Notes:
Akhirnya…
Jumaat ini 15hb Julai 8.30 malam saya menjemput semua kawan-kawan datang beramai-ramai meraikan majlis pelancaran album Society yang akan bertempat di ASWARA.
Proses rakaman bermula pada penghujung mac 2011 dan berakhir pada 8hb julai 2011. Lama juga prosesnya. Saya turut menyumbangkan beberapa lagu di dalam album ini. Di sini saya mengambil kesempatan mengucapkan kawan-kawan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan album Society ini.
Dr Azam Mohd Nor, Anuar Mohd Nor, Sham Fardush, Amin Iskandar, Aki Art dan semua kawan-kawan, terimakasih.
Saya sebenarnya sudah lama tidak bermain gitar elektrik. Saya masih sukakan bunyi yang raw keluar dari sound original ‘Marshall’ amp. Jadi untuk album ini saya terpaksa bermain sendiri elektrik dan akustik gitar. Pada mulanya kita ingin menjemput Sham Fardush untuk turut terlibat sebagai sessionist, namun beliau sibuk dengan komitmen kerja. Apapun saya bersyukur kerana semuanya selesai dengan aman dan damai. Terimakasih juga kepada isteri saya yang memahami kerjaya saya selama ini.
Inilah album yang prosesnya bagi saya memakan masa yang agak panjang untuk disiapkan. Memang memenatkan sebenarnya. Album saya tidak pernah memakan masa hingga berbulan-bulan. Ialah bila kita bergerak secara solo kita buat apa yang kita suka. Bila kita set untuk projek yang komersial kita terpaksa bermula secara step by step. Track by track. Antara orang yang paling penting di dalam album ini ialah Anuar Mohd Nor, Aki art dan Moktrazial pemilik studio rakaman tempat Society menjalani proses rakaman. Kalau tak ada Aki Art album Society ni tak siap kot. Ha ha ha. Sebabnya saya tak ada transport dan studio agak jauh dari rumah. Pernah pulang rumah pukul 5 pagi.
Saya secara personalnya tak suka sangat nak menonjolkan diri dalam arus komersial. Sebabnya saya sukakan apa yang saya miliki hari ini dan saya sukakan album-album saya sebelum ini, walaupun kualiti rakaman album-album lalu kurang memuaskan. Saya anggap kelahiran setiap kelahiran album adalah kelahiran anak. Konsep saya senang saja, ‘Jalan terus!!’. Kita kena terimalah jika anak kita yang lahir itu kurang sempurna atau cacat, samalah juga dengan album yang kualitinya kurang bagus. Saya ingat lagi sewaktu proses rakaman album ke dua saya. Sound kualiti rakamannya memang hancus! ha ha ha. Saya lakukan proses rakaman di showroon Yamaha Music tempat saya bekerja. Yang tukang jaga soundnya rakan sekerja saya, Zainol. Tapi itulah, itulah saya. Apa saya kisahpun orang suka mahupun tak suka. Bila datang R.S Murthi barulah kualiti rakaman album seterusnya menarik sikit.
Hari ini saya akui semuanya berubah. Kehendak kitapun berbeza mungkin. Kita masih memerlukan hasil pulangan yang memuaskan untuk meneruskan hidup. Makanya kita berusaha ke arah itu. Pulangan itu dalam bentuk ringgitlah. Hari ini ringgit berbicara. Segalanya duit. Kita ada banyak tanggungan, jadi kita perlu ke sana juga, saya tidak nampak jalan lain selain dari arus mainstream untuk muzik kita didengari oleh ramai pendengar. Kita tidak boleh menipu diri dalam bab ini. Kalau setakat kawan-kawan menghargai, itu saya hargai tapi setakat itulah. Lainlah kalau album saya mampu terjual melebihi 10,000 unit. Ha ha ha
Kita cuba mendidik masyarakat dengan lagu-lagu folk yang merakyat pun rakyat marhen sendiri bukannya faham sangat. Kita berbicara tentang kemanusiaan, pun jumlah pendengarnya masih minoriti. Sistem dan culture kita sudah begitu sejak lama dulu. Jumlah penduduk kitapun bukannya ramai sangat dan yang faham tentang jenis-jenis muzik lagilah. Apa yang kita boleh expect sangat dalam bab ni?
Beberapa hari lalu saya bersembang dengan seorang rakan pemuzik yang hebat, Zahid Ahmad yang bagi saya dia ni antara drummer yang terbaik di Malaysia malah Asia sekalipun. Kita mempunyai pandangan yang sama dalam bab penerimaan masyarakat terhadap muzik dan variasinya. Jadi kita perlu sesuaikan diri dalam kehendak yang ramai.
Tak apalah, kita berusaha, hasilnya kita serahkan kepada takdir atas bicaranya. Sesuatu yang pasti, walau ke manapun saya, saya masih akan di sini juga. Tidak ada apa yang berubah, insyaallah.














