Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

ITU PADANG…AKU DI SITU …CERITA DI DALAMNYA

0 comments

Itu Padang…Aku di Situ diterbitkan pada tahun 2003. Orang kuat dalam pembikinan album ini ada 2 orang, RS Murthi dan Im Sadri. Di dalam album ini saya hanya menyanyikan lagu-lagu dan lirik saya beserta petikan akustik gitar, selebihnya Murthi yang uruskan.

Waktu rakaman di rumah kenalan Murti bermula jam 5 petang. Waktu itu hari raya Cina dan suasana agak sunyi. Orang banyak balik kampung. Sewaktu mercun raya Cina berbunyi jam 11 malam, kami mengambil keputusan untuk makan dulu di kedai mamak berhampirran dan selepas itu disambung semula sehingga jam 1 pagi.

Di sini Murti bijak dan tahu apa yang nak dibuatnya. Hanya dengan 3 microphone dengan setting yang perfect berserta digital Korg recorder 12 track, segalanya berjalan dengan sempurna.

Mengenai konsep dari segi lay out, saya ada idea berdasarkan tajuk album dan kandungan di dalamnya. Untuk merealisasikannya saya serahkan pada si tukang buat design dan lay out, Im Sadri. Sebab mereka ini faham apa yang patut dibuat.

Album ini diterbitkan dalam bentuk indipenden sepenuhnya. Maknanya nak keluar budget besar seperti nak keluarkan kos seperti album Pink Floyd dan yang sewaktu dengannya memang tak mampulah…

Waktu itu, Murthi menyatakan minat untuk terbitkan album baru saya selepas Pesta Jiwa 2 yang kualitinya agak kurang. Saya pula baru saja siapkan material dan konsep.

Anak saya yang austisma Adam yang waktu itu umurnya 5 tahun adalah sumber inspirasi saya. Dalam waktu yang sesuai saya bersama kawan saya, Din Korea seorang photographer professional membawa Adam ke taman permainan untuk diambil gambarnya dalam berbagai posisi.

Adam waktu itu kesukaannya adalah berlari dan berlari di padang. Tanpa jemu dan letih dia akan berlari semahunya, juga melompat-lompat.

Padang perlambangan bagi dunia yang fana. Aku itu adalah kita, manusia yang asalnya bermula dari Adam juga. Gambar Adam berjalan dan melangkah dari awal titik perjalanan. Sehingga kita mengenal Adam, di dalamnya Adam dan akhirnya itulah kita juga yang merupakan sebahagian dari inti segala cerita isi dunia ini.

Ada seorang anak muda yang bertanya pada saya tentang lagu Sama antara Sesama yang terkandung dalam album ini. Dia bertanya tentang maksud lagu ini.

Seperti yang tertulis di antara bait-baitnya: “Di manakah kau kalau ku mendongak ke langit. Yg ku tatap hanya awan. Aku tertipu lagi.”

Lagu ini bukan lagu ketuhanan, melainkan lagu tentang kehidupan dan falsafah juga pergolakan jiwa yang sarat. Lagu ini juga bukannya tentang agama.

Kita tidak perlu berasa tergugat akidah atau apa saja yang merisaukan sebab, ini adalah lagu tentang kehidupan dan perjalanan jiwa dalam menuju kesempurnaan. Maknanya hidup kita ini melalui proses demi proses.

Lirik dan lagu yang terkandung dalam album Padang sarat dengan eksperimen dan mesej, umpama sebuah lukisan abstrak dan surreal. Setiap pendengar punya hak untuk menilai mengikut tahap faham mereka sendiri. Saya suka mereka menilainya begitu.

Lagu-lagu yang terkandung juga agak complicated sebab waktu itu saya suka eksperimen. Saya berpuas hati dengan hasilnya.

Selepas album Padang dan album Bulan, dari segi penciptaan lagu saya mula tekankan elemen yang lebih relaks menuju kearah komersial.

Bagi saya album Padang adalah sebuah album yang berjaya dari segi konsep dan perlaksanaannya, walau pendengarnya hanya di kalangan yang minoriti sahaja.

Berbanding dulu saya jual dengan menggunakan cd burner sahaja, hari ini agak proper sikit, hantar ke kilang cd untuk dicetak. Saya harap album ini mendapat sambutan yang lebih baik berbanding waktu pertama diedarkan tahun 2003 dulu.