Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

KEBENARAN ADA DALAM DIRI

0 comments

Kita sering tertipu dalam mencari makna kebenaran. Kita ingat itu benar rupanya bukan benar. Kita ingat itu ‘real’ rupanya hanya tak real…Kita berjalan jauh berbekalkan akal waras dan tidak waras mahupun separuh sedar dan beriya-iya untuk menemukan makna sebuah kebenaran.

Hari ini ugama adalah pentas mainan untuk manusia bercerita tentang keindahan malah ada juga yang memanipulasikan maknanya mengikut kefahaman akal mereka. Akal kita ni bukannya betul sangat, banyak juga sengetnya walau kita ingat lurus. Apatah lagilah apabila hari ini kebanyakan kita bukannya bertuhan ‘Tuhan’ sangat melainkan ringgit dan kuasa semata. Tuhan itu penting cuma untuk menjadi modal kita. Kita ingat Dia itu dekat dengan kita sebab sepanjang celik mata kita akan menyebut dan menjaja namanya ke sana sini untuk tujuan baik mahupun sebaliknya. Kalau baik itu baguslah sebab baik itu bukan untuk manusia melihatnya. Kita cakap dalam hati pun Tuhan akan dengar juga.

Teringat saya dalam buku Khalil Gibran yang pernah saya baca bercerita tentang perhubungan sang iblis dan seorang ulama yang di hormati. Yang mana akhirnya si ulama itu tidak akan membiarkan iblis itu merana kerana akhirnya dia tahu tanpa sang iblis apa modalnya untuk mencari makan?

Saya percaya dalam banyak hal, kita perlu berlaku jujur. Jujur yang paling di sukai Tuhan bagi saya adalah jujur kepada diri sendiri tanpa ada banyak kepentingan. Adakah Tuhan itu suka jika kita mengguna dan menjaja namanya demi untuk kepentingan peribadi kita yang bagi saya kita ini hanyalah semut-semut yang sedang bekerja. Dipijak atau dihembus angin mati melayang tanpa ada apa kesanpun.

Kebenaran itu ada dalam diri kita. Samada kita sedang bermain-main atau kita fokus denganNya selalu.


Impian Yang terbantut..Ha ha ha

0 comments

Baru-baru ini saya brsembang dengan seorang kawan yang sangat suka muzik metal. Apabila bercerita tentang rock dan metal sudah tentulah yang kita utamakan adalah kehebatan sang pemain gitar. Bermula dari Chastain, Vinnie Moore, Jason Becker, McCalpine, Marty Friedman, Malmsteen, Gilmour dan banyak lagilah. Semuanya memang hebat dan bagus belaka.

Teringat sewaktu di kampung kita berlumba-lumba untuk jadi bagus dalam permaianan gitar. Gitar tong adalah sejenis instrumen yang mana ianya sinonim dengan anak muda berbangsa melayu dan saya sebahagian dari mereka. Salah satu sebab ianya murah dan mampu di beli. Kalau dulu gitar tong jenama ‘Kapok’ hanya berharga rm 40 lebih kurang. Saya percaya dari situlah lahirnya gitaris-gitaris hebat kita seperti Man Kidal, Arwah Samad dan banyak lagilah.

Untuk jadi bagus kita kena praktis, praktis dan praktis. Asasnya ‘counting’ perlulah tepat dan konsisten. Untuk jadi bagus kita kena main sampai orang cakap kita bagus, bukan kita yang cakap kita bagus. Dan yang lebih penting kita kena gila. Tak cukup sekadar biasa-biasa atau gitu-gitu saja. Gila itu seperti kita praktis pagi, petang, siang dan malam dan rasa muzik itu dalam diri kita selalu.

Apabila sudah bagus, seorang gitaris itu akan fikir nak bagus solo macam malmsteen, Vinnie Moore, Chastain atau slow sikit macam Gilmour tapi sedap dan lunak. Begitulah saya mula berfikir yang mana akhirnya saya terpaksa matikan impian untuk menjadi seorang gitaris yang solo laju-laju macam roket kepada lebih akustik yang ada asas-asas rhumba, klasikal dan flamenco yang kuat. Saya simpati pada kawan-kawan gitaris yang hebat menyolo dengan muzik metal yang laju. Masalahnya kemana mereka nak pergi? Yang mana akhirnya mereka akan kecewa untuk mengejar impian sebgagai seorang gitaris dan menukar karier menjadi pekerja kilang. Kecewa kerana di sini majoriti masyarakat kita tidak akan faham dan dapat menerima muzik yang sebegitu. Masyarakat bukan nak tengok solo Shahrul Ekamatatra melainkan suara penyanyi Rahmat yang penuh melodi dan kemelayuan dan lagu sentuhan kecundang atau pusara lebuhraya penuh dengan lenggok dan skema sentimental mendayu yang meruntun hati anak muda rugged berambut panjang lepas bahu. Jadi itulah kenyataannya. Ha ha ha

Akhirnya jika kita bagus..Kita akan memilih kemana kita nak pergi. Pilihan untuk kita adalah bermain muzik di pub, hotel atau majlis komersial yang mana pilihan muzik yang mereka mahu adalah lagu evergreen. top 40 dan klasik nasional. Kita boleh buangkan impian kita untuk jadi gitaris yang solo laju macam roket dan beralih kepada muzik yang biasa-biasa saja. Itulah kenyataannya dan kalau kita tak suka kita boleh simpan gitar dalam reban ayam, jual atau sebagailah dan beralih untuk kerja makan gaji atau berniaga.

Dan itulah yang selalu saya fikirkan dulu dan akhirnya hari ini saya faham yang paling penting dalam hidup ini adalah jika kita tahu kita main muzik untuk apa sebenarnya. Kalau untuk cari makan kita kena betul-betul faham kerja kita adalah menghiburkan khalayak. Itu saja dan balik rumah duduk dalam bilik sorang-sorang kita masih boleh menyolo laju macam roket untuk layan jiwa yang kacau. Ha ha ha


HIDUP ADALAH NYANYIAN

0 comments

Hidup ini adalah sebuah nyanyian. Sehingga degup jantung kita ini pun tidak akan berhenti menyanyikan lagu yang mengundang makna sebuah kesetiaan antara diri dan pencipta. Hanya mungkin kerana kita ini manusia, kita terlupa. Pejamkan mata, dengarkan bahawa Dia sentiasa berlagu untuk kita. Sudah tentu kita akan beroleh ketenangan jika kita tidak berkepentingan dalam mencari makna ‘kecintaan’.

Apabila sedih kita berlagu, bahkan jika kita gembira pun kita akan berlagu. Keyakinan itu memang milik kita jika kita percaya, percaya dan percaya kepadaNya. Cuma sangat bagus jika kita mampu jaga di dalam tidur, saksikan kita di dalam mimpi.

Cerita tentang manusia itu sentiasa ada hal, masaalah dan sebagainya. Kita berjuang demi sebuah faktor menang kalah untuk sebuah syorga yang kita impikan. Cuma bagus jika kita letakkan semua harapan itu di jiwa dan biarkan Dia yang memutuskan kemana kita akan dibawaNya.

Nyatalah kasih sayang Tuhan itu sangat nyata untuk kita…


KERENAH ANAK-ANAK KITA

0 comments

Kerenah anak-anak yang baru nak membesar dalam menuju zaman keremajaan memang cukup memeningkan kepala kita. Saya bersimpati dengan isteri saya yang terpaksa melayan kerenah 4 orang anak kami yang semuanya punya karakter yang tersendiri. Setiap hari isteri saya
mengadu sakit kepala dalam melayan kerenah mereka.

Saya juga risau walau saya percaya segalanya sudah tertulis dan setiap kita punya takdir dan perjalanan hidup yang sudah di tentukan sejak azali lagi. Risau kerana watak saya sebagai seorang manusia dan bapa kepada anak-anak. Saya kenal anak-anak saya dan segala rezeki yang
saya dapat hari ini adalah kerana mereka. Saya amat percaya itu…

Antara 4 orang anak saya, saya paling risaukan anak bongsu saya, Gibran. Tadi siang sewaktu mengambilnya dari sekolah saya nampak ciri-ciri seorang ‘leader’ dalam dirinya. Dia baru darjah satu, sudah punya ramai kawan dan mudah di senangi oleh kawan sebayanya. Anak saya
Gibran ni ada ciri yang baik dan tidak baik di dalam dirinya. Sikap tidak baiknya seperti panas baran dan agak selfish. Dia sangat manja dengan saya sebenarnya, pun dia akan takut bila melihat saya marah. Saya pulak bila dah marah mudah pula menyesal, pun saya akan pujuk
dan waktu itu dia akan menangis minta dipujuk. Dalam satu hal anak saya Gibran ni agak berdikari dan walau cepat baran, cepat pula cool. Berbeza dengan abangnya Aqeef. Bagi saya Aqeef seorang budak yang cepat matang dan bijak malah pandai memainkan kata-kata. Kakaknya
pun ada karakter yang tersendiri juga. Jadi saya boleh faham tugas sukar ibu mereka dalam mengawal kerenah yang pelbagai dan walau apapun, merekalah juga racun juga penawar segala cerita suka duka kita selama di sini.

Apabila isteri saya mengadu sakit kepala, saya pun tak tahu nak buat apa..Anak-anak pula walaupun ibu mereka garang tapi sangat manja dengan mereka dan sudah tentulah ada masanya mereka akan naik tocang. Dengan saya mereka rapat juga cuma masa saya banyak dihabiskan di luar.

Saya dan isteri sedang memerhatikan anak-anak membesar di depan mata. Ini saat-saat yang menarik bagi kita sebagai seorang bapa dan ibu kepada anak-anak. Insyaallah…


Page 1 of 212