Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

ADA APA DENGAN PLASTIK

0 comments

Ada dikalangan mereka yang katanya ‘cool’ mempersoalkan tentang kehidupan yang serba plastik dan mereka mahukan yang ‘real’ dan tak plastik. Apa yang tak plastik? Bagi saya selagi manusia itu bernama manusia yang masih makan dan minum, kita semuanya plastik.

Apa salahnya kalau hidup bergelumang plastik, digelar plastik dan dikelilingi plastik?

Jika dikata ‘plastik’ itu tentang hal yang tidak jujur dan hipokrit, sedikit sebanyak kita juga terpaksa berlakon sesuai dengan watak kita di dunia yang berbagai ragam ini. yang tak plastik apa yang ada di dalam jiwa kita. Apabila diterjemahkan, ia akan menjadi plastik.

Golongan sadhu, sufi atau namakan apa saja watak ‘real’ yang hidup dan selagi masih ada nafsu dan bernafsu, semuanya plastik. Yang tak plastik itu jika kita masih seorang bayi yang baru lahir sehingga berusia 5 tahun, waktu itu nilai kehendak kita terhadap dunia masih kurang.

Dan paling jelas, orang gila itu bagi saya tak plastik. Kalau sekadar buat-buat gila atau gila-gila, itu plastiklah juga namanya.

Apabila dewasa dan berakal kita semakin pandai membentuk imej diri sesuai dengan kehendak kita, tidak kira samada itu imej yang ‘cool’ mahupun ‘poyo’, pun plastiklah juga namanya.

Akal dan nafsu membentuk kehendak dan nilai dalam hidup kita. Cerita dunia adalah tentang hal dan nafsu belaka. Kita cuma mampu mengurangkan tahap nafsu dan kehendak dengan cuba memadamkan sedikit demi sedikit cerita dan mimpi indah duniawi. Itu kita katakan dalam istilah ‘zuhud’ atau apa saja gelaran yang sesuai diguna pakai.

Cerita manusia dan setiap kejadian di mukabumi ini juga memang unik dan magik. Kebesaran Tuhan atas segala kejadian. Bermula dari roh yang ditiupkan ke jasad, maka setiap makhluk termasuklah manusia yakni kita pun bernyawa.

Roh, nyawa, jiwa atau semangat itu sama saja makna dan pengertiannya cuma dari segi sifat dan penyesuaiannya saja yang berbeza.

Roh adalah rahsia zat, yang itu kita pun tak tahu apa cerita dan rahsia di dalamnya. kita cuma menumpang ‘rasa’Nya saja. Jadi roh atau semangat akan hidup dan menyala berpandukan arah dan lorong yang kita sedang tuju ini, selagi kita bernyawa.

Semua kita diberi roh untuk kita bernyawa. Ia membolehkan kita bernafas dan hidup dalam meniti usia dari bayi sehinggalah menuju dewasa. Apabila kita diberi nyawa dan bernama manusia, kita dianugerahkan akal juga nafsu yang membentuk apa yang kita mahu dalam hidup ini, samada kita suka yang hitam mahupun putih.

Tiada siapa yang mengajar kita bagaimana nak cari makan untuk terus hidup selepas saja kita dikeluarkan dari rahim ibu kita. Itu secara fitrahnya kita akan faham sendiri, semuanya dari izinNya jugalah.

Semangat adalah gerak dari yang maha tahu atas segala cerita dan rahsianya. Maka atas izin dari gerak dan rasa, akal pun berfungsi dan kita pun menangis kelaparan sehingga disuakan susu ibu, kita pun terlena.

Di usia kanak-kanak kita diajar tentang agama, Tuhan dan segala yang berkaitan tentang alam ini walau tidaklah sepenuhnya. Kita dididik menjadi manusia yang berdisiplin dan percaya tentang adanya Tuhan, rukun iman mahupun Islam.

Itu kalau dalam agama Islam, kalau agama lain adalah cara mereka masing-masing. Asas untuk membina tahap percaya dalam diri kita bagi saya perlu, itu kitakan adab dalam kehidupan.

Semakin dewasa kita akan semakin faham dan akan diberi pilihan, samada masih selesa bermukim di situ atau meneruskan perjalanan untuk mencari dan mendalami ilmu dan pengetahuan. Takdir membawa kita ke mana yang dimahuNya. Pun kita lah yang memilih lorong mana yang mahu kita ikut bersesuaian dengan jiwa dan kehendak kita.

Sepanjang kita membesar dari usia kanak-kanak, remaja menuju ke dewasa, kita adalah seorang manusia yang berkehendak itu dan ini sesuai dengan sifat kita. Jadi selagi waras, kita ini plastiklah.

Mungkin kita punya cita-cita dan keazaman untuk menolak dunia, tapi itu hanyalah angan-angan, biasanyalah. Sebab selagi tidak gila, kita sama saja seperti manusia-manusia lainnya. Mungkin sikap kita yang mengada-ngada nak jadi lain dari lain, itu saya tak tahulah…tapi selagi bernama manusia, kita ini sama saja seperti orang lain.

Apa yang penting bagaimana kita mahu menyesuaikan diri dengan kehidupan yang plastik hari ini. mahu tidak mahu kita tidak punya banyak pilihan dalam hidup ini.

Saya kalau boleh mahu kampung saya tidak berubah dan kalau boleh saya mahu air sungai yang dulunya menjadi tempat kami mandi masih di situ kekal untuk selama-lamanya.

Kenyataannya hari ni dikampung saya, sungai pun sudah dikambus, hutan semakin gondol kesan pembangunan. Apa daya kita untuk melakukan perubahan waktu mahupun musim?

Saya juga kalau boleh mahu Pasar Seni tempat saya melepak dulu, kekal seperti dulu seperti di tahun 80an dan 90an dulu. Ada kedai mamak di dalamnya, kami boleh melepak dari pagi sampai ke malam. Budak-budak busker boleh busking di laluan pejalan kaki di bahagian luarnya.

Tapi itu dulu, hari ini tempat itu sudah berubah dan kalau itu kita katakan plastik, ya memang plastik sebab Pasar Seni tidak dikurniakan akal dan tidak berkehendak seperti kita para makhluk yang bergelar manusia.

Pandangan saya hari ini terhadap kehidupan mungkin tidak sama seperti sebelumnya. Dalam usia yang semakin menginjak ke depan, saya lebih suka bersikap realistik dan melakonkan watak sesuai dengan waktu dan situasi.

Hari ini saya suka melihat pemandangan para warga dan kawan-kawan yang sanggup bekerja untuk mencari rezeki. Itu menunjukkan mereka punya tanggungjawab terhadap diri dan keluarga mereka. Bagi saya itu ‘real’. Kita sedang duduk di alam yang nyata, inilah kenyataannya.

Dan dunia yang plastik, atau mungkin kita pun sedang menggaulinya atas rasa kita perlu berbuat demikian untuk proses keseimbangan. Inilah bagi saya yang terbaik bagi kita seorang manusia sesuai dengan sifat-sifat kita yang baru.

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.