Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

RENUNGLAH ALAM INI SE ADANYA…

0 comments

Sewaktu beriadah dengan keluarga baru-baru ini saya terlihat se sosok tubuh berlenggang dengan baju pagoda tertulis ‘ melihat aku seperti engkau melihat engkau’. Sani Sudin – Dari awal saya kenal beliau hujung tahun 80an dulu sehinggalah ke hari ini, gaya dan lenggoknya masih sama. Keaslian sewaktu beliau menjenjeng bungkusan lauk dan gaya pertuturannya yang jujur dari hati itu yang saya suka kerana saya tahu beliau adalah sebahagian watak yang terpilih di dalam kehidupan yang serba plastik hari ini.

Sani adalah insan seni yang sedang melayari takdir se adanya. Bersama kumpulan Kopratasa yang di anggotai Usop dan Siso, mereka berjaya menghasilkan sejumlah album dengan beberapa lagu hits seperti ‘masihkah kau ingat’. Saya kenal baik Sani sewaktu sering melepak di Pasar Seni dan Usop pula sewaktu saya menjadi menjadi recording artist Luncai Emas di mana Usop adalah salah seorang pekerja yang bekerja di syarikat rakaman produksi milik M.Nasir.

Produk keluaran ‘Anak Alam’ memang asli dan original. Asli yang lahir dari hati…Yang itu yang payah kita nak jumpa hari ini. Hari ini seperti kita lihat bangunan Pasar Seni yang dihias indah sebegitu sehingga terlebih rupa sehingga seindah sampah-sarap, begitulah kita melihat lagak dan gaya para artis merealisasikan makna seni mengikut faham mereka.

Seperti Ali yang membuka ruang ajaran tasawuf, begitulah sebagaimana ianya ditutup oleh para sunnah atas alasan ianya mungkin bakal menyesatkan akal dan minda para masyarakat. Tanpa tauhid kita ini buta tanpa rasa. Bukankah begitu? Alangkah malang jika ruang itu tertutup dek buta bahkan ditutup untuk sebuah jalan yang hanya sehala tujunya. Itu jalan untuk ke syurga, kata mereka. Syurga ke atau neraka? Atau itu hanya angan pada manusia yang memang suka berangan sehingga hanyut dibuai angan sehingga terlupa akan nikmat perjanjian asal antara kita dan pencipta?

Saya tidak punya alasan lagi untuk sebarang penafian. Memang sudah dibegitukan sejak lama lagi. Seperti saya sedar bawasa saya ini masih lagi warganegara yang tinggal di negara yang mana para-para menteri kebanyakannya kaya-raya sehingga tujuh keturunan, manakala hak-hak dan sistem masih lagi mundur dan terkebelakang seperti saya bersembang-sembang dengan seorang kakak yang punya anak autisma berumur 21 tahun. Yang mana anaknya itu masih lagi mendapat rm 150 walhal mengikut syaratnya selepas umur 18 tahun anaknya itu patut mendapat rm 300. Selepas menghabiskan duit sebulan rm 300 di pusat jagaan untuk kanak-kanak Autisma yang terkenal, anaknya masih lagi tidak bercakap dan tidak mampu berdikari. Sesuatu tentang Tuhan, adakah kita ini lebih tahu dari apa yang telah diketahuiNya?

Membaca tentang politik, saya masih membaca walau ada hampa dan hampas di dalamnya. Membaca tentang cerita sukan dan persatuan, saya masih lagi membaca tentangnya dan seperti biasa kita akan hampa dengan keputusan dan ceritanya. Membaca tentang manusia yang katanya berugama dan menuntut umatnya berbuat baik antara sesama, tapi dalam masa yang sama pengisiannya penuh dengan fitnah, caci dan maki antara sesama.

Akhirnya saya di sini, merenung alam ini seadanya..Bukankah kita ini sebahagian dari ceritaNya?


LAGI PERIHAL KESEIMBANGAN – BAB 3

0 comments

Keseimbangan adalah cerita yang menarik untuk kita semua para manusia berkongsi pandangan dan berfikir apa itu keseimbangan dalam konteks yang lebih terbuka.

Dalam dunia muzik kita hanya ada satu jalan yang menuju kejayaan. Jalan itu adalah jalan yang majoriti semua masyarakat akan melaluinya. Jalan yang lain pun ada juga, itu kita kata jalan yang berliku. Jalan berliku tak banyak orang mahu melaluinya sebab ialah siapa yang nak menyusahkan diri lalu jalan gelap kalau jalan terang dah ada? Ha ha ha

Jalan terang mudah kerana lampu sudah siap dipasang oleh pihak gomen. Jadi itu kita kata kemudahanlah. Bila ianya kemudahan maka ditetapkanlah bahawa untuk muzik lagu-lagu yang sesuai untuk golongan itu perlu begini. Yang ini pula perlu begitu. Jadi alat-alatnya tentulah media elektronik audio dan visual. Segalanya di niagakan. Bagusnya ada kemajuanlah tapi yang tak bagusnya pendengar kita tidak punya banyak pilihan dalam memilih. Dan jika kita buat album lain selain dari muzik pop dan rock kapak susahlah untuk di terima para pendengar.

Jadi benda ni sudah diterapkan ke dalam minda dan akal masyarakat sejak dulu lagi terutamanya sejak keluaran pertama majalah URTV di pasaran. Dan itulah sebabnya juga majalah-majalah yang seperti itu masih dibaca oleh orang kita. Apa cerita yang ada di dalamnya? Kurang bahan ilmiah di dalamnya kecuali hiburan yang penuh dengan gossip-gossip nakal para artis. Dan jika kita membesar dengan bahan-bahan yang sebegitu apa yang kita boleh expect masyarakat kita akan mendengar bahan-bahan yang lebih serius dan ada mesej?

Saya waktu sekolah rendah dah baca URTV yang dijual di kedai mamak pekan Bruas. Waktu itu kita ingat inilah muzik. Kita pun tak dapat nak beza yang mana satu hiburan yang mana satu muzik. Muzik adalah irama. Irama waktu itu di monopoli oleh komposer tersohor Ahmad Nawab( Datuk). Saya adalah peminat muzik Ahmad Nawab di tahun 70an dulu. Sebabnya banyak elemen progresif dalam kebanyakan lagu-lagu yang digubahnya dan ianya menarik dan sedap di dengar.

Di sini sejak dulu lagi kita di besarkan dengan lagu dan lirik yang bercerita tentang cinta yang gagal dan memuja tak kira pagi, tengahari, petang, malam membawa ke pagi berikut dan itulah yang diterapkan dalam minda kita dari zaman berzaman. Kalau selain dari subjek itu pilihan kita cuma lagu-lagu patriotik keluaran RTM.

Hari ini musim semakin berubah. Saya tahu itu dan positifnya kita lihat anak-anak muda terutamanya semakin selektif dan dapat membezakan apa itu ‘poyo’ dan apa itu ‘cool’.

Mereka semakin faham apa itu ‘rugged’ dalam istilah yang sebenarnya.

Saya tidak salahkan industri dalam hal ini kerana itu juga makna keseimbangan. Tapi kalau dah itu je yang dihidangkan mana keseimbangannya untuk genre-genre yang lain? Majoriti masyarakat kita kurang didedahkan dengan muzik dalam cabang variasi yang berbeza selain pop. Dan Gomen sebenarnya perlu membuka ruang yang lebih banyak untuk penggiat-penggiat yang lebih variasi konsep dan sifatnya.


LAGI PERIHAL KESEIMBANGAN – BAB 2

0 comments

Mereka punya bakat. Kalau terus ke hadapan terlalu banyak ranjau dan duri. Ada dua simpang..Ke kiri atau kanan. Kiri halanya adalah cerita takdir semata yang sangatlah mencabar seperti cabaran di camel trophy laluannya. Satu lagi ke arah yang lurus dan sambil menyedut udara segar kitapun berjalan sambil memuji takdir dan ceritanya.

Mereka adalah sebahagian dari kawan-kawan yang punya bakat hebat dalam lukisan mahupun muzik. Bakat adalah kebolehan, anugerah yang tidak di miliki oleh semua orang. Agak ralat bilamana di sini mereka tidak punya arah, hala dan tuju. Di sini, di negara kita ini muzik dan lukisan nasib dan ceritanya lebih kurang sama..

Saya bertemu dengan salah seorang kawan lama saya sewaktu sesi rakaman album baru di Puchong Utama, studio milik seorang kawan juga. Saya kenal kawan lama saya ini sejak awal tahun 90an lagi. Beliau merupakan gitaris yang hebat dengan permainan gitar yang berbelit-belit, complex dan biasanya kita akan pening jika kita bukan seorang yang kaki muzik. Hebat kerana kebolehannya mendahului zaman dan harapannya tentulah jika sesuatu itu di usahakan dengan kerja keras, praktis 10 jam sehari paling kurang dan sebagainya, hasil atau pulangannya diharap akan berbaloilah kerana apa cerita atau subjek pun di penghujungnya adakah sesuatu yang kita lakukan itu akan mampu memberi jaminan masa depan. Maknanya adakah kita boleh buat duit dengan menjadi pemuzik walau sehebat manapun kita?

Akhirnya seperti biasa kawan saya ni sudah beralih arah dari seorang gitaris ke seorang technician untuk alat muzik, gitar terutamanya dan dia masih di kelilingi gitar setiap waktu. Mungkin itu sudah memadai dan atas kebagusannya dia masih mampu menyara keluarga dengan kerjanya itu.

Saya selalu menonton rancangan documentary . ceritanya pasal kelahiran bayi setiap minit dan bagaimana cara doktor dan pekerja mereka bekerja. Betapa professional dan cekapnya mereka berserta peralatan dan teknologi canggih walau hospital mereka itu subsidi dari kerajaan atau dalam ertikata yang lebih mudah, HKL kalau di negara kita. Kalau dengan kepakaran, layanan dan perlatan begitu kita terpaksa ke hospital swasta berbayarlah dan ianya tentulah melibatkan ringgit yang banyak. Apa boleh buat, di sini kalau kita tengok layanan-layanan para jururawat dan doktor pelatih bekerja pun kita tak confident, sudahlah begitu mungkin juga kita akan di anggap muka welfare kerana dalam otak mereka sesiapa yang datang ke sana bukanlah dari golongan yang berduit jadi apa pilihan yang kita ada? Maka sudahnya anak-anak kita yang nak keluarpun jadilah bahan-bahan eksperimen sepertimana yang pernah isteri saya alami sewaktu melahirkan anak ke dua 14 tahun dulu di HKL. Maki-makipun bukannya kita akan dapat apapun. Marahkan Tuhanpun jiwa kita yang akan merana nanti. Makanya kitapun terimalah seadanya cerita takdir kita yang tak best dan menarik.

Inilah masalahnya tinggal di negara membangun. Segalanya masih dan nampak baru nak bermula walau kita sudah merdeka sejak tahun 57 lagi.

Dalam dunia muzik dan hiburan pun begitu juga. Apa pilihan yang kita ada? Kita bagus mungkin di kalangan kawan kita. Berapa orang kawan kita itu? 100? 1000? atau sejuta? Dan cerita ini menuntut sesuatu yang lebih praktikal seperti jika kita ada 10,000 fanpage maknanya peminatlah. Adakah mereka itu akan membeli hasil kerja kita atau setakat like saja? Kalau setakat nak meramaikan peminat tapi album tak laku atau ringtone tidak dapat menarik para peminat mendownload lagu kita pun susah juga nak cari makan.

Sebab utamanya bagi saya, cabang kesenian di sini masih baru nak berkembang. Itu sebab jika seorang gitaris itu bikin album solo, memang 98 % tidak akan laku di pasaran walaupun dressing berambu-ramba seperti Malmsteen. Sebabnya di sini orang kita suka yang gitu-gitu saja. Dan industri juga suka jika artis mereka gitu-gitu saja. dan kalau boleh mereka suka jika artis mereka itu dari kalangan yang kurang cerdik dalam berfikir secara kreatif. Cerdik akademik itu sudah mencukupi sebab pendengar akan suka jika penyanyi pujaan mereka itu graduan dan punya ijazah undang-undang seperti allahyarham Sudirman.

Teringat saya tentang cerita filem tamil yang saya tonton beberapa tahun yang lepas. Ceritanya pasal seorang pemuda yang sudah berkahwin dan punya dua orang anak memilih untuk menjadi sami dan perubahan 360 % nya itu dari seorang yang kaki mabuk, judi dan sebagainya kepada seorang yang bertaraf ulamak bukan setakat bikin ahli keluarga dan isterinya pening, bahkan dirinya pun pening di pertengahan jalan dan alasan isterinya, dia hanya mahu perubahan suaminya dalam progres yang sederhana. Maknanya kalau dalam islam itu kita buat setakat yang di tuntut syriaat itu sudah mencukupi. Sembahyang lima waktu, puasa di bulan ramadhan, pergi haji kalau mampu. Contohnya begitulah dan kalau lebih dari itu dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan pada jiwa yang akan membawa lara.

Jadi semua cerita yang saya tulis di atas ni memang berkaitan…saya rasalah…Apa pilihan yang kita ada? Ha ha ha


LAGI PERIHAL KESEIMBANGAN

0 comments

Lagu melayu – Kebanyakan Orang melayu suka lagu melayu. Bila sebut lagu melayu irama yang paling menangkap zaman datang dari berbagai era..50an, 60an, 70an, 80an dan 90an dan muzik masa kini.

Kalau saya menyanyi lagu 50an, tak banyak orang respon..lagu 60an, pun tak ramai juga..70an pun gitu juga…tapi bila saya nyanyi lagu rock kapak dari kumpulan Iklim contohnya..memang ramai orang suka..tua dan muda. Itulah kenyataannya. Kesan ‘rock kapak’ memang nyatanya melekat di hati anak-anak muda di tahun 80an dan 90an dulu.

Lagu-lagu sentimental rock ballad melayu memang ada tarikannya. Melodinya balik-balik gitu je..irama asal dari asas muzik klasikal yang sedih dan kemelayuan, bila dimasukkan elemen distortion dalam gitar elektrik, maka jadilah muziknya slow rock atau rock kapak sebab imej rock dan lirik-lirik lagu sebegini memang berelemenkan lirik cinta yang lemah dan gemalai. Tapi kenyataannya itulah lagu-lagu yang boleh buat duit.

Saya faham banyak lirik cinta ada yang berunsurkan ketuhanan seperti lirik-lirik hasil tulisan Amin Shahab. Sejauh mana dia seiring dan sekata dengan apa yang ditulisnya itu saya tak kisah sangat tapi susunan bahasanya agak menarik dan kefahaman tentang apa yang ditulisnya kita boleh tahu. Saya telah dibiasakan untuk menilai isi dari kulit atau afaal jadi lirik-lirik seperti ‘kekasih awal akhir’dan Suci dalam debu itu memang berkualiti dan kena dengan melodinya..

Saya kenal baik beberapa orang penulis lagu dan lirik popular tanahair kita seperti Adinda Amiro dan Syed Amran. Adinda Amiro banyak menulis lagu hits untuk kumpulan Iklim dan banyak juga duit royalti yang di raihnya terutama pada zaman rock kapak dulu. Orangnya sangat sederhana, cool dan matang. Dan yang paling penting dia faham dengan kehidupannya..

Bukan senang nak bikin lagu ‘killer song’ walau melodinya seakan sama saja..Saya akui itu..

Dulu saya agak pandang sebelah mata juga muzik yang sebegitu tapi masa berjalan dan kita perlu bijaksana dalam banyak hal…dalam menilai juga menterjemah makna ‘nikmat’ yang sebenarnya.

Tadi saya bersembang dengan rakan busking, Syed Amran dan banyak juga yang kami sembangkan terutamanya dalam bab-bab komersial. Bila kita fikir kita menyanyi untuk apa sebenarnya, kita akan lebih faham yang kita ini bukan syok sendiri.

Dulu saya hafal kebanyakan lagu-lagu Ebiet terutama lagu-lagunya yang rare namun kalau kenyataannya lagu ‘berita kepada kawan’ juga yang diingati dan melekat di minda pendengar, kita perlu meraikannya …Dan itulah yang saya lakukan..

Saya suka jika kita bersikap rasional dan proffessional dalam banyak hal.


Page 1 of 212