Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

ANTARA SWEET CHARITY DAN GOD BLESS

0 comments

Penyanyi terkenal kelahiran Singapura Ramli Sarip baru saja mendapat gelaran ‘Datuk’ dari Kerajaan Negeri Melaka baru-baru ini. Beliau menerima anugerah tersebut bersempena sambutan ulang tahun ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob. Tahniah Datuk Ramli Sarip!

Saya mula mendengar lagu Sweet Charity sewaktu album pertama mereka lagi yang berjudul ‘Sweet Charity’ yang diterbitkan pada tahun 1979. Waktu itu saya di darjah 6 sekolah rendah.

Bagi saya Ramli Sarip punya tone rock yang ‘pure’ sewaktu di usia mudanya terutama sewaktu bersama Sweet Charity dulu. Apabila beliau bergerak secara solo dan cuba masuk ke dunia folk dengan imej menyanyi sambil bermain gitar tong, itu tak kena sangat bagi saya sebab beliau seorang penyanyi rock, bukan folk singer-songwriter.

Pun mesej yang disampaikan di dalam lagu-lagu melalaui album solonya bagi saya bolehlah layan walau kebanyakan lagu dan liriknya tidaklah menepati cita-rasa saya sangat.

Saya cukup suka lagu Bayang-Bayang yang terdapat dalam album pertama mereka. Tak lama kemudian baru saya tahu yang penyanyi asal lagu itu adalah kumpulan Foreigner. Judul lagunya ‘Double Vision’. Tapi tak apalah. Kalau cover lagu orang kita boleh bikin sama sedap itu bagi saya ok lah…

Tahun 1981 album Sweet Charity ( Sejuta Wajah ) mula ke pasaran, dari kota ianya melarat ke kampung-kampung. Kesannya saya dan anak-anak muda sebaya yang rugged kebanyakannya semuanya demam rock, melalak saban malam di tepi tembok menyanyikan lagu ‘Di Tahun 2000’ diiring gitar tong sehingga satu ketika sampai datang polis peronda membuatkan kami lari lintang pukang!

Itulah penangan Sweet Charity, sebuah kumpulan muzik rock yang berasal dari Singapura ke atas anak-anak muda waktu itu yang mula dilanda demam rock. Bagi saya kumpulan Sweet Charity adalah kumpulan rock yang terbaik dan bertaraf lagenda di Malaysia juga di Singapura.

Dua band yang paling berpengaruh bagi saya, Sweet Charity dan Blues Gang. Dua band ini punya ‘attitude’ mengikut aliran muzik yang mereka fahami. Dan mereka merupakan band yang bijak dan hebat.

Saya akui, menilai perkembangan muzik dari sudut artistik dan kreativiti, Singapura lebih menonjol berbanding Malaysia di era 60an, 70an dan 80an dulu. Banyak produk mereka yang bagus dan berkualiti seperti kumpulan Kembara, M.Nasir, Black Dog Bone, Raushanfikir, Love Hunters antaranya.

Kalau di tahun 60an dulu kumpulan Swallows dan A.Romzi and The Hooks lebih rebel dan rugged berbanding band 60an kita. Penyanyi solo mereka juga banyak yang bagus-bagus seperti Ismail Haron dan A.Ramlie.

Saya melihat Singapura atau mungkin mereka melihat diri mereka sebagai Melayu Singapura yang kuat dengan nilai Melayu dan budayanya. Singapura kecil saja, Melayu di sana juga golongan yang minoriti tapi itulah, kepayahan buat mereka lebih bekerja keras berbanding artis dan kumpulan muzik kita yang manja dan kuat berangan sehingga kebanyakan mereka seperti burung belatuk yang kebanyakannya hanya tahu menyanyikan lagu-lagu cinta dan kecewa saja.

Dalam muzik Sweet Charity terdapat berbagai elemen di dalamnya. Ada rock, dangdut, asli, joget, blues, pop antaranya. Cuma mereka banyak memainkan lagu-lagu cover atau saduran. Penerbit album mereka, Hussein Ajmain juga banyak mencipta lagu-lagu dan lirik untuk Sweet Charity.

Saya suka dengan petikan gitar Rosli Muhalim. Beliau punya tone yang sedap dan menarik walau solo-solonya banyak menciplak lagu-lagu dari kumpulan rock barat. Tapi yang menarikanya solo yang dibikinnya walaupun meniru namun tetap memberi nyawa dan pengisian pada setiap lagu yang didendangkan. Umpamanya lagu Sejuta Wajah yang mana solonya dicedok dari solo lagu Belladona nyanyian kumpulan UFO.

Apabila saya ke Kuala Lumpur, saya mula mendengar lagu-lagu God Bless dari Indonesia pula. Sudahnya bila saya bandingkan God Bless dengan Sweet Charity, jauh sangat perbezaannya. Malah tidak adil juga untuk membandingkan siapa hebat di antara mereka kerana masing-masing punya keistimewaan dan Sweet Charity juga ada merakamkan kembli lagu-lagu God Bless di dalam album-album mereka.

Album pertama God Bless, yang judulnya God Bless ( 1975 ) yang mengandungi lagu Padi di atas Huma dan Cermin ( 1980 )yang terkandung lagu Anak Adam di dalamnya sangat mantap. Penuh dengan elemen rock dan progresif. Itu seperti saya mendengar album terbitan tahun 1972 kumpulan Yes, Close to the Edge atau pengaruh dari muzik Genesis, terutama dari segi soundnya yang ‘raw’.

Perbezaan ketara yang saya lihat antara Sweet Charity dan God Bless adalah dari segi konsep dan cerita. Lagu-lagu dan lirik Sweet Charity kebanyakannya lagu saduran, lirik pun mereka terpaksa menggunakan khidmat penulis lirik yang tidaklah berkesan sangat bagi saya.

Berbeza dengan God Bless yang mana lirik-lirik mereka banyak menceritakan tentang kehidupan dan alam ini sampai ke dasarnya. Lirik-lirik mereka menyatu dalam jiwa warga-warga marhaen. Dengarkan saja lagu Balada Sejuta Wajah atau Rumah Kita antaranya.

Seperkara juga God Bless dianggotai oleh pemuzik di mana kefahaman mereka tentang muzik dan falsafah itu seiring. Bahkan kebanyakan lagu dan lirik digubah sendiri oleh mereka. Bahasa yang digunakan dalam lagu-lagu mereka juga berkualiti dan kena dengan konsep muzik mereka.

God Bless ditubuhkan pada awal tahun 70an oleh penyanyinya Ahmad Albar, Ian Antono ( elektrik Gitar ) Donny Fattah ( Bass ) dan Abadi Soesman ( keyboard ) yang mana kesemua mereka ini merupakan pemuzik yang hebat terutama Donny Fattah dan Abadi Soesman.

Mereka berjaya menghasilkan 6 buah album penuh dari tahun 1975 sehingga ke tahun 2009 iaitu God Bless ( 1975 ), Cermin ( 1980 ), Semut Hitam ( 1988 ), Raksasa ( 1989 ), Apa Khabar ( 1997 ) dan 36th ( 2009 ).

Pun dari segi suara dan aura untuk muzik rock , bagi saya Ramli lebih menonjol dari Ahmad Albar. Tapi untuk aliran muzik yang mereka bawa, progresif rock, keutamaan lebih kepada muzik dan susunannya berbanding vokal. Kita lihat kumpulan muzik progresif terkenal dunia seperti Yes dan Rush.

Yes melalui penyanyinya Jon Anderson bukanlah seorang penyanyi rock melainkan punya nada suara yang tinggi, begitu juga dengan penyanyi kumpulan Rush, Alex Lifeson, suaranya juga hanya sesuai untuk konsep muzik yang mereka bawa saja.

Untuk gitar pula, saya lebih suka tone dan gabungan antara Wan Ahmad dan Rosli Muhalim berbanding Ian Antono. Cuma dari segi muzik dan konsep keseluruhannya saya memilih God Bless berbanding Sweet Charity.

Apabila Gong 2000 ditubuhkan pada awal tahun 90an hasil serpihan dari kumpulan God Bless, itu bagi saya tidaklah menarik sangat kerana mereka hanya memainkan lagu-lagu dari album God Bless yang terdahulu.

Lagu-lagu dan konsep muzik mereka juga tidak jauh beza dengan muzik God Bless.

**KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.