Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

MUHASABAH…

0 comments

Saya punya kereta. Tapi kereta saya buruk. Pun masih boleh guna bawa ke sana sini. Saya punya sebuah motorsikal. Pun buruk juga dan sudah lama. Masih boleh pakai untuk dibawa ke sana sini untuk menjalani kehidupan.

Saya tidak kaya, tapi rezeki itu cukup untuk menanggung sebuah keluarga yang agak sederhana selagi kita punya daya dan percaya pada ketentuan dan takdir.

Isteri saya selalu berkata, memang saya tidak akan jadi orang kaya kerana itu akan buat saya lupa diri. Walau saya ketawa tatkala dia menyatakan pendapatnya, pun saya bersetuju juga.

sekurang-kurangnya saya masih boleh hidup sebagai orang biasa, makan yang biasa-biasa, tidur yang biasa-biasa dan mandi yang biasa-biasa saja. Tidak ada yang luarbiasa.

Saya pun miliki jam juga, pun harganya rm 50 saja. Tidak mahal dan itu sudah cukup untuk saya melihat waktu yang bergerak dari masa ke semasa. Makan, pakai, baju, seluar saya semuanya murah dan bundle belaka…Pun saya masih rasa hebat juga kadang-kadang. Ha ha ha

Saya punya sebuah kehidupan, isteri dan anak-anak yang menjadi nadi dan penggerak untuk saya terus hidup, bukan untuk saya, tapi untuk mereka membentuk jati diri dan kehidupan mereka di masa yang akan datang. Saya hanyalah sebuah alat sahaja, yang saya dapat hanyalah kesejahteraan dan bahagia.

Bangun pagi, hantar anak sekolah, bersarapan dengan isteri di kedai makan roti canai , membaca akhbar, menghirup udara pagi, melihat manusia yang kalut untuk bekerja mengejar masa, itulah rutin harian buat masa ini. Inilah kehidupan. Tidaklah ada istimewanya pun tapi untuk sebuah kehidupan yang biasa-biasa saja, ini sudah lebih dari mencukupi.

Jika saya pulang nanti dalam keadaan yang sangat bersedia seperti mana saya yang sedang menjalani kehidupan saat ini, itulah saat yang paling indah antara saya dan pencipta.

Dunia ini hanyalah mainan. Boleh bersetuju dan tidak dengan apa yang saya katakan, tapi itulah kenyataannya. Jika kita memiliki segala harta dan materi semaksimumnya pun di dunia ini, jika jiwa kita tidak tenteram, apalah gunanya.

Tidak ada gunanya jika kita kaya, takut dengan bayang-bayang, duduk rumah besar, penuh dengan bodyguard, tidur malam selalu terganggu kerana memikirkan harta yang ingin dikaut sebanyak mungkin, nak jumpa masyarakat pun takut-takut kalau mereka berkepentingan untuk terhadap kita. Percaya dengan Tuhan hanya sekadar di pinggiran saja, buat syarat. Apalah hidup kalau begitu?

Sementara hidup ini, belajarlah mengenal Tuhan sedalam nya. Itu sangat penting untuk jiwa. Apabila segalanya yang datang itu dari jiwa, ianya akan lebih bermakna kerana itu bukanlah nafsu serakah bukan dunia. Janganlah mencarinya dalam lingkungan mamteri, nafsu dan kebendaan kerana dia tidak semestinya berada di situ. Dia ada di dalam. Dalam bukanlah materi, hanya jiwa…

Jika kita memiliki jiwa yang disukainya, walau kaya kita akan faham mengapa kita di sini. Dan kita akan lebih belajar bagaimana untuk melepaskan apa yang kita miliki di dunia ini.


KITA MANUSIA YANG BEKERJA

0 comments

Kita manusia yang bekerja. Orang gila juga manusia yang bekerja. Kerja mereka merayau berjalan-jalan tanpa menggunakan akal melainkan gerak rahsia Tuhan yang menggerak. Mereka adalah ujian untuk orang yang berakal. Kerana sesuatu yang terjadi itu adalah kehendak takdir. Takdir adalah rahsia Tuhan semesta alam.

Kita yang punya akal bekerja menjalani apa kehendak dan keperluan kita selama di sini. Kita perlu waras dalam menjalani hidup. Kita perlu bijak dalam setiap situasi dan kita perlu ‘take life as a joke’. Anggap hidup ini sebagai satu lawak jenaka kehidupan. Seperti yang Osho quote, ‘ Life is a cosmic joke’…jadi cubalah untuk ketawa, senang-senangkan hati selalu walau dalam murung…ha ha ha

Jadi apa saja yang terjadi tak kira hebat, sedih, murung, duka, suka…apa saja yang melibatkan emosi..kita lepaskanlah kepada angin lalu…kerana itu hanyalah moment yang datang dan pergi.

Jiwa perlu sentiasa tenang untuk kita terus bekerja menjalani watak kita. Kalau otak berserabut macamana nak bekerja? Itulah yang saya praktikkan selalu dan ianya sangat berkesan untuk jangka masa panjang…

Jika kita melayan perasaan dan emosi letakkan di sudut hati, simpan menjadi dendam..itu sangat malang dan itulah penyebab kita untuk menjadi gila atau sakit jiwa. Memaafkan adalah perkara yang terbaik bagi kita sesama manusia. Tuhan akan beri apa yang kita minta. Perlakuan dan kehendak juga adalah doa walau bukan dalam tertib, bukan hanya doa yang formal yang sering kita lakukan sambil menadah tangan ke langit.

Jadi itulah pentingnya bagi kita selalu beringat akan kita ini, ingat kita tidak secara langsungnya kita ingat Dia juga.

Manusia hadir di dunia dengan segala pakej. Pakej itu adalah kehendak yang pelbagai. Seperti cap Jari kita yang tidak sama, begitu jugalah dengan perlakuan. Ada yang kita suka dan ada yang kita tidak suka. Mana mungkin kita mahu semua orang jadi kita dan kita jadi orang lain. Itu tidak adil kepada hukum alam itu sendiri.


TASAWWUF DAN JALAN PULANG

0 comments

Saya telah mendapat pemberian sebuah buku dari seorang kawan, tentang Tasawwuf dan Tarikat karangan Dr. Burhanuddin Al- Hilmy yang ditulisnya pada tahun 1966. Buku ini diterbitkan semula oleh Jabatan mufti Negeri Sembilan pada tahun 2006. Edarannya terhad rasanya.

Isi ceritanya ialah pengertian tentang tasawwuf itu perlulah kita semat ke dalam jiwa di mana hari ini kita dapat lihat kebanyakan para pendakwah, ulama, orang politik yang jika melayu mereka akan berjuang berlandaskan islam, nyata gah dengan dunia glamour yang penuh dengan imej luaran yang nampak indah di mata.

Mereka sibuk mengumpul harta sambil menjaja cerita-cerita tentang keindahan Tuhan dan rasulnya ke sana ke mari. Adakah mereka ini mampu mencontohi dan mengikut sifat redha dan tawadhuk Muhammmad S.A.W dan para sahabatnya yang kehidupan mereka sangatlah daif seperti yang saya baca di dalam buku tentang Tasawwuf tulisan Dr. Burhanuddin itu?

Hatta Imam Malik sekalipun walaupun di angkat sangat tinggi oleh para pemerintah dan diberikan kekayaan melimpah ruah, namun itu semua tidaklah dipandangnya dan dia masih dengan dunia marhaennya begitu juga dengan muridnya Imam Shafie.

Adakah para ulamak kita begitu? Yang ulamak ini sibuk mengumpul kamera harga puluh ribu dengan kereta mewah sana sini, yang lagi satu sibuk mengumpul ray ban sambil gah bergaya sambil menjaja cerita-cerita agama dengan penuh shahdu dan linangan air mata?

Semuanya mahu jadi selebriti dan perhatian dengan sibuk saban hari berceramah dengan pendapatan yang melimpah ruah? Apa yang mereka dakwahkan bagi saya hanyalah sequal cerita-cerita tentang kebaikan yang telah kita baca sewaktu bersekolah dulu yang di ulang-ulang isi ceritanya, itu saja.

Saya membaca tentang tulisan Khalil Gibran tentang sang iblis yang nazak yang akhirnya terpaksa dipapah untuk diubati oleh sang ulamak yang dihormati atas alasan tanpa cerita jahat, mana mungkin si ulamak itu akan bercerita tentang kebaikan? Apabila tidak ada cerita tentang kejahatan, apa yang nak diceramahkan ? Yang akhirnya apa yang dicarinya cumalah materi dan dunia semata.

Mengapa tasawwuf tidak pernah digalakkan untuk kita belajar, mencari dan mendalaminya? Kerana di dalamnya adalah cerita-cerita nyata tentang roh dan kepulangan yang mana perjalanannya ke situ akan memakan saki-baki nafsu yang ada dalam diri kita yang akan menjadikan kita redup, redha dan tawadhuk dalam kerendahan hati yang tidak dibuat-buat. Itulah isi ceritanya. Tidaklah glamour tapi itulah kenyataannya.

Mengapa tasawwuf itu tidak dibicarakan secara meluas melainkan hanya minoriti saja yang berminat? Kerana kita di sini sukakan keindahan yang nampak di mata, bukan jiwa.

Yang saya faham tentang Muhammad S.A.W bab-bab nafsu seperti kawin 4, itu yang sibuk mereka ketengahkan, yang bab-bab ukhrawi tentang jiwa dan dalamannya, seakan mereka jauhkan dari masyarakat untuk kisah atau mendalaminya.

Maka tidak hairanlah hari ini, ugama hanyalah perkakas atau bahan niaga yang sangat menguntungkan dan mampu menjadikan kita makhluk yang sangat di hormati sesama makhluk,adakah itu nawaitu sebenar mereka atau hanya atas dasar kepentingan untuk dunia semata?

Saya tidaklah punya apa kepentingan dalam menyuarakan pendapat, saya tidak ada masalah dengan orang itu kaya atau orang ini miskin, mahupun jurang antara sesama kita. Cuma saya rasa ilmu tasawwuf itu wajib kita pelajari dan dalami kerana itulah yang kekal dan akan menjadi bekal kita untuk pulang nanti. Inti rasa adalah roh..itu bukan ray ban, itu bukan BMW,itu bukan kamera puluh-puluh ribu..itu bukan lambang kemewahan…itulah jalan pulang…kerana hidup ini hanyalah sebuah perjalanan cuma…

SELAMAT BERJUMAAT…


KASTA ORANG BERAGAMA

Comments Off on KASTA ORANG BERAGAMA

Kehidupan ini sentiasa sukar dan mencabar bagi golongan marhen. Kasta terbentuk dalam bentuk yang tidak pernah kita duga. Golongan bernasib baik sentiasa punya peluang untuk maju sementara golongan bawah agak sukar untuk bernafas kerana peluang biasanya ditutup dan tertutup.

Kita berbicara tentang kenyataan hidup. Golongan VIP dan anak anak-anak pak menteri itu sekolahnya di mana? Bukannya di sini walau mereka mengagungkan sistem pendidikan tahap negara ke tiga seperti negara kita ini. Mereka menghantar anak mereka ke sana, dengan segala kemudahan yang terbaik dan terbentuklah kasta walau kita ini se agama.

Kita menghantar anak kita ke klinik kerajaan jika sakit. Mereka hantar anak mereka ke klinik ekslusif walau mengidap selsema cuma, datanglah se dozen doktor pakar ke rumah yang berpagar elektif dan penuh bodyguard dan mereka pun sebiasanya akan berbicara tentang agama yang tidak memandang siapa kita dan apa peluang yang kita ada?

Inilah kenyataan hidup. Segalanya duit. Kita tidak punya pilihan jika tidak punya banyak duit. Gaji kita walau cukup untuk hidup seperti yang selalu mereka canangkan rakyat didahulukan…kenyataannya gaji para C.E.O mencecah angka yang tidak masuk di akal bagi sistem dan sifat sederhana orang yang beragama. Itu belum lagi gaji pak menteri yang pendapatan mereka di dalam dan di luar negara tidak pernah kita bayangkan.

Mereka tinggal di mana? Semudahnya mereka telah memiliki apa yang mereka mahu, segalanya penuh dengan kemewahan. Duit itu Semuanya datang dari kita yang dididik oleh mereka dengan sifat sederahana dan penuh tawaduk. Pun itupun terbentuk di dalam kasta orang yang punya agama.

Kita? Masih terkial-kial mencari dan menyimpan harta dengan harapan dapat membeli rumah kos rendah yang semakin sukar didapati. Mungkin sehingga mati kita akan hidup dengan angan-angan yang memang diperuntuk dan diajar untuk kita menerima ruang kesederhanaan seperti yang agama selalu ajarkan kepada kita. Kenyataannya?

Agama? Gunakanlah ia untuk dunia dan kepentingan…Jadikan duit itu Tuhan yang untuk semalam, hari ini dan selamanya…nescaya kita akan selamat dunia akhirat…


Page 1 of 212