Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

10 MINIT INI MISTERI

0 comments

Sedang saya bernyanyi lagu popular ‘wonderful tonight’, datang seorang pakcik yang umurnya mungkin dalam lingkungan 60an mungkin memandang tepat ke arah saya sambil meminta lagu popular melayu, ‘isabella’. Saya menganggukkan kepala sebab nak habiskan dulu lagu yang sedang nyanyikan. Gayanya seakan mendesak maka sayapun tunaikanlah permintaannya.

Se usai habis lagu isbella, dia pun bersembang-sembang sekejap dengan saya, katanya, ” Di Indonesia bersepah orang macam kamu ni”. Saya kata, ” oh ok”, sambil tersenyum sambil melayan kerenahnya yang mungkin mahukan perhatian. Mukanya terketar-ketar mungkin berpenyakit ‘parkinson’, saya rasalah. Pakcik yang bertopi baretta itu orang berniaga yang selalu berulang alik ke Indonesia. Saya hormatlah juga sebab dia orang tua.

“Ini buku-buku kamu tulis?” tanyanya lagi sambil matanya menjenguk buku ‘sembang tepi jalan dan ‘syurga yang hilang’ yang saya paparkan di softcase yang saya bentang bersama album-album saya. ” Ya betul bos”, jawab saya dalam nada yang ceria walaupun tak selesa sangat dengan soalan sebegitu. ” Tapi buku ni tak ada apa yang menarik atau istimewapun kan? “, ” melainkan hanya cerita-cerita biasa saja”..tambahnya nya lagi dan saya pun ketawa, ” ya betul, hanya cerita-cerita biasa”..Ha ha ha

Selepas itu pakcik itupun berlalulah…Itu takdirnya untuk singgah dan bila dia pergi, itu takdirnya untuk berlalu macam angin lalu bagi saya…tidak menyentuh dan tidak tersentuh sebab dari saya rasa mengantuk menyanyikan lagu isabella sehinggalah saya berasa segar untuk lagu-lagu berikutnya…Ha ha ha

Tidak banyak yang boleh diharapkan dari knowledge seorang pakcik yang hidupnya di dalam dunia yang hanya betul dan selesa padanya, faham syurganya lain, faham syurga sayapun lain. Walaupun mata yang memandang keadaan saya dalam konteks kesengsaraan ataupun neraka, pun bagi saya inilah syurga saya.

Masalah bagi kita bagi saya jika kita masih tidak tahu mahu kemana kita atau akan kemanakah kita nanti? Atau siapakah kita ini sebenarnya? Atau di sini dan di situ itu samakah?


CERITA JIWA

0 comments

Apabila kita melangkah, kita gunakan ke dua belah kaki atau jika cacat anggota kita gunakan apa jua kaedah untuk sampai ke tempat yang mahu dituju. Yang menggerakkan adalah semangat. Semangat juga satu perlambangan bagi roh selagi kita bernyawa. Tanpa semangat kita tidak punya daya. Jika kita tidak suka ke situ, separuh dari semangat kita tidak akan bersama maka itu bukan kemahuan jiwa. Kemahuan jiwa adalah kemahuan yang membawa bahagia walau bukan di mata.

Saya dididik untuk mengenal makna dan rahsia alam waktu kali pertama membelek cover dan mendengar lagu dari album Bob Dylan yang judulnya ‘blood on the track’ dan ‘street legal’ pada awal tahun 80an dulu. Apa yang saya faham tentangnya? Pertama suara penyanyinya ada jiwa. Jiwa itu berkait rapat dengan nilai jujur dalam diri. Suara Tom Jones memang sedap tapi untuk halwa tapi bukan jiwa bagi saya. Suara Roger Waters tidak sedap tapi itu yang melekat dalam jiwa.

Suara dan lagu Dylan memberi kefahaman kepada saya bahawa ‘dunia muzik dan nyanyi ini rupanya bukan hanya milik para penyanyi yang bersuara emas, baju berkilat segala kilauan emas dan senyum memanjang di depan TV dan lirik-liriknya bukanlah cerita kecewa patah hati memanjang ataupun jika lagu ketuhanan tidaklah membodek Tuhan sepanjang masa. Maknanya juga kehidupan ini adalah siapa kita seadanya, itu lebih jujur bagi saya. Maka dari situ bermula dan terbukalah hijab untuk jiwa mengenal dan mencari apa ceritanya yang ada di dalam sana? Itu sebab bila mereka suruh saya ikut lorong itu, jika tak sesuai saya tak akan ikut, atau kalau ikut jiwa tidak bahagia mungkin akan bikin kita menjadi sesuatu yang bukan kita atau akan menjadikan kita manusia tanpa jiwapun apa gunanya?

Penting jika kita faham di mana letaknya kita disisiNya. Penting jika kita faham erti kesetiaan dan tanggungjawab bulan dan matahari yang berputar tanpa henti. Penting bagi kita mengenal denyut jantung dan nadi atau turun naik nafas bahawa itu jelas menunjukkan bahawa Allah itu ada di sini. Maka jika Dia itu ada di sini mengapa kita suka pada cerita Hantu dari cerita Tuhan? Maka jika Dia itu ada di sini mengapa jiwa kita makin tebal bersalut daki dan nafsu serakah dunia? Bukankah itu maknanya perjalanan kita adalah perjalanan yang tidak sampai-sampai selagi ke sudah jika kerja kita ini tidak habis-habis membodek dan mempermainkan takdir dan cerita alam dan Tuhan 24 jam. Jujurkah kita di dalam perlakuan dan niat?

Buruk-baik cerita dan perjalanan dunia adalah permainan belaka seperti kita menonton program hiburan wrestling mahupun membaca cerita tentang berita politik tanahair mahupun dunia. Ianya sebenarnya mudah semudah alif, ba ta…


AKU BUKAN ROBOT

0 comments

Saya telah bersembang-sembang sekejap dengan seorang kawan saya malam tadi. Kawan saya ni sering bertukar-tukar kerja dari satu tempat ke satu tempat. Tadi juga dia menyatakan akan berpindah kerja lagi . Untuk tahun ini sahaja sudah beberapa kali dia berhenti untuk bekerja di tempat baru. Sebab-musabababnya sangat jelas untuk dia membuat keputusan dan bagi saya dia tahu apa yang dia buat, itu yang paling penting.

Menjadi seorang pekerja, kita akan dibayar gaji dan akan bekerja di atas kehendak majikan. Gaji yang dibayar pula kalau boleh semaksimumnya pihak majikan akan memerah dan menggunakan tenaga dan idea kita untuk keuntungan syarikat. Yang pastinya kita ini juga manusia. Manusia perlu ada ruang dan masa untuk dirinya sendiri. Itu kita kata ‘quality of life’.

Saya kenal seorang lagi kawan saya yang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam yang mana setiap hari dia akan berulang alik dari rumahnya di Keramat dengan menggunakan tren Putra dan Komuter. Jam 6.15 pagi dia sudah bergerak dari rumahnya. Hasil kesabarannya, sudah 10 tahun dia menjalani rutin yang sudah menjadi alah bisa, tegal biasa kepadanya. dia akan sampai ke rumah paling lewat jam 8 malam setiap hari.

Saya pernah bekerja di Yamaha Music selama 10 tahun dari tahun 1996-2004. Apa pilihan yang saya ada waktu itu? Banyak benda yang kita tak dapat nak buat. Nak busking pun susah. Nak main musik di pub pun payah sebab waktu kerja habis jam 10 malam dan kerja pula ada syif. Itu belum lagi masuk bab sakit kepala sebab seperti yang saya kata tadi, kita bekerja atas kehendak majikan. Kalau majikan nak kita punya sales 50k ke atas setiap bulan kita kenalah buat juga walau itu bukannya sesuatu yang mudah juga. Kalau tak achieve target kena berjawablah di dalam meeting yang di adakan seminggu sekali. Makin lama kita kerja tanggungjawab makin besar. Lagi banyak gaji kita dapat lagi banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul. Bila masuk bab politik kerja, saya give up. Resign dan seperti burung yang bebas saya boleh buat apa yang saya suka. Pun kita cakap memanglah senang tapi nak melaksanakan kerja sebagai seorang ‘busker’bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita angan-angankan. Tapi satu yang pasti, ada bahagia hadir di jiwa dan terasa beban yang sarat sudah kita lepaskan.

Bukan senang nak senang. Hijrah itu perlu sebenarnya sebab kita perlu faham apa yang kita mahu sebenarnya dalam hidup ini. Hidup di dunia ini bukanlah mudah sebab kita ni bukannya dilahirkan sebagai anak orang kaya atau anak raja. Masalah utama warga marhen adalah ringgit yang mencukupi. Dengan beban dan kos sara hidup di kota yang semakin tinggi kita perlu bekerja-keras demi untuk terus hidup, bukan untuk jadi kaya.

Itulah pentingnya memahami makna bahagia. Ada orang bahagia itu bila punya wang yang banyak. Bagi saya wang yang banyak kalau boleh bikin kita sakit kepala tak berbaloi juga. Bahagia itu jika kita letakkan ianya di jiwa, kita akan merasa ‘nikmat’ hidup yang sebenarnya. Perlu di ingat bahagia adalah hasil campur tolah bahagi dan darab segala macam rencah suka duka hidup kita, digaulkan semuanya itu lah bahagia. Kita perlu terima takdir kita se adanya. Dan yang paling penting Allah itu sentiasa ada di sini, bersama kita se adanya Dia, se adanya kita.


JURANG

0 comments

Hari ini saya membaca berita di dalam sebuah tabloid harian perihal seorang pemuda di Kuala Terengganu yang didapati bersalah kerana mencuri sebuah kerusi yang berharga rm 30 milik seorang peniaga ikan air tawar. Pemuda tersebut dihukum penjara selama 1 minggu dan denda rm 200. Alasannya mencuri kerana terlalu lapar dan tidak punya wang untuk membeli makanan.

Bagi saya harga sebuah kerusi itu rm 30, pun kalau dijual harganya tidak akan sampai rm 5. Apalah salah yang empunya kerusi itu bersifat ihsan sedikit antara sesama terutamanya kepada golongan yang tidak berkemampuan. Sudahlah pemuda itu miskin malah dihina pula. Si peniaga pula orang yang berniaga, berhubung dengan masyarakat setiap waktu. Rezeki pula mungkin lebih malah mungkin juga berlebihan. Kalau nak diikutkan permainan emosi yang juga sahabat nombor 1 kepada iblis, memanglah kalau boleh kita akan meluahkan kemarahan kita semaksimumnya kerana kita dipihak yang benar dan Tuhan akan bersetuju dengan kita kerana kita seorang peniaga juga kita seorang muslim, malangnya jiwa kita sangat miskin dalam hal ehwal kemanusiaan. Saya tidak rasa Tuhan akan suka kita jika kita seorang manusia yang tamak dan penuh amarah, itu sebab Dia tidak singgah ke situ, ke lubuk jiwa orang beriman dalam ertikata yang sebenarnya.

Rezeki kita datang dariNya dan bila-bila masa dia boleh ambil mengikut putaran nasib kita di dunia ini. Qada dan Qadar itu ternyata benar untuk kita nafikan. Usaha itu perjalanan dari titik menuju ke titik seterusnya. Oleh itu adalah bagus jika di dalam satu-satu hal yang tegang, kita bersifat rasional dan tanamkan nilai insan di dalam diri kita. Barulah jiwa kita akan berasa tenang dan dapat menerima perjalanan dan takdir kita dari masa ke semasa.

Miskin kaya itu ujian untuk kita. Ingatlah, ia hanya sekadar ujian semata. Kerana kehidupan ini tidaklah semudah yang kita rencanakan dan kenyataannya, dunia ini memang tidak pernah adil untuk penghuninya. Saban hari saya bernyanyi di KL Sentral, saya akan melihat seorang pakcik berbangsa Cina akan berjalan dengan anaknya yang OKU di setiap penjuru sudut di bangunan tersebut. Entah apa yang mereka cari saya pun tidak pasti. Yang saya pasti saya melihat itulah rutin yang akan mereka lakukan dan ternyata mereka bahagia dengan apa yang mereka buat. Simpati hanyalah sebuah nilai perasaan bagi kita yang masih punya nilai kemanusiaan dalam diri. Pun mereka itu bagi saya lebih baik dan mulia daripada golongan manusia yang kurang nilai kemanusiaannya.

Kita manusia bercerita dengan manusia. Kita berhubung dengan manusia. Si miskin itu lahirnya ke dunia tetap sebagai manusia dan ianya tajuk yang mulia kerana dia tetap sebahagian dari kejadian. Mulia kerana dia juga sama seperti si kaya ditiupkan rohNya untuk bersatu dengan jasad maka bernyawalah kita dengan ihsannya dapat menyedut udara di dunia yang semakin penuh dengan asap dan jerebu ini.

Dan itulah salah satu sebabnya betapa penting muzik-muzik yang bertemakan kemanusiaan untuk mendidik jiwa kita dalam menempuh kehidupan yang tak pernah kita duga ini. Oleh itu kurangkanlah menonton program hiburan yang nyata terlalu menyilaukan mata dan akal…


Page 1 of 212