Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

KISAH HO VAN THANH DAN SEEKOR BABI HUTAN

0 comments

Membaca berita tentang kisah warga Vietnam yang juga seorang bapa, Ho Van Thanh ( 82 tahun ) dan anaknya, Ho Van Lang( 41 tahun) yang baru-baru ini ditemui di dalam hutan tebal Vietnam selepas 40 tahun menyembunyi dan melarikankan diri dari kekejaman perang dan tamadun memang membuat saya termenung dan berfikir.

Banyak yang saya fikir dan bayangkan tentang tentang nasib dan perjalanan hidup mereka berdua, bagaimana mereka mengharungi kehidupan dalam hutan yang tebal itu ? Betapa kecewanya si bapa dengan takdir yang telah menimpa mereka sehingga sanggup lari dari dunia yang nyata. Dan dengan takdir Tuhan juga, mereka masih terus hidup sehingga ke hari ini…

40 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Tahun 1973, Anaknya Lang waktu hanya berumur 2 tahun sewaktu rumahnya dibom tentera Amerika yang bersekutu dengan Vietnam Selatan dalam perang Vietnam , bahkan isteri serta dua orang anaknya juga turut terbunuh waktu itu.

Kisah mereka anak beranak ini terus mengingatkan saya tentang perang dan kesannya. Perang Vietnam adalah antara perkara paling bodoh dan kejam yang telah Amerika lakukan dan yang paling menarik, secara maruah dan tidak langsungnya, mereka kalah dalam peperangan itu.

Peperangan yang berlangsung dari tahun 1957 hingga ke tahun 1975 itu tidak membawa apa-apa makna dan untung kepada Amerika, bahkan aib yang mereka terima. Vietnam utara bergaduh dengan Vietnam selatan. Vietnam Utara disokong Kesatuan Soviet dan Cina. Vietnam Selatan pula disokong Amerika. Amerika matlamat mereka jelas, demi sumber asli getah dan bijih.

Sebelumnya Vietnam dijajah oleh negeri Cina sejak tahun 110 SM sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 938. Abad ke-19 Perancis pula ambil alih. Kita melihat kuasa-kuasa besar luar seperti Perancis, Jepun, Cina, Amerika berebut-rebut untuk mendapatkan Vietnam kerana hasil bumi yang saya sebutkan tadi.

Maka Utara dan Selatan pun bergaduh, yang jadi mangsa rakyat jelata. Ho Van Thanh yang waktu itu menyokong perjuangan Vietnam Utara yang berfahaman Komunis yang dipimpin oleh Ho Chin Minh itu adalah salah seorang mangsa kekejaman perang yang kesannya ditanggung sehingga ke akhir hayat. Akhirnya Vietnam Selatan mengaku kalah sepenuhnya.

Kesan kekecewaan itu jelas sehingga selama 40 tahun beliau sanggup tinggal di dalam hutan, membuang cerita dan nikmat kehidupan normal yang tidak adil, sekurang-kurangnya kepada mereka anak beranak.

Jelaslah di dalam hutan itu mereka masih dipelihara Tuhan, diberi kesempatan hidup untuk memberi pengajaran kepada kita-kita yang berkepentingan ini bahawa bahagia itu tetap ada di mana-mana hatta di dalam hutan sekali pun.

Tidak hairanlah anaknya Ho Van Lang yang hanya tahu bercakap sepatah dua perkataan itu masih rindukan hutan tebal tempat tinggalnya. Seakan dia mengerti tentang erti fitrah dan kejadian juga masalah yang amat untuk dia menjadi sebahagian dari masyarakat.

Manusia hidup berdasarkan kepentingan. Asasnya adalah keperluan. Makan, pakai, baju, seluar, kebersihan…segala-galanya adalah asas keperluan dalam hidup bermasyarakat. Dan semuanya memerlukan kos, bukannya percuma.

Tinggal di hutan tidak memerlukan kos atau belanja. Untuk menghilangkan lapar dan dahaga mereka punya sumber asli seperti air sungai yang masih suci dan tidak tercemar. Untuk makan, mereka bercucuk tanam dan menjadikan buah-buahan hutan sebagai makanan. Untuk pakaian pula, sekadar bercawat menutup apa yang perlu itu sudah mencukupi kerana tidak ada siapa pun akan mengintai dan menonton kehidupan mereka di dalam hutan tebal itu. Jadi keperluan dan kehendak mereka sangat minimum sebenarnya.

Cerita dari seorang pencerita, dulu kala ada seorang manusia yang tinggi darjatnya disisi masyarakat, yang kaya-raya tapi banyak melakukan dosa dan silap dalam hidupnya. atas satu sumpahan maka dijadikanlah dia seekor babi hutan sebagai karma yang perlu ditebusnya.

Untuk menjadikannya hidup semula seperti manusia, maka dia perlu ditembak oleh manusia sehingga mati. Dan selepas itu si kaya itu akan kembali menjadi manusia baru yang suci tanpa dosa…

Makanya si kaya itu pun menjalanilah kehidupan sebagai seekor khinzir hutan. Sehingga akhirnya khinzir itu mendapat pasangan dan beranak-pinak hidup dalam aman dan bahagia sebagai makhluk Tuhan juga walau dihina kerana hodoh dan jijik.

Pada suatu hari datanglah seorang penembak mahu menembak babi itu. Tiba-tiba penembak itu terkejut mendengar rayuan babi itu yang katanya janganlah dia ditembak kerana dia sudah mendapat kebahagiaan hidup setelah menjadi babi dan tidak mahu menjadi manusia lagi…

Akhirnya penembak itu pun membatallah niatnya untuk menembak babi itu tadi…maka babi yang asalnya dari manusia itu pun hiduplah dengan aman dan bahagia bersama pasangan dan anak-anaknya.

Kuasa-kuasa besar kerja mereka hanya menjajah dan matlamat mereka jelas, yakni menghalalkan kejahatan dan kekejaman. Percaturannya ialah para soldadu dan rakyat jelata manakala pemimpin goyang kaki dikerusi empuk sambil bergelak ketawa menonton wayang gambar yang merekalah menjadi tok dalangnya.

Jelaslah juga cerita tentang keamanan dan kemanusiaan di dunia ini tidak punya sebarang pengertian dan simpati dari mereka yang punya kuasa dan berkuasa. Kuasa umpama Tuhan yang mampu melakukan apa saja. Negara kita dulu pun turut sama dijajah sejak sekian lama. Apa yang kita dapat lakukan ?

Berbalik kepada cerita si Thanh dan Lang dua beranak itu, kehidupan mereka sebenarnya sama seperti kehidupan warga asal pribumi yang mampu hidup tanpa bergantung pada denyut dan nadi kota yang bodoh dan sombong ini.

Kita di sini terlalu dimanjakan dengan segala elemen kebendaan dan bergantung sepenuhnya kepada kemudahan yang telah disediakan. Apabila bekalan air terputus selama beberapa hari, kita sangat risau dan resah seolah itu satu masalah yang besar pula. Apabila bekalan elektrik pula terputus, kelam-kabut kita ke kedai runcit mencari lilin seolah kegelapan itu musuh kita yang paling ditakuti.

Mungkin sudah sampai masanya kita kembali merenung tentang – ‘untuk apa kita di sini sebenarnya’?

KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE


KUALITI ANTARA KOMPOSER, LAGU DAN GUBAHAN

0 comments

Lagu yang terbaik bagi saya jika melodinya seakan melayang namun masih tidak sesat dalam bentuk dan sifatnya. Saya ingin berkongsi pendapat mengenai lagu dan komposer tempatan kita yang bagi saya punya kualiti dan bijak.

Yang di luar negeri itu saya rasa tak perlulah saya ulas sebab terlalu banyak sangat yang hebat dan bagus-bagus, ditambah pasaran mereka adalah antarabangsa.

Saya mula belajar mencipta lagu dan lirik tahun 1983 dulu, setahun berikutnya saya sudah punya demo tape sejumlah lagu yang saya cipta sewaktu di kampung dulu. Lirik pun saya masih tercari bentuk dan kefahamannya, jadi saya anggap itu zaman pramatang saya dalam mengenal muzik dan rasa.

Waktu itu sangat terpengaruh dengan lagu dan nyanyian penyanyi legenda Indonesia Ebiet G.Ade jadi saya masih tercari-cari ‘trademark’ sendiri. 1986 saya cuba hantar lagu-lagu yang saya nyanyikan ke beberapa syarikat rakaman besar namun semuanya ditolak.

Sehinggalah awal tahun 90an dulu di mana saya telah mendapat bentuk dan gaya yang saya mahu, malang pula karya-karya saya hanya mengikut acuan saya sendiri yang penuh dengan nilai-nilai idealis. Sudahnya saya pun lupakan mainstream, syarikat rakaman, stesen radio atau apa saja yang melibatkan kemilau bintang dan materi.

Saya mengambil kuputusan untuk berjalan di jalan yang saya terokai dan selesa dan saya masih tekun dengan apa yang saya lakukan sehinggalah sekarang.

Pun begitu, seperti singer songwriter yang lain, saya juga mengikuti perkembangan muzik dan lagu tanahair dan punya hormat yang tinggi terhadap karya-karya yang saya anggap hebat.

Yang terbaik bagi saya karya-karya seniman agung kita Tan Sri Datuk Amar Dr.P.Ramlee, terutamanya ketika era Jalan Ampas di tahun 50an dulu. Terbaik kerana lagu-lagu yang diciptanya sangat menarik dan bermutu tinggi.

Dengarkan lagu Getaran Jiwa, Ibu, Tunggu Sekejap dan Merak Kayangan antaranya. Seperti lagu Getaran Jiwa, Ibu mahupun Tunggu Sekejap yang diciptanya waktu era Jalan Ampas di tahun 50an dulu.

Betapa lagu-lagu tersebut sangat berkualiti dari segi melodi dan susunan muziknya yang penuh dengan mood jazz walaupun dalam genre pop.

Kita boleh lihat tahap penerimaan masyarakat dulu di tahun 50an lebih terbuka dan bijak berbanding pendengar dan peminat di zaman ini. mungkin kerana dulu pengaruh dari filem filem yang mengandungi lagu lagu hebat berjaya memberikan impak dan menusuk ke dalam jiwa penonton.

Saya percaya jika lagu seperti Getaran Jiwa itu dicipta di zaman ini, pendengarnya hanyalah dari kalangan yang minoriti kerana tahap faham masyarakat yang masih lemah dan manja dengan irama yang stereotype. Selain pop memang payah orang kita nak terima.

Buktinya sejauh mana penerimaan masyarakat kita terhadap muzik selain pop terutamanya jazz? Pemuzik jazz yang hebat-hebat masih ‘struggle’ bermain di hotel dan pub. Adakah mereka berjaya menembus pasaran komersial?

Tiba di era 60an, P.Ramlee masih mencipta lagu yang bagus tapi tidaklah sehebat lagu-lagunya sewaktu di Jalan Ampas. Bagi saya P.Ramlee adalah pencipta lagu terhebat yang pernah kita miliki.

Tahun 60an juga mematikan kreativiti pengkarya. Zaman A Go Go dan rock n roll menjadikan muzik lebih kepada fesyen dan budaya. Kebanyakan lagu-lagu di zaman itu juga disadur dari barat mahupun dari lagu-lagu Hindi.

Kandungan dalam lirik lirik lagu di tahun 60an juga sangat lemah dan kebanyakannya bertemakan cinta memuja gadis, kecewa, merana dan meratap. Kita boleh lihat di waktu itu lirik yang dihasilkan cincai belaka dan tidak matang.

Pun begitu saya suka muzik dan lagu-lagu 60an dari segi bunyi dan nilai kejujuran dalam lagu-lagu di zaman itu.

Masuk ke era 70an Dato Dr Ahmad Nawab antara komposer yang paling menonjol dan berbakat di zaman itu. Menarik kerana di zaman analog beliau berjaya menghasilkan penyanyi penyanyi yang bertarf legenda seperti Jamal Abdillah, Sharifah Aini, Uji Rashid, Ramlah Ram dan D.J.Dave antaranya.

Dengarkan lagu-lagu hebat ciptaan Ahmad Nawab seperti Bunga Tanjung yang dinyanyikan oleh Sharifah Aini ( dato’ ).

Lagu-lagu Ahmad Nawab di tahun 70an bagi saya banyak yang berkualiti. Kebanyakan lagunya menarik dari segi susunan muzik yang penuh dengan elemen progresif yang disesuaikan dengan selera masyarakat kita.

Era 80an kita menyaksikan kehebatan M.Nasir ( datuk ) sebagai komposer yang paling berjaya. Berbeza dengan komposer lain, M.Nasir lebih menitik beratkan lirik dan mesej dalam karya ciptaannya tidak kira untuk dinyanyikan sendiri mahupun untuk dinyanyikan oleh penyanyi lain.

Nasir terkenal kerana berjaya berjaya masuk ke dalam pemikiran dan budaya anak muda di zaman rock kapak tahun 80an dan awal tahun 90an melalui lagu-lagu ciptaannya yang unik dan menarik.

Antara lagu yang paling berkualiti beliau seperti lagu Kias Fansuri, Andalusia dan lagu-lagu dari album Phoenix Bangkit. Berbeza dengan yang lain kerana beliau memasukkan elemen timur tengah di dalam lagu-lagunya.

Tidak kira dari segi konsep mahupun susunan muziknya, ianya penuh dengan mood timur tengah dan ‘flamenco’.

Saya juga salut dengan bakat yang dimiliki komposer Manan Ngah. Banyak lagu-lagu ciptaan beliau yang bagi saya berkualiti seperti lagu Kasih Tak Terhurai ( Sheqal ), Bukan Kemahuan Fikiran ( Fauziah Latif ), Merisik Khabar ( Sudirman ), Aku Hanya Pendatang ( Francisca Peter ) antaranya

Menarik kerana susunan muziknya yang kalau saya dengar lagu-lagu seperti Kasih Tak Terhurai mahupun Merisik Khabar, ia akan mengingatkan saya pada muzik dan lagu-lagu Alan Parsons Project terutama dari segi susunan muziknya yang banyak ‘attack’.

P.Ramlee, M.Nasir dan Manan Ngah. Mereka bagi saya adalah komposer yang terbaik yang mewakili zaman mereka.

KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE


JEREBU, MUZIK DAN PENCEMARAN

0 comments

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan masalah jerebu yang datang dari Indonesia. Memang teruk kali ini bahananya. Bacaan Indeks Pencemaran Udara ( IPU ) mencecah bacaan sehingga 487 di Pelabuhan Klang . Bayangkan jika bacaan 100 pun sudah dikira bahaya. Sebelum ini sering juga negara kita dilanda jerebu yang datangnya dari negara jiran juga, tapi tidaklah seteruk ini.

Sebagai seorang warga Malaysia yang sempat melalui hari-hari yang menyeronokkan bersama jerebu di Kuala Lumpur, saya juga menggunakan topeng muka tatkala bermotosikal ke Kota untuk bekerja. Kesan jerebu membuatkan kepala kita pening dan tidak selesa bernafas.

Seorang kawan saya yang tinggal di Pelabuhan Klang menghadapi detik sukar dalam menangani masalah jerebu berhari-hari lamanya. Asap masuk sampai ke dalam rumah sehingga sukar untuk bernafas.

Bagi saya segala yang berlaku ini berpunca dari sikap kita sendiri, umat manusia yang semakin renggang perhubungan mereka dengan alam.

Saya lebih suka menilai setiap musibah yang berlaku ini dari sudut fitrahnya perhubungan antara kita dengan alam.

Kata-kata penyanyi folk Indonesia Ebiet G.Ade dalam lagunya ‘ Berita Kepada Kawan’ itu memang benar:

‘Mungkin Tuhan mulai bosan, melihat tingkah kita…
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa,
Atau alam mulai enggan, bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang’
Berita Kepada Kawan ( Ebiet G.Ade )

Atau kalau kita mahu yang lebih keras, sila dengan lagu Isi Rimba Tak Ada Tempat Berpijak Lagi dendangan Iwan Fals, juga penyanyi folk kelahiran Indonesia..

Bila kita dengar balik album solo Zainal Abidin ( 1991 ), yang meletup di pasaran waktu itu dengan lagu Hijau, kita perlu bermuhasabah kerana segala yang datang ini semuanya berpunca dari kita juga. Liriknya yang bercerita tentang alam dan pencemaran mengkritik secara halus dan lebih berhemah.

Album Zainal Abidin ( 1991), Gamal ( 1993 ) dan Terang…Sang ( 1995 ) adalah antara album yang paling bagus dan berkualiti yang pernah dihasilkan dalam sejarah muzik di Malaysia.

Roslan Aziz selaku penerbit telah menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang untuk album Zainal ( 1991 ) dan Gamal ( 1993 ). Terbaik kerana susunan muzik, tema alam dan kemanusiaan, kualiti rakaman dan bercirikan World Music. Dan yang lebih menarik konsep muzik dalam album tersebut berjaya mencetus fenomena di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Lagu sepatutnya bukan hanya untuk didengar untuk halwa telinga tapi bermanfaat jika kita mendengar akan bait-bait dan mesej yang tersurat juga tersirat untuk buat kita berfikir dan lebih bagus jika kita peka dalam menjalani proses hidup ini dengan lebih dewasa dan matang. Kita adalah sebahagian dari makhluk di dunia, harus kita mengambil berat tentang isi bumi yang kita pijak ini.

Perhubungan kita dengan alam sudah lama renggang. Hutan-hutan habis kita tarah, demi pembangunan. Sungai-sungai habis kita kambus, demi pembangunan. Bukit-bukit habis kita ratakan, pun demi pembangunan.

Kita perlukan pembangunan tapi jika segalanya habis ditebang, apa yang akan tinggal lagi? Sebab itu bila hujan turun dengan lebat dan mengakibatkan pokok tumbang, itu kita kata bencana alam. Macamana alam nak berkawan dengan kita lagi kalau kita manusia ini terlalu berkepentingan untuk kepentingan atas nama pembangunan saja ?

Sudahnya bila terjadi jerebu hasil pembakaran hutan dan ladang di kepulauan Riau, Indonesia sana, kita jadi kelam-kabut. Sana-sini topeng muka laris dan kita semakin prihatin tentang kesihatan. Semua orang kalau boleh tidak mahu sakit disebabkan jerebu.

Bagi perokok tegar pula asap masuk luar dan dalam. Saya pun tak tahu nak terangkan macamana lagi. Bayangkan kita sedup asap rokok berserta asap jerebu. Asap rokok itu kuranglah pening, tapi asap jerebu memang akan mengakibatkan kita pening dan tidak selesa.

Saya pernah bekerja sebagai Pemeriksa Menara Telekomunikasi di Perak pada tahun 2006-2009. Tugas saya adalah memeriksa setiap menara atau pencawang telekomunikasi milik TELCO ( Syarikat telekomunikasi seperti DIGI, Celcom dan Maxis ) yang terdapat di Perak.

Dan saya pernah ke Bukit Larut yang terletak di Taiping atas urusan kerja waktu itu. untuk ke Bukit Larut kita perlu menaiki Land-Rover yang disediakan PejabatTaman Peranginan Bukit Larut. Jadi saya dan seorang rakan kerja pun naiklah Land Rover tersebut yang dipandu seprang pekerja usia 50an berbangsa India yang sudah 20 tahun bekerja turun naik bukit itu tanpa rasa bosan.

Apabila saya sampai ke atas, udaranya memang segar. Oksigen memang menyamankan, sangat berbeza dengan debu kota yang mencacatkan segalanya. Bukit Larut merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia.

Berbual dengan pemandu yang namanya Muthu itu, katanya kalau boleh dia mahu tinggal di atas Bukit Larut itu kerana udaranya yang asli, segar dan tidak tercemar. Kita boleh lihat pohon-pohon subur dan hijau di sekeliling kita.

Kembali ke alam nyata, kita terpaksa berhadapan dengan asap yang kotor setiap hari, di sana sini para pekerja asing sibuk menyiapkan bangunan-bangunan tinggi yang tak tahu bila akan siap, mungkin 100 tahun lagi pun tidak akan siap. Siap yang ini, bina pula yang lain. Kita pula semakin bersesak manakala segala hutan dan pokok habis ditebang demi menyuburkan kantung para pemaju yang siang malam asyik mengira untung dan rugi sebagai orang bisnis.

** KOLEKSI ARTIKEL MLAYMAIL ONLINE


MH 370 – HAKIKAT SEBUAH PERJALANAN

0 comments

Hidup ini adalah sebuah perjalanan yang panjang, penuh dengan siri-siri bahagia juga derita dalam meniti prosesnya. Kita tidak mampu mengungkapkan segala rahsia yang terkandung di dalamnya. ada yang mampu kita hurai, ada yang berbelit, ada yang langsung kita biarkan saja menjadi persoalan dan misteri.

Ada yang nyata, ada ada yang tidak nyata. Ada yang kita dapat jawapannya, ada yang akan tergantung di langit sana menjadi rahsia dan kebesaranNya jua.

Begitu jugalah apabila kita memperkatakan tentang berita paling hangat saat ini atau tahun ini yang sedang berlaku di negara kita ini bahkan menjadi tajuk berita utama di seluruh dunia juga.

Segalanya tentang MH370 – pesawat Malaysia Airlines ( MAS) yang membawa lebih 200 penumpang dan 12 anak kapal yang hilang dari radar ketika dalam penerbangan ke Beijing sabtu lalu.

Di mana-mana saja, di kedai kopi, lepak-lepak sembang dengan kawan, di parlimen, di kaki lima, hatta jika pengemis bersidang sesama mereka pun topiknya tidak lain dan tidak bukan – MH370

Saat artikel ini disiapkan dan sehingga ianya disiarkan nanti, saya tidak pasti samada MH370 sudah atau belum kita temui. Ini bukan berita biasa, ini berita luar biasa. Dunia sedang melihat Malaysia dan mana yang masih belum kenal Malaysia, Welcome To Malaysia!

Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 yang berlangsung tahun sepanjang tahun ini, secara tidak langsung ianya mempromosikan Malaysia di mata dunia.

Kita adalah pengembara, pesawat terbang dengan kendalian juruterbang dan anak kapalnya, untuk menuju destinasi. Ratusan penumpang yang terlibat juga adalah pengembara. Masing-masing dengan misi mereka masing-masing.

Malapateka datang bukan kita yang minta. Kita kalau boleh tentulah mahu yang indah-indah saja yang dihidangkan untuk kita.

Tapi cerita tentang Tuhan dan ciptaannya, itu kita jangan nafikan. Seperti lautan yang tidak sepenuhnya kita selami, apatah lagi tabir langit hanya sedikit yang mampu kita ungkapkan.

Di penghujungnya, apabila segala daya sudah kita usahakan, yang hanya kita mampu lakukan hanyalah berdoa selain berusaha.

Tidak hairanlah atas namanya usaha, Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP” Ibrahim Mat Zin pun turut terlibat memainkan peranan mambantu pihak kerajaan menggunakan kaedah tradisional, nyatalah pada kita yang zahir dan batin itu saling perlu memerlukan.

Saya faham situasi mereka yang prihatin dan terdesak, apa saja jika ianya dapat membantu menyelesaikan masalah dan kebuntuan, lakukanlah atas namanya usaha walau ianya agak janggal dari segi adat dan kepercayaan.

Dan nyatalah perlakuan bomoh terkenal tersebut telah mengundang caci-maki dan lawak jenaka masyarakat di dalam dan seluruh dunia.

Bagi saya, apa saja yang kita mahu lakukan dengan niat untuk membantu, itu tetap satu perkara baik. Segalanya bergantung pada nawaitu kita.

Cuma jika benda yang dilakukan atau ritual yang janggal di mata masyarakat, budaya dan kepercayaan, eloklah tertutup agar tidak mendatangkan fitnah. Kesannya kini ianya sudahpun menjadi bahan lawak dan jenaka masyarakat dalam dan luar negeri.

Teringat saya akan kisah seorang sahabat yang berhadapan dengan situasi yang terdesak untuk menyelamatkan anak sulungnya yang berhadapan dengan sakit kronik dan kritikal.

Sahabat saya ini akan melakukan apa saja usaha jika itu mampu menyelamatkan nyawa anaknya yang genting saat itu.

Sehinggalah satu ketika, atas arahan dan petua seorang bomoh, beliau sanggup berendam tujuh kali di tepi laut dalam waktu senja yang hening. Habis basah segala pakaian yang dipakainya waktu itu. wajib pula membuang terus pakaian yang basah itu ke laut.

Untuk ke laut terdekat pula bukanlah satu perkara yang mudah kerana laut yang paling dekat pun jaraknya lebih 6o km dari Kuala Lumpur. Tapi demi sebuah cinta yang tak terhingga nilainya, si ayah sanggup melakukan apa saja jika itu yang terbaik untuk anaknya.

Bukankah apa yang sahabat saya ini lakukan suatu perkara yang di luar dari kebiasaan manusia yang normal? Tapi atas namanya usaha, kita akan melakukan apa saja jika keadaan mendesak.

MH370 yang hilang lenyap tanpa kesan? Bukankah ini siri misteri untuk menambah koleksi misteri yang namanya kehidupan seperti kita mendengar lagu Ebiet yang judulnya ‘ Dua Minit Ini Misteri’ yang terdapat dalam album Camellia 4 nya yang hebat dan berkualiti itu?

Segala pandai akal dan kemajuan sains dan teknologi telah para bijak pandai dunia gunakan semaksimunya untuk cuba menyelesai dan menghuraikan persoalan yang kebanyakannya hanya mengundang spekulasi belaka, namun perkara yang di luar jangkauan akal mana mampu kita huraikan?

Kita perlu biasakan dengan keadaan dan suasana yang tidak biasa hari ini, bersempena menyambut kiamat yang akan tiba. Bila ianya akan terjadi, itu kita tidak tahu, tapi perjalanan waktu bukanlah kita dapat hentikan. Segalanya berpunca dari kehendak dan sikap kita sendiri.

Kemarau, sungai dan bekalan air yang berkurangan, cuaca yang panas dan berjerebu dan berbagai lagi. Inilah neraka dunia yang sedang kita hadap. Penghuni dunia juga semakin gila dan rakus dalam permainan mereka, apa yang mereka peduli tentang hijau hutan dan nilai sebuah keamanan lagi?

Apapun saya percaya, MH370 bukanlah sebahagian dari cerita biasa yang jelas dan nampak di mata. Ianya menjangkau akal fikir kita. Namakan apa saja yang ghaib, makhluk halus? Jin? Alien ? black hole? Bermuda Triangle?

Apa saja akan berlaku, jika Dia mahu itu berlaku. Segala hikmah dan malapetaka yang terjadi hanyalah untuk kita renungkan bersama.

KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE


Page 1 of 41234