesa berada di mukimnya.
Daripada tiada kepada ada, ada kepada tiada, terbentuklah kita, berupa dan berwajah.

Saya tidak berminat untuk bercerita tentang kehebatan saya dalam mengenal Tuhan sekelian alam. Sebabnya semakin kita mendekat, semakin kita merasa yang kita ini tidak punya apa pun. Jadi semakin kita tahu, semakin tidak ada cerita untuk di ceritakan. Sebabnya bagi saya, semua kita adalah miliknya. Sayangilah Dia mengikut kefahaman yang kita berasa selesa, faham dan bahagia.

Saya cuma mahu menjalani hidup sebagai seorang manusia di mukabumi Tuhan ini. Berkehendak sebagaimana layaknya seorang manusia yang sedang meraikan hidup seadanya.

Kadang-kadang saya boleh nampak nilai-nilai ketuhanan dalam diri seorang lelaki berambut panjang walau pada zahir dan hukumnya dia mungkin di nilai sebaliknya oleh para bijak pandai. Kadang-kadang saya nampak nilai ketuhanan itu ada dalam diri seorang pengemis yang menadahkan tangan pada orang banyak walau banyak mata sinis memandangnya hina dina. Kadang-kadang apabila seorang buta itu berkata-kata dengan saya, saya nampak sinar terang dalam dirinya, lebih terang dari saya sendiri. Ianya sudah cukup buat saya lebih mengerti bahawa yang sedang kita cari itu ada di dalam, bukan di luar.

Yang di luar adalah sekadar panduan dan panorama yang mungkin akan membuat kita lupa dan mudah terpesona tentang makna keindahan hingga melupakan hakikat kejadiannya.

Tuhan adalah subjek yang hakiki, ianya milik peribadi. Berjalanlah ke arahnya jika kita sukakan subjek kebenaran.


Mental dan mentaliti orang kita.

0 comments

Saya pernah tinggal di Flat milik DBKL selama 6 tahun, sejak tahun 1999 hinggalah penghujung 2005. Kemudian saya dan keluarga berpindah ke Ipoh kerana saya mendapat kerja di sana.

Sistemnya sewa juga tapi murahlah. Sebenarnya sangat susah untuk mendapat rumah di DBKL, saya pun setelah 2-3 kali berusaha, barulah di terima. Itupun diinterview, disiasat latarbelakang keluarga. Seperkara sejak berkahwin, orang rumah menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya tidak percaya orang lain untuk menjaga anak-anak saya. Itu saja. Jadi urusan mencari duit, saya akan lakukan itu kerana itu tanggungjawab kepala keluarga.

Ada yang memohon seperti saya tapi banyak juga pemohon dari kalangan mereka yang di pindahkan dari kampung atau kawasan setinggan yang telah diambil-alih oleh pihak kerajaan.

Masaalah utama tinggal di flat DBKL bagi saya adalah masaalah mental dan mentaliti. Tidak mengira apa bangsa pun samada Cina, Melayu atau India. Vandalism dan masaalah sivik, itulah yang membuat saya tidak berasa selesa tinggal di flat tersebut.

Bayangkan, saya waktu itu baru membeli kereta dan saya pun parkinglah kereta saya di kawasan parking. Tak semena-semena dari tingkat atas mungkin tingkat 15 saya nampak seseorang mencampak cat minyak ke atas kereta saya. Sudahlah warna kereta saya biru metallic, yang di campaknya cat warna putih. Habis rosak kereta saya dan kereta-kereta lain juga.

Kadang-kadang bila balik dari mana-mana, keluar saja dari kereta dengan keluarga kita boleh tengok aksi pergaduhan kejar mengejar dengan helmet budak-budak flat. Memang leceh.

Ada juga yang terjatuh dari tingkat 16 kerana memanjat koridor untuk masuk rumah. Dalam satu kejadian berasingan pula, tak semena-mena sofa dicampak dari tingkat 14 ke tong sampah bawah. Berbagai lagilah, jadi saya sungguh merasa tidak selamat untuk tinggal di kawasan tersebut. Cuma waktu itu kita tidak punya pilihan sangat untuk memilih, sebabnya saya bukanlah seorang yang berharta.

Kes kecurian, dadah, pergaduhan itu memang biasa di kawasan permumahan DBKL. Saya pun tak tahu di mana silapnya dan bagaimana untuk membetulkan masaalah sikap dan mentaliti masyarakat kelas bawahan. Ianya mungkin sudah tertanam dalam diri mereka, berdasarkan dari pengaruh kehidupan dan pemikiran kita.

Apabila kita tidak berilmu dan malas membaca dan berfikir maka kalahlah kita dalam permainan hidup ini. Kita terlalu lemah dan sangat mudah di manipulasi minda dan pemikiran kita ini. Bahan bacaan kita pun kalau hiburan URTV, kalau yang serius Mastika..apalah sangat yang boleh kita dapat dari bahan-bahan seperti itu? Buku-buku ilmiah memang tak akan laku sampaikan bagi saya bahan-bahan sastera punyalah rendah nilainya pada kita sehingga sewaktu jualan murah kita boleh beli bahan bacaan yang sangat tinggi mutunya seperti karya Suhaimi Hj Muhammad atau Rendra dengan harga 50 sen, itupun masih tidak laku. Jika anda tidak percaya silalah berkunjung ke gudang jualan murah DBP jika ada clearance sale.

Yang pastinya kita memang selesa dengan suasana bodoh yang sedang kita lalui ini. Marilah kita meraikan kebodohan kita ini..ha ha ha…


Dunia mereka, dunia kita.

0 comments

Kita manusia ini dikurniakan dengan berbagai peranan dan watak dalam menjalani hidup kita di dunia ini.

Anak-anak saya contohnya, yang paling kecil berusia 6 tahun, bersekolah tadika. Dunianya robot, mainan dan game. Saya selalu ditegur isteri saya kerana suka membelikan anak saya itu mainan. Saya pun bersetujulah dengan tegurannya , mungkin itu habit saya yang terlalu meraikan kehendak anak-anak.

Saya boleh faham kerana saya pernah melalui zaman kanak-kanak. Walau tempoh ghairahnya mungkin hanya 10 minit terhadap setiap barang permainan yang baru , ianya adalah moment yang paling berharga bagi saya sebagai seorang bapa. Dulu saya nak dapat mainan pun susah, isteri saya pun begitu juga.

Saya cuma mahu menghargai dunia kanak-kanaknya, itu saja. Kerana ianya sangat indah dan berharga untuk mereka. Dunia kanak-kanak bukannya lama. Apabila sampai waktu persekolahan seperti abangnya, dia akan tinggalkan dunianya untuk ke musim yang baru.

Abangnya pula sukakan game dan permainan dunia IT terkini, sesuai dengan usia kanak-kanak berumur 9 tahun. Jadi setiap kehendak mereka kalau boleh saya mahu tunaikan kerana mahu mereka lalui dunia keremajaan mereka dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Waktu malam sebelum tidur saya suka melayan anak saya bersembang terutama tentang robot yang baru dibeli untuknya, walaupun harga robot tersebut hanyalah tidak melebihi rm 10, ianya adalah subjek yang besar untuk anak saya itu. Jadi dia akan bersungguh-sungguh bercerita tentang kehebatan robotnya dan saya pun akan kelihatan bersungguh-sungguh memuji betapa hebatnya anak saya dalam memasang robot-robotnya itu.

Itulah, bahagia itu datang dari kita sendiri. Kita boleh corakkan dalam bentuk yang bagaimana dan untuk apa. Tidak perlukan kekayaan untuk mendapatkannya. Kerana ianya milik untuk kita yang bernama manusia.
Mari kita terjemahkan dalam bentuk yang kita rasa selesa dan bahagia, aman dan damai.


Page 3 of 512345