Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

CERITA DALAM LAGU

0 comments

Saya mula dengar lagu Ebiet tahun 1980 kalau tak salah saya. Camellia 1, 2, 3 dan 4. Semua kaset dibeli oleh abang saya sewaktu dia ke Indonesia. Ebiet adalah pembuka jalan untuk saya belajar dan ambil tahu tentang apa yang mahu disampaikan dalam setiap melodi yang dilagukan. Ebiet bercerita tentang kejujuran, masa lalu, kenaifan, ketidakpercayaan pada wujud Tuhan malah kecintaannya kepada Tuhan dan alam dalam bahasa yang sangat unik dan indah. Dalam masa yang sama kenakalan dan pengakuannya jelas dalam lagu ‘cinta di keretapi biru malam’, atau cerita tentang ‘lelaki ilham dari syorga’malah cerita ‘camelia iv nya sangat misteri untuk diungkapkan. Sehingga apabila saya mendengar muzik Kembara waktu itu, liriknya bagi saya hanya 50% sahaja dari apa yang Ebiet miliki. Sehingga juga apabila saya cuba mencipta lagu pengaruh Ebiet sangat kuat sehingga cara nyanyi dan lirik pun nak macam Ebiet. Ha ha ha..

Lirik dalam lagu memang penting bagi saya. Apa yang mahu disampaikan yang itu yang saya mahu tahu. Dari Fals, Ebiet, Gombloh, God Bless, Doel Sumbang, Dylan, Cat Steven, Nick Drake dan banyak lagi folk singer yang hebat-hebat, saya belajar dan tahu banyak benda dari mereka.

Apabila Fals menyatakan protes kepada Tuhan dalam lagunya ‘tolong dengar tuhan’ atau protesnya terhadap sistem politik negaranya dalam nada yang sangat telus saya salut dan dia memang hebat dalam menyatakan pendapatnya.

Apabila Gombloh bercerita tentang perhubungan kasih antara anak yang bapanya seorang pencuri, ianya benar-benar memberikan saya pelajaran dan renungan. Banyak yang dapat kita belajar sebenarnya melalui lagu-lagu yang bagus.

Apabila saya mendengar Doel Sumbang berlagu dalam lagunya ‘aku tidak sinting’ saya tidak dapat menggambarkan betapa rabak dan telus nya dia bercerita dalam lagu dalam haru yang amat sangat. Ha ha ha. Mana ada penyanyi yang bercerita tentang mukanya yang hodoh atau kurap yang hinggap di celah kangkangnya melainkan Doel Sumbang? Ha ha ha

Pengalaman akan mendewasakan kita. Ambil dan ambillah mana yang sempat kita ambil, jadi bekal dalam dada menjadikan kita orang yang berilmu dan banyak tahu tentang hidup dan kejadian.


SESAT DALAM TERANG

0 comments

Baru-baru ini saya berjumpa dengan seorang brader otai yang terlalu taksub dengan muzik ‘blues’ dan ‘southern rock’. Permainan gitarnya bagus. Sewaktu saya perform di Bara 1 Bistro dengan Nan, brader ni menunjukkan permainan muzik southern dengan gitar saya yang dipinjamnya. Lagu ‘sweet home alabama’ yang dimain dan dinyanyikannya bagai sudah sebati dengan diri dan kehidupannya.Tapi seperti kata kawan saya Nan, lagu itulah yang selalu dimainkannya. Memang melekatlah. Cuma brader ni genre muzik lain dia tak layan. Dia hanya suka ‘blues’ dan ‘southern rock’..Lynrd Sknrd dan Allman Brothers terutamanya. Bagi saya brader itu bukan pemuzik sejati. Itu sebabnya dia sampai ke sudah hanya berada di tahap itu saja pencapaiannya, tidak ke mana-mana. Sudah itu yang menjadikannya bahagia, apa yang kita boleh katakan lagi?

Sayapun suka muzik blues. Pun saya suka semua jenis muzik juga. Jika kita memilih untuk menjadi pemuzik kita perlu variasi. Kalau ikut saya, saya suka muzik progresif dan folk.
Pengalaman saya melalui busking, lagu yang di suka pendengar adalah lagu popular evergreen terutamanya. Saya di awal busking dulu suka menyanyikan lagu-lagu ikut kepala saya, tapi sudahnya saya hanya syok sendiri. Ha ha ha..Kesannya ‘collection’ kuranglah…Bila kurang kira tak bestlah..Ha ha ha

Banyak juga kawan-kawan pemuzik dan peminat muzik yang saya kenal yang tersangkut dengan zaman mereka. Kalau yang gila 60an tu sampai ke hari ini dia akan bercerita pasal lagu-lagu 60an je lah. Genre muzik lain mereka memang tak boleh masuk. Kalau yang gila ‘blues’ tu hanya muzik ‘blues’lah segala-galanya bagi mereka.

Kalau ikutkan saya, saya tak suka sangat nak menyanyikan lagu Ronan Keating atau Savage Garden contohnya, tapi untuk menghiburkan orang, kita kenalah terbuka dalam banyak hal. Bukan senang nak senang sebenarnya. Kita jangan rumit atau sempitkan otak kita dengan kenangan masa lalu. Kita kena lepaskan, kita perlu ada di setiap zaman seperti yang Eric Clapton lakukan. Itulah yang cuba saya lakukan.

Apabila kita bersembang dengan kanak-kanak, apa salahnya kita raikan dunia mereka dan duduk sebentar dalam dunia mereka . Hasilnya ketawa dan senyum kita itu masih ikhlas dan bukan dibuat-buat. Percayalah, kita tidak akan rugi untuk alasan itu..

Kita boleh bercerita tentang blues, pop, rock, metal, trash, experimental, new age, southern, jazz, rock n roll, ballad, langgam, inang, zapin dan sebagainyalah..


YANG INDAH DAN TAK INDAH

0 comments

Muhasabah adalah latihan terbaik untuk ikatan perhubungan antara nafas dan pencipta. Turun naik nafas akan seiring dengan rasa kosong kita yang tak punya apa. Kita katakan itu penyerahan, mati sebelum mati.

Adalah bagus bagi saya kalau kita cuba untuk memahami alam dan kejadian ini seadanya. Seadanya maknanya sempurna dan sebaliknyalah. Kita manusia memang berbeza cara fikir dan pandangan mahupun minat, tapi jika kita rasional kita akan lebih bahagia. Bahagia bilamana kita faham apa makna bahagia itu sendiri. Bahagia bilamana kita merasa kita akan ‘cool’ apabila kita tinggal di dalamnya. Bahagia juga bilamana kita mampu menilai setiap afaal itu hanyalah sebahagian dari sifat alam dan kejadiannya.

Apabila saya bernyanyi di KL Sentral(busking), banyak mata yang menilai saya dengan kadar kefahaman mereka yang berbeza. Ada yang suka, ada yang indah tak indah, ada yang simpati, ada yang benci dan berbagai lagilah. Saya sedang berada di tahap yang saya rasa saya adalah sebahagian dari watak skrip dan ceritanya. Emosi yang pelbagai untuk setiap mata yang memandang itu lumrah, malah perlu untuk kita lebih bercermin.

Dan semalam sewaktu saya sedang bernyanyi seorang pemuda yang mungkin lepas atau tak lepas dari pengajian pondoknya( saya andaikan begitu dari gayanya yang berkopiah, berbaju melayu dan berseluar lusuh sebagaimana layaknya para sufi yang sedang ashik masyuk dalam dunia asyik mereka) datang bersalam dengan saya sambil menghadiahkan cebisan daun juga duit 20 sen kepada saya sambil menadah tangan ke langit berdoa se usai saya habiskan lagu ‘last kiss’. Ha ha ha..Mungkin lagu itu ada kenangan untuk dia di masa lalu, wallahualam. Saya perhatikan sambil dia berdiri menonton saya bernyanyi jika dia terpandang ada brader-brader dari tabligh yang berkopiah contohnya, dia akan menyapa dan bersalam dengan mereka.

Saya tidak ada sebarang masalah dengan pemuda itu. Cuma bagi saya dia masih muda untuk memahami makna mati sebelum mati. Ghairah akan membuat kita kecewa yang amat bilamana kita sedar bahawa apa yang sedang kita lalui ini hanyalah sekadar episod demi episod untuk watak kita di dunia ini, wallahualam.

Mimpi boleh bermimpi, terlebih mimpi mungkin akan bikin kita hilang keseimbangan..


MISKIN JIWA

0 comments

Sampai tapi tak sampai. Kita selalu bercerita tentang hal-hal yang kita rasa kita sudah sampai malangnya kefahaman kita belum sampai ke situ sebenarnya. Kita pun menghukum yang itu mesti begini dan yang ini mesti begitu, padahal kita pun bukan faham sangat tentang apa yang sepatutnya kita faham. Hasilnya kita mungkin akan lebih jauh tersasar dari landasan kefahaman tentang hidup ini.

Untuk terus hidup di dunia ini mungkin kita hanya pandai berteori, menegakkan faham dan pegangan mengikut cara kita. Adakah cara kita ini tersendiri atau hanya sekadar ikutan semata?

Saya lebih suka kita diam dari bercakap tentang perkara yang kita sendiri belum berapa faham tentangnya.

Apabila kita menjurus tentang kefahaman inti hidup, kita sedang berbicara tentang alam dan ceritanya. Apabila kita leraikan dengan nada yang aman dan damai, kita akan lebih berbahagia dan tidak ada jawapan untuk hal-hal dunia yang penuh nafsu-nafsi ini sebenarnya.

Siang belum tentu sekata dengan malam akan tetapi sudah itu ikatannya, maka sudah menjadi tanggungjawab alam dan jadualnya untuk kita fahami. Mereka pasangan yang ideal menjadi ilham untuk kita bermadah dan berseloka.

Jika kita terlalu menghukum, kita mungkin akan terjerat dengan kebodohan ilmu kita sendiri.
Politik adalah kepentingan. Juga tanpa kita sedar kita sedang berada di landasannnya. Saya juga berkepentingan. Wang adalah punca segala masalah selagi kita berada di sini. Selamanya kehidupan ini akan bersikap kejam pada kita yang sedang bernafas dengan ehsanNya. Jurangnya nyata apabila semakin kita menjenguk ke dalam, kita sedang mentertawakan diri dan kebodohan kita sebenarnya.

Jiwa kita masih miskin dan masih terkial-kial mencari maknanya. Kita sedang lemas dalam arus dan permainan nafsu. Mati adalah permulaan cerita, misi kita masih belum selesai sebenarnya..


Page 2 of 3123