Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

ANTARA BAHA ZAIN DAN DUNIA ANAK MUDA HARI INI

0 comments

Apabila Datuk Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-12 pada 15hb Mac 2013 yang lalu, pelbagai respon dan pendapat yang saya terima dari rakan-rakan. Ada yang suka dan ada yang tak suka ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju…

Untungnya saya punya ramai kawan bijak pandai yang berada di kanan dan kiri. Cuma yang saya pasti kecuali SN A.Samad Said (Datuk), ramaikah anak-anak muda hari ini yang kenal Baha Zain?

Saya tanya juga pendapat kawan-kawan yang sealiran seperti SM Zakir ( setiausaha agung PENA) juga kepada Zainal Rashid Ahmad( penulis, penerbit dan pemikir Melayu ) tentang kelayakan Baha Zain sebagai penerima anugerah SN. Rata-rata mereka bersetuju dan berkata itu adalah pilihan yang paling tepat.

Pun bagi penerima anugerah SN tahun 1982, Shahnon Ahmad seperti yang saya baca pendapatnya dalam portal Malaysiakini pada pada 18hb Mac 2013, agak kurang bersetuju dan menolak pemilihan tersebut. Emel yang dihantarnya melalui Dr Faisal Tehrani ke Mkini juga menyatakan :

“Shahnon melihat Baha Zain , yang diumumkan penganugerahan itu oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak berupaya dalam kritikan sastera”

Begitu juga bila saya tanyakan kepada Jimadie Shah Othman ( penulis dan penyair ) yang katanya:

“Kalau ditanya apa perasaan saya dengan penganugerahan anugerah sastera negara kepada Baha Zain, jawapan saya tiada perasaan. Saya tak mengikuti dengan dekat, kecuali yang di dalam Teluk Gong, saya tak pernah jatuh cinta dengan karya-karya Baha.
Bagaimanapun, bagi saya itu soal nombor dua. Saya tak pertikaikan soal kualiti, ia hanya soal rasa atau selera. Kedua, bidang seni bukan pencak silat. Dalam seni tak ada nombor satu atau nombor dua. Cuma, masalah yang merunsingkan saya apabila orang tak ambil kisah lagi dengan anugerah ini. Ia menjadi tak lebih penting daripada Maharaja Lawak atau Anugerah Bintang Popular.
Ini gelanggang sebenar Baha, untuk menempatkan dirinya dalam masyarakat sebenar. Jika itu boleh dilakukan, prestij itu akan datang sekali. Seperti beliau menyumbang dalam Telok Gong lama dahulu.”
Jimadie Shah Othman

Makanya saya pun terpanggil dan diberi peluang untuk mengulas tentang beliau dalam konteks kefahaman yang saya selesa, berterus terang dan terbuka.

Saya tidak akan mengulas seperti para bijak pandai yang bijak berkata dan bermadah seloka. Saya hanya akan mengulas dalam konteks yang biasa-biasa saja.

Beliau dilahirkan pada 22hb Mei 1939 dan berasal dari Hutan Melintang, Perak telah menerima pelbagai anugerah Sastera seperti Tokoh Pena pada 17hb Disember 2011 kerana lama terlibat dalam penulisan dan aktif dalam PENA.

Saya juga peminat sastera Melayu dan saya tahu Baha Zain adalah sasterawan penting yang banyak berjasa kepada negara dan atas sebab jasanya itulah beliau dianugerahkan dengan pelbagai anugerah dan darjat sesuai dengan jasanya.

Tahun 2000 dulu, terutamanya pada setiap jumaat pertama awal bulan, saya sering berkunjung ke PENA(Persatuan Penulis Nasional Malaysia ) yang lokasinya terletak berdekatan dengan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya ke sana kerana belajar membiasakan diri dengan bernyanyi dan berlagu di hadapan khalayak. Tidak ada bayaran, pun itu tidak mengapa kerana saya menyanyikan lagu ciptaan sendiri, jadi itu saya anggap satu ruang promosi untuk saya dikenali, pun selama setahun saya di situ, nama saya mereka pun ingat-ingat lupa juga. Yang menerima saya itulah anak-anak muda yang moden dan terbuka yang asing dari PENA.

Pun begitu, kesannya saya kenal dengan beberapa nama besar penggiat dalam dunia sastera dan puisi Melayu seperti SM Zakir, Zainal Rashid Ahmad, Sutung Umar RS( yang waktu itu menjadi setiausaha agungnya) Rahimidin Idris dan beberapa nama lagilah.

Datuk Baha Zain sering ke PENA kerana beliau memang orang penting, dihormati dan diraikan di sana. Saya selalu juga menonton beliau bersajak dalam bahasa yang indah tapi berkesan. Caranya cara orang lama, kiasnya cara orang lama yang banyak makan garam, gitulah…

Membaca wawancara ekslusifnya dalam majalah Dewan Sastera di keluaran beberapa bulan yang lepas, tokoh penyair, pemikir sastera dan penulis ini agak terbuka dalam banyak hal. Tidak dinafikan beliau juga punya hubungan yang baik dengan mereka-mereka yang bertaraf legenda dan bergelar Sasterawan Negara seperti Usman Awang dan Keris Mas. Salah satu sebabnya mereka bekerja di bawah satu bumbung di DBP(Dewan Bahasa dan Pustaka) waktu itu di awal tahun 70an dulu.

Menariknya juga dalam isu tersebut ada dikupas tentang peristiwa 13 Mei dan isu Teluk Gong di tahun 1969 dan dasar mereka yang menentang kerajaan tentang isu bahasa waktu itu.

Baha juga terlibat dalam isu pemansuhan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ) sehingga tercetusnya demo pada 7hb Mac 2009. Antara yang terlibat dalam demo tersebut selain beliau itulah Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan pengerusiGMP( Gerakan Mansuhkan PPSMI) juga bekas pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad( Allahyarham).

Hari ini, seperti saya melihat PENA itu seperti sebuah pentas yang jauh di kayangan sana, yang terpencil dan yang tinggal hanyalah mereka yang seakan para dewa-dewa yang hanya memuji antara sesama mereka, begitulah saya melihat jarak antara Datuk Baha Zain( yang pernah menjadi presiden PENA pada 2008-2010) dan anak-anak muda hari ini.

Seperti yang dikatakan Baha Zain itu PENA, PENA itu Baha Zain, persoalan dan cabarannya, masih relevankah PENA untuk mewakili suara anak-anak muda hari ini yang nyata dan nampaknya semakin jauh dan tersisih dari mereka?

Berbeza sekali apabila saya melihat sikap dan rasa kemanusiaan yang terdapat dalam diri Datuk A.Samad Said. Beliau masih akan menyapa dan bertanya khabar saya seadanya ketika tiap kali bertembung di KL Sentral mahupun di dalam LRT. Bahkan bukan hanya saya, sesiapa saja yang menyapanya akan disambutnya dengan rasa hormat dan sifat kemanusiaan yang terpuji.

Di kalangan semua Sasterawan Negara sejak zaman Keris Mas (1981) sehinggalah ke zaman Datuk Baha Zain ( 2013), bagi saya yang paling merakyat dan dekat dengan masyarakat terutamanya di kalangan masyarakat marhaen itu lah Bapak A.Samad Said.

Dunia sastera dan budaya hari ini semakin terbuka. Ini bukan masanya kita bermadah seloka sambil mengajak masyarakat menerima dan datang kepada kita dalam bentuk yang kita mahu. Ini zaman di mana kita harus belajar bagaimana mahu memahami kehendak dan mahu mereka.

Apapun diucapkan tahniah kepada Datuk Baha Zain sebagai Sasterawan Negara yang ke – 12.

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.