Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

BOLA : SEPERTI BIASA, KITA KALAH LAGI…!

0 comments

Waktu sekolah dulu saya main bola juga, dan minat pada sukan tersebut sehinggalah ke hari ini. Pun saya bukanlah pemian hebat kerana saya main tak pakai otak sangat melainkan lutut. Ha ha ha

Pun oleh kerana kawan-kawan baik saya semuanya handal-handal belaka bermain bola dan mewakili sekolah, maka saya pun cuba juga sedaya upaya sehingga terpilih mewakili sekolah pada tahun 1982.

Saya ingat lagi nama kawan-kawan sekolah yang bagus dalam bolsepak. Antaranya Hisyam, Fakururazi, Abdul Rahim…sayang mereka tinggal di ceruk kampung, tak ada siapa yang nak tengok bakat mereka.

Sebagai peminat sukan bolasepak, saya sangat berbangga dengan kejayaan dan semangat pasukan negara kita waktu itu. Bangga sempat menyaksikan di kaca tv hitam putih pasukan kita yang di wakili pemain hebat seperti Mokhtar Dahari, David Arumugam, Soh Chin aun, Santokh Singh antaranya beraksi menentang dan mengalahkan pasukan-pasukan hebat seperti Korea Selatan, Iraq, Bahrain, Senegal dalam acara Pestabola Merdeka waktu itu. Dengan Abdullah Ali menjaringkan gol inswinger memang hebat dan real. Mereka melakukan atas semangat cintakan negara.

Hari ini? baru tadi malaysia bungkus dengan Singapura 3-0. Hari itu seri dengan Bangladesh 1-1. Dulu kalah dengan Filipina 1-0. Bangladesh sebuah negara miskin yang padang bolanya pun tahap padang sekolah kampung tepi bukit, pun Malaysia boleh seri..

Kalau bab gossip dan skandal dah mengalahkan artis. Yang si itu sibuk dengan bab nikah kawin, yang si ini sibuk dengan proses cerai di mahkamah, yang pemain itu sibuk dengan fesyen rambut dan bergaya sakan mengalahkan artis popular yang tak cerdik berlagak ceerdik.

Yang saya pelik di zaman Mokhtar Dahari dulu tak ada pun kisah skandal dan gossip ni keluar.

Selamanya mungkin sukan bola kita tak akan maju, sebab utamanya yang duduk di atas bukanlah para ahli, mereka hanya orang berniaga atas dasar untung rugi…dan mereka sebenarnya tidaklah ambil kisah sangat dengan keputusan demi keputusan atau tahap merosot pasukan bola kita.

Jadi, memang payahlah…


TUHAN, APA YANG KAMU MAHU SEBENARNYA?

0 comments

Takdir membawa kita ke mana saja yang disukainya. Kadang kita bukan suka pun dengan cerita takdir kita ini. Tapi langkah yang kita lalui ini telah ditetapkan dan inilah siri-siri yang sedang kita lalui. Percaya adalah perkara asas yang wajib untuk kita lebih belajar bagaimana untuk menghadapi siri takdir kita.

Apabila saya mendapat tahu anak Adam mendapat penyakit Autisma , itulah adalah siri takdir yang tak menarik yang perlu saya hadapi sama ada suka atau tidak. Kita sukakan cerita yang murung dan itulah yang kita akan hadapi.

Maknanya walaupun setiap hari ada waktu saya gembira, ianya tidaklah solid kerana hati saya akan menangis setiap kali menatap nasib anak saya. Siri murung ini akan saya bawa hingga ke akhir hayat. Inilah takdir yang wajib kita hadapi.

Sudahlah anak itu akalnya tidak cukup, diberikan nafsu pula. Untuk apa hikmah yang seperti ini yang perlu kita hadap yang datang dari Tuhan dan apa yang disukainya sahaja? Adakah Tuhan itu suka melihat saya berterusan memikirkan perkara-perkara yang tidak mampu saya selesaikan melainkan dengan berdoa dan meminta petunjuk yang tidak menjanjikan apa-apa pun melainkan cerita sedih yang sama sehingga ke mati?.

Pun akhirnya saya faham juga, untuk kita manusia ini, hidup ini tidaklah menjanjikan apa-apa pun yang menggembirakan. Saat ini kita suka, se saat ke depan kita akan menerima duka, walau kita tidak mahu. Bila-bila masa, dia mahu kita sedih, kita akan menghadapi saat itu. Memang tak bestlah, tapi apa yang kita boleh buat?

Jadi kesimpulannya untuk segala cerita duka kita ini, letakkan itu semua ke dalam folder jiwa kita. Jangan letakkan di folder minda sebab kehendak dan kemahuan minda itu terbatas dan terhad. Folder jiwa itu luas, tidak terbatas.

Tuhan, apa yang kamu mahu sebenarnya?

Jauh malam ku termenung
Hasrat ku dirundung malang
Tak bertempat nak bergantung
Sesal ku menanggung duka

Lamunan jauh mengembara
Terkenang peristiwa lama
Hanyalah jadi kenangan
Kenangan membawa lara

Mengapa hidup ku sengsara?
Diri ini terseksa sentiasa
Baru kini pedihnya di jiwa
Tak tertahan ku merasa

Jika ada kawan setia
Dapat ku mengadu derita
Tapi sudah untuk badan
Sengsara sepanjang masa


TAKDIR DAN CERMIN

0 comments

Kita dihadirkan ke dunia melalui perut ibu dengan berbagai cara dan cerita. Untuk itu yang kita namakan takdir, ada cerita sedih dan ada cerita suka yang mahu tidak mahu itulah yang wajib kita baca dan hadap untuk skrip kita di dunia ini.

Perlukah kita mempersoalkan takdir, perjalanan, misteri dan ceritanya?

Jawapannya bergantung kepada diri kita sendiri.

Bayangkan seorang anak kecil itu lahir ke dunia untuk satu tempoh yang singkat untuk memaklumkan kepada ibu bapanya secara tidak langsung bahawa dia akan mendapat penyakit yang serius dan akhirnya mati. Betapa misterinya perjalanan hidup kita ini.

Pun cepat atau lambat kita semuanya akan mati juga. Akal sentiasa memujuk kita supaya takutkan mati dan rindukan tubuh yang sihat dan minda yang cergas. Pun itu hanyalah kehendak akal yang kemahuannya sangat terbatas.

akhirnya kita pun bersetuju bahawa kita hadir di dunia ini atas ujian dan ehsan semata.

Nasib kita mungkin baik, mungkin juga tidak.

Memahami kehendak diri dan Tuhan adalah perkara terbaik untuk segala persoalan ketika kita di dunia ini. Kita perlukan jiwa yang teduh untuk terus melangkah walau payah.

Kita perlukan kekuatan untuk itu. Kita perlu kembali kepada ceritaNya. Kerana kita ini hadir ke dunia atas dasar cinta. Untuk itu kita perlukan semangat. Tanpa semangat apalah kita ini?

Untuk mendapat semangat itu kita wajib percaya kepada kehidupan ini. Percaya kepada kehidupan bermakna kita percaya pada kejadian. Percaya pada kejadian bermakna kita wajib pula percaya kepada yang menjadikan.

Kita melihat wajah kita di cermin, bukan orang lain…itu lah wajah kita di sini dan di sana, sentuhlah ia…


DI WAKTU YANG HENING INI, BERCERMINLAH…

0 comments

Jika ada waktu yang datangnya ‘hening’ itu, bercerminlah…lihatlah wajah kita di situ. Tidak ada yang lain selainNya.
Untuk sampai ke situ kita perlukan suasana dan jiwa yang redup. Ketegangan hanya membawa kita kepada hal-hal dunia yang tak pernah ada penghujungnya.

Untuk saya, tidak ada apa lagi yang perlu dicapai…Saya hanya berjalan di lorong yang telah disediakan untuk saya sehingga ke situ. Kita perlu punya tahap percaya dan yakin yang tinggi untuk itu.

Selainnya adalah kehidupan cuma. Tidak ada lain kepentingan melainkan kehidupan yang biasa-biasa saja.

Kepentingan saya hanyalah untuk melihat anak-anak saya membesar dalam versi dan kepercayaan apa yang sedang mereka miliki.

Yang perempuan suka menulis, saya suka jika dia menjadi seorang penulis suatu hari nanti. Yang seorang lagi suka muzik, saya suka jika dia menjadi seorang pemuzik suatu hari nanti. Yang bongsu suka melukis..dia punya bakat ke arah itu.

Inilah hakikatnya. Anak-anak saya semuanya dikurniakan otak kiri. Mereka perlu fokus dan duduk di situ. Lama-kelamaan akan sampai waktunya dan saya harap mereka akan apa faham apa yang ayah mereka maksudkan.

Kita tidak perlu menjadi orang lain selain diri kita sendiri. Membandingkan diri kita dengan orang lain yang punya kelebihan adalah kelemahan yang paling nyata dan jika itu ada, belajarlah bagaiamana mahu mengikisnya dari dalam diri kita sendiri.

Yang kita tatap adalah bayang-bayang kita sendiri, bukan orang lain. Itulah kenyataannya.