Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

ALLEYCATS DAN DRAMA KEHIDUPAN

0 comments

Saya sering melihat pemandangan yang biasa di depan mata di mana-mana saya berada. Seperti kata kumpulan muzik legenda kita, Alleycats dalam lagunya ‘Hiburan Percuma’ yang terdapat dalam salah sebuah album mereka ‘ Drama Kehidupan’ yang antara bait-baitnya – “ kita tak perlu beli tiket atau bayar cukai, untuk menonton drama, drama kehidupan”

Album ke – 8 mereka terbitan tahun 1984 ini merupakan album ‘favourite’ saya. Saya adalah peminat kumpulan Alleycats sebenarnya, sejak album berbahasa Melayu mereka ‘Terimakasih’ diterbitkan pada tahun 1978 yang memuatkan lagu hit Senandung Semalam dan Jika Kau Bercinta Lagi.

Drama Kehidupan bagi saya sebuah album eksperimen kombinasi M.Nasir( Datuk ) dan penulis lirik Amin Shahab selepas kejayaan demi kejayaan yang dicapai kumpulan muzik hebat tersebut. Memang berbeza dengan album mereka yang sebelumnya.

Lari 95% dari tema cinta yang tipikal, menjurus pada tema kehidupan dan kemanusiaan yang lebih bermesej dan bermanfaat kepada masyarakat dan pendengar.

Lagu-lagunya seakan bersambung dari satu lagu ke lagu yang lain. Kesemua lagu menarik dan matang. Cuma biasalah, album ini tidaklah selaris album-album Alleycats yang lainnya, pun masih diminati peminat setia mereka juga.

Alleycats meletup dengan album Alleycats 4 yang memuatkan lagu hit Hingga Akhir Nanti dan album berikutnya ‘Kuching’ meletup lagi dengan sejumlah lagu hits yang bertaraf evergreen seperti Andainya Ku Pergi Dulu dan Sekumtum Mawar Merah antaranya.

Untuk setiap album Melayu Alleycats, mereka yang berperanan penting dari album-album awal yang diterbitkan tentulah penerbit Eric Yeo, M.Nasir dan Amin Shahab. Kolobrasi dan chemistry yang menjadi antara Nasir dan Amin berjaya mengangkat kumpulan Alleycats sebagai salah sebuah kumpulan muzik bukan Melayu yang paling unggul dalam sejarah muzik di tanah air kita ini.

Dan sehingga ke hari ini saya masih menyanyikan lagu-lagu hit mereka sewaktu busking kerana saya tahu, Alleycats memang ramai peminat di kalangan Melayu dan India terutamanya.

Alleycats yang ditubuhkan oleh 3 adik beradik iaitu David, Shunmugam dan Loganathan ( mendiang ) di Pulau Pinang pada tahun 1968, sehingga ke hari ini masih kekal dan laku dengan kontrak persembahan mereka di pub-pub dan hotel terkenal di tanahair juga di luar negara.

Keistimewaan band ini terletak pada suara penyanyi utamanya David Arumugam ( Datuk ) yang punya nilai komersial yang tinggi. Suara Loga juga menarik, tapi suara David lebih unik dan tersendiri.

Berbalik kepada cerita awal saya tadi, saya suka melihat gelagat manusia dalam pelbagai gaya dan cerita. Adalah penting untuk kita melihat dan menilai dengan matahati setiap sifat dan kerja Tuhan melalui ciptaanNya ini.

Cuma yang menyentuh saya adalah mereka-mereka yang bagi saya ‘istimewa’ di sisi Tuhan. Kalau orang kaya yang ‘eksyen’ lalu depan kita, itu biasa. Kalau orang miskin lalu pun, itu pemandangan yang biasa bagi saya. Begitu juga kalau orang miskin berlagak kaya, pun biasa juga bagi saya.

Yang luar biasa apabila ada orang tua yang sudah bongkok tiga lalu dalam keadaan yang dhaif tapi masih mampu berjalan tanpa cermin mata walau membawa tongkat, yang itu bagi saya luar dari kebiasaan. Umurnya mungkin 90 tahun atau lebih. Menggendong sebundut beg lusuh penuh dengan pakaian, kemana halanya saya tidak pasti. Orang ini bagi saya ‘istimewa’.

Istimewa kerana dalam usia yang lanjut masih mampu berjalan dan mengembara. Maknanya mereka ini walau tidak punya wang yang banyak tapi masih dikurniakan tahap kesihatan yang baik, itu bagi saya hebatlah. Sebab kalau usia sudah lanjut, biasanya kita akan tersadai dikatil rumah atau di hospital.

Berbanding orang kaya yang banyak wang tapi hidup bergantung dengan ubat dan hospital. Orang tua yang saya sebutkan tadi mungkin tidur hanya beralaskan kotak tapi masih boleh lena, berbanding orang kaya dan berkuasa yang tidur mereka semestinyalah beralaskan tilam empuk dan bilik berhawa dingin, tapi kenyataannya belum tentu mereka mampu tidur lena.

Kehidupan hari ini segala-segalanya sudah tidak ‘asli’ lagi. Daripada makanan sampailah kepada udara yang kita hirup hari ini. Kita hidup berteman dan berkawankan penyakit, walaupun kita tak suka mencari penyakit, pun dia datang juga kepada kita.

Air yang paling mujarab air suam, pun kita teguk teh tarik sampai 5 gelas sehari. Makanan yang paling berkhasiat datangnya dari ulam-ulaman dan sayur-sayuran, kita bantai selagi apa ada makanan yang terhidang di rumah mahupun di kedai-kedai makan. Itu sebab kedai makan punyalah banyak terdapat di merata-rata tempat di Kuala Lumpur ini.

Saya sebelumnya atau sejak dari zaman muda lagi selalu mengamalkan minum teh tarik dan roti canai mamak setiap hari. Teh tarik pula mungkin 4 hingga ke 5 gelas sehari. Minum pula banyak air manis, kalau air mineral itu jarang sangat nak minum.

Sudahnya apabila sering rasa mengantuk tak tentu masa dan selalu rasa nak buang air kecil, saya pun menjalani ujian darah di farmasi untuk memeriksa tahap gula dalam badan. Apabila kandungan gula sudah sampai ke ‘border line’, saya jadi kelamkabut.

Waktu itu mulalah minum air mineral memanjang dan langsung tak sentuh gula, sampai naik pitam. Pun tak boleh juga kalau tak ada gula dalam badan, jadi sejak gula dalam badan naik, saya sampai ke hari ini selalu mengamalkan minum air suam atau mineral. Tapi itulah, kita memang selalu terlambat dalam banyak hal terutama tentang hal yang melibatkan kesihatan.

Bab kesihatan pula, kalau yang paling baik itu apabila kita jadikan kebiasaan berjalan kaki sejauh beberapa kilometer sehari, itu kita kata rutin yang tidak kita paksa. Kita pula terlebih exercise sampai terciptanya gymnasium dan hari ini segala macam peralatan untuk bersukan seperti mountain bike pun laku, demi kesihatan dan masa depan.

Tapi itulah, ada juga kawan-kawan saya yang meninggal sewaktu berjogging, atau masuk hospital kerana terlebih bersukan.

Jadi keseimpulannya kehidupan ini bagi saya perlu berjalan seadanya sebagaimana kita percaya ianya telah tertulis seadanya sejak azali lagi.

Apa pun, seperti kata Alleycats dalam lagunya ‘Hiburan Percuma’, tontonilah cerita hidup manusia di sekeliling kita, nilaikan dengan mata hati menjurus kepada subjek keseimbangan. Begitu juga tentang kesihatan, seimbangkan antara sedap dan secukup rasa.

**KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.