Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

IWAN FALS SUDAH MATI ( BERSAMA SOEHARTO)

0 comments

Baru-baru ini saya telah berjumpa dan berlabun dengan seorang kawan lama, Zunar si kartunis terkenal itu. Saya kenal Zunar sejak hujung tahun 1987 lagi kalau tak silap. Waktu itu beliau bekerja di syarikat majalah Gila-Gila. Zunar waktu itu dari segi ‘attitude’nya kawan-kawan sudah mengenalinya sebagai individu yang rebel dan berpegang kepada falsafah hidupnya yang tersendiri.

Saya pula lebih gemar bertukar-tukar pandangan dengan beliau tentang muzik dan falsafah. Dan kami juga penggemar muzik folk Indonesia seperti Iwan Fals, Doel Sumbang, Gombloh, Franky Sahilatua dan Ebiet antaranya.

Saya bertanya pendapat beliau tentang Iwan Fals hari ini. Katanya, “ Iwan Fals sudah mati bersama Soeharto”. Katanya lagi tidak sepatutnya Fals hari ini terlalu merendahkan level ‘ikon’nya dengan menyanyikan lagu-lagu cinta yang sama tarafnya dengan penyanyi pop Rano Karno.

Tambahnya lagi album Iwan Fals in Love ( 2005 ) dan 50:50 (2007) melengkapkan kegagalan seorang pengkarya bernama Iwan Fals yang akhirnya cair dengan kehendak pasaran muzik Indonesia yang semakin tidak punya nilai artistiknya hari ini.

Menjenguk ke belakang, saya mula tertarik dengan Fals tatkala terbaca kisahnya dalam keratan kecil di majalah URTV awal tahun 80an dulu. Tertarik kerana kata-katanya yang masih saya ingat “ biasa-biasa saja dong! Nanti mati pun jadi tanah juga”, dan beberapa tahun kemudiannya apabila berhijrah ke Kuala Lumpur saya mula mengikuti perkembangan dan album-albumnya secara serius.

Fals atau nama sebenarnya Virgiawan Listanto, lahir pada 3hb September 1961 di Jakarta merupakan ikon muzik Indonesia yang bertaraf legenda dan punya pengaruh yang kuat terhadap anak-anak muda dari zaman awalnya sehinggalah ke hari ini.

Di negara kita ini Fals tidaklah sepopular Ebiet G.Ade yang meletup di awal tahun 80an dengan lagu Camellia 2 dan Berita Kepada Kawan. Tidak ramai penggemar beliau atau mungkin buruh kontrak yang bekerja di sini juga kebanyakannya bukanlah peminat Iwan Fals.

Mereka lebih suka mendengar muzik dangdut semasa atau yang terbaru penyanyi cilik Tegar yang meletup namanya di Indonesia termasuklah di Malaysia.

Penggemar muzik Fals hanyalah di kalangan kita yang mengikuti perkembangan muzik dan alirannya secara serius.

Banyak sangat albumnya yang saya beli dulu tapi yang paling berkesan bagi saya album ‘ Mata Dewa ( 1989 )’, ‘Cikal ( 1991 )’, ‘Belum ada Judul( 1992 )’ dan ‘Anak Wayang ( 1994 )’.

Kolobrasi Fals yang paling menjadi bagi saya sewaktu berganding dengan seorang lagi penyanyi folk unik Sawong Jabo dalam album Anak Wayang. Dari segi senikata dan bahasa, saya lebih tertarik pada kata-kata yang ditulis oleh Jabo berbanding Fals.

Sewaktu album projek band Swami ( 1989 ) dan Kantatatakwa ( 1990 ) diterbitkan penerbit jutawan Setiawan Jodi membabitkan Rendra, Jabo, Setiawan dan beberapa nama lagi, saya beli juga album-album mereka itu tapi itu bagi saya tidaklah menyengat sangat walau Swami meletup dengan lagu Bento dan Bongkar.

Kata Zunar, “ dulu Fals pun menyanyikan lagu-lagu cinta juga, tapi lirik-liriknya bijak dan rugged seperti lagu ‘22 Januari’ ‘Sebelum Kau Bosan’, ‘Buku Ini Aku Pinjam’ ‘ Antara Aku, Kau dan Bekas Pacarmu’ antaranya, tapi selepas album Mata Dewa lagu-lagu cintanya tidak punya value dan macam level budak sekolah menengah”.

saya bersetuju dengan pendapat beliau itu. Memang Fals yang dulu bukanlah yang sekarang. Perjalanannya dari seorang pejuang yang rebel dalam seni dan reformasi atau dari era tidak konvensional menuju ke era konvensional dan hari ini beliau hanya menjadi pujaan anak-anak muda yang sangat mengkaguminya walau beliau sudah tidak punya apa cerita untuk diperjuangkan.

Bagi saya yang paling nyata dan drastik tentang perubahan ‘attitude’ Fals pertamanya apabila anak sulungnya Galang Rambu Anarki meninggal dunia pada tahun 1997 dan bila era Soeharto berakhir pada pertengahan tahun 1998.

Kesan kematian anaknya Galang begitu menusuk ke jiwa Fals sehingga beliau mengambil keputusan untuk berehat sehingga tahun 2002 apabila muncul dengan album Suara Hati ( 2002 ).

Berbanding antara semua penyanyi folk yang hebat seperti Franky, Ebiet, Gombloh, Doel, Sawung Jabo mahu pun Leo Kristi, kalau dari segi popularitinya Iwan Fals paling berjaya dan sukses. Franky dan Gombloh sudah meninggal.

Ebiet pula semakin menyepi dari segi karya melainkan hanya menyanyikan lagu-lagu lamanya dan lagu-lagu selepas album Camellia 4 nya tidaklah menyengat sangat. Doel pula terus hanyut dalam dunia Jaipang dangdutnya yang basa-basi itu.

Jadi hanya Fals yang paling berjaya dan namanya terus hidup sehingga gambar dan ceritanya terpampang dalam majalah Rolling Stones versi Indonesia edisi Mei 2007.

Saya mungkin memahami kehendak dan fitrah alam memang begitu ceritanya. Semua penyanyi yang saya kagum dulu sebenarnya hanya bagus di waktu dan saat itu. Waktu di mana segalanya bermula dari kosong. Di mana segalanya dibentuk mengikut apa kata hati tanpa punya kepentingan yang besar.

Apabila terbentuknya acuan dari kehendak dan pembawaan biasanya mereka akan bermukim di situ untuk suatu tempoh apatah lagi jika gaya dan acuan mereka diterima khalayak. Pun di waktu itu mereka mungkin bujang trang tang tang dan tidak punya komitmen yang besar dalam hidup.

Itulah musim yang pernah dilalui oleh artis-artis seperti Ebiet, Fals, M.Nasir juga Sohaimi Mior Hassan. Musim yang terbaik hanya akan datang sekali di dalam hidup. Apabila kita telah melewatinya seiring usia yang semakin menginjak ke depan, kehendak jiwa yang lebih mengimpikan suasana yang redup dan damai akan membawa kita ke wilayah itu tanpa kita minta. Takdir membawa kita ke mana saja yang disukaiNya.

Hari ini saya tidak mengharapkan apa-apa karya pun dari seorang pengkarya bernama Iwan Fals. Album terakhirnya yang saya miliki itulah 50:50 .Segalanya sudah tertulis untuknya, juga untuk kita memilih siapa yang kita suka atau tidak. Apa pun saya masih mendengar lagu-lagu lama Iwan Fals sehingga ke hari ini.

Artikel ini telah disiarkan di portal Malaymailonline


HITAM DAN PUTIH, PELENGKAP CERITA SEBUAH KEHIDUPAN

0 comments

Saya melihat mereka yang tekun dengan watak mereka itu sedang bekerja di atas bangunan yang tinggi. Bagaimana mereka melakukannya? Tidak gayatkah bekerja di tempat yang tinggi? Saya tidak mampu melakukan apa yang mereka lakukan itu.

Bayangkan, untuk meraih pendapatan sehari dari rm 50 hingga rm 100 ( atau mungkin lebih dari jumlah itu sekalipun ), mereka sanggup melakukan kerja yang merbahaya semata-mata untuk terus hidup dan meraikan hidup.

Kita boleh kata kita bernasib baik kerana mendapat pekerjaan yang baik dan tidak membahayakan atau dikurniakan bakat yang membolehkan kita mencari rezeki dengan bakat yang kita miliki.

Atau boleh saja kita dikatakan bernasib baik kerana diwujudkan ke dunia ini sebagai khalifah, makhluk paling istimewa antara sekelian makhluk yang dijadikan Tuhan.

Pun kerana terlalu istimewalah akhirnya kita bercakaran antara sesama kita, sesama agama pun kita bergaduh juga. Kita saja yang betul, yang lain semuanya tak betul.

Salah seorang rakan seperjuangan saya dalam dunia ‘busking’, dulunya seorang nelayan yang berpendapatan sehari sekitar rm 40 ke rm 50. Betapa sukarnya pekerjaan itu tapi demi untuk terus hidup dia tetap melakukannya sehingga bertukar kerjaya menjadi seorang busker sejak 9 tahun lalu.

Tentulah kerjaya sebagai seorang busker lebih sesuai dengan jiwanya kerana dikurniakan Tuhan dengan bakat dan suara, berbanding menjadi nelayan yang terpaksa bekerja menggunakan tenaga di tengah laut sepanjang hari dengan segala bahaya yang mungkin melanda bila-bila masa.

Begitu juga beza dari segi pendapatan busking dan nelayan. Memang pendapatan pemuzik jalanan sangat subjektif kerana ianya tidak tetap dan tidak menentu, namun melalui pengalaman saya, saya tahu mereka mampu meraih pendapatan yang berbaloi dengan pengalaman, bakat dan suara mereka.

Seorang lagi kawan saya yang juga seorang busker warga Malaysia, menghabiskan waktu kariernya di Jerman. Terpaksa pulang ke Malaysia kerana tempoh visanya tamat. Di sini dia cuba mencari pendapatan dengan busking di Malaysia.

Sudahnya bila berjumpa saya, hanya rungutan dan bebelan yang keluar dari mulutnya yang tidak puas hati dengan level pemikiran masyarakat kita yang tidak sama seperti di Eropah sana. Katanya bagaimana untuk meneruskan kehidupan dengan pendapatan busking sebanyak rm 10 hingga rm 15 sehari?

Saya hanya mendengar dan tidak memberi apapun pandangan kerana terlalu banyak yang perlu kawan saya itu belajar jika mahu hidup sebagai seorang busker di Malaysia. Ini bukan berkenaan handal atau tidak kita bergitar atau bernyanyi, ini tentang bagaimana kita mahu memahami, menyelami budaya dan tahap pemikiran masyarakat kita.

Apapun seperti kata Bob Dylan, saya hanya katakan kepada kawan saya itu, ‘the answer my friend, is blowin in the wind, the answer is blowin in the wind’

Atau apabila saya melihat gelagat seorang pakcik yang sering singgah di port busking saya, yang gelandangan lantaran terlalu dalam dan kacau jiwanya sehingga hilang nilai keseimbangan. Akibatnya sebahagian dari masa hidupnya dipenuhi dengan cerita tentang langit yang diselit angan-angan dunia yang hanya dia seorang yang faham.

Bila akal dan jiwa tidak sekata, apa lagi yang boleh dikata? Isteri pun lari membawa diri, mengenangkan suami yang sudah tidak seperti ‘orang’ lagi.

Apabila saya melihat pak cik itu masih mengambil berat tentang anak lelakinya yang berumur 18 tahun, saya masih punya rasa hormat kepadanya kerana masih punya rasa tanggungjawab yang masih perlu dipikulnya walau dalam kondisi yang seadanya.

Bagaimanapun saya percaya punca segalanya di dunia ini adalah duit. Tak ada duit masalah akan timbul. Bila berserabut, jiwa akan jadi kacau dan di saat itulah manusia akan kembali mencari Tuhannya dalam bentuk dan kefahaman yang difahaminya.

Kalau gila hingga kita terlupa langsung tentang dunia dan ceritanya, itu bagi saya masih adil sekurang-kurangnya untuk diri kita sendiri, tapi kalau masih memerlukan dunia, nafsu dan ceritanya, itu bagi saya lebih baik jika kita kembali menjadi manusia yang punya arah dan tujuan.

Kita melihat manusia akan melakukan berbagai kerja mengikut kemampuan, rezeki dan kebolehan mereka dalam berbagai bidang yang mereka ceburi. Ada yang menjadi buruh, ada yang jadi kontraktor, ada yang jadi perdana menteri, penguasa, raja dan sebagainya.

Baru-baru ini Perdana Menteri kita Dato’ Seri Najib Tun Razak telah datang melawat KL Sentral. Pihak pengurusan KL Sentral membuat persiapan rapi untuk menyambut kedatangan PM.

Saya lihat apabila PM lalu dan singgah, satu KL Sentral memberikan perhatian kepada beliau dengan berduyun-duyun para jurugambar, wartawan, wakil dari pihak pengurusan yang mengiringi .

Kita boleh lihat betapa penting dan berharganya kita jika kita ini seorang Perdana Menteri. Apa saja yang dilakukan akan menjadi perhatian. Diraikan pula dengan penuh meriah dan rasa hormat.

Apabila kita berkuasa dan punya segala pakej kesempurnaan khususnya dari sudut materi dan kebendaan, kita akan disanjung dan dihormati, apatah lagilah jika kita ini seorang PM ataupun kerabat di raja.

Jika kita ini warga kelas tiga ataua marhaen, kita sering tidak diendahkan. Inilah adat dunia. Mereka hanya melihat apa yang indah di mata.

Mulia dan hina itu permainan alam dan manusia. Di sisi Tuhan kita semuanya sama saja.

Apa yang saya pasti, yang sering saya lihat dan tonton, apabila Sasterawan Negara kita, Datuk A.Samad Said atau Pak Samad lalu di KL Sentral, beliau akan menjadi perhatian para warga dari pelbagai lapisan masyarakat, tidak kira samada mereka itu di pihak kiri mahupun kanan.

Melangkah selangkah, mereka akan mengambil kesempatan bergambar dengan beliau. Betullah kata P.Ramlee, ‘orang jujur dikasihi Tuhan.’

Kita melihat berbagai watak para insan yang bergelar khalifah menjalankan tanggungjawab mereka di muka bumi ini. Ada watak yang dimulia dan dihormati, ada yang dikeji, ada yang dihina.

Berbagai corak dan warna, tidak kira sama ada hitam mahupun putih, merekalah pelengkap cerita dunia yang berwarna warni ini.

Artikel ini telah disiarkan di portal Malaymailonline