Notes:
Bapa mertuaku
Arwah bapa mertua saya memang unik perwatakannya. Kami mempunyai perhubungan yang tidak mesra tetapi mesra. Tidak mesra kerana saya sangat jarang berinteraksi dengan arwah semasa hidupnya. Mesra kerana dia saya rasa sangat menghormati diri saya seadanya. Dan saya juga menghormatinya sebagai seorang bapa mertua juga seorang manusia. Dia juga menganggap saya seperti anaknya sendiri.
Saya masih ingat sewaktu pertamakali bertemu dengan beliau. Sayapun waktu itu bermain muzik di pub. Tahunnya 1994 kalau tak salah. Saya pun tak tahulah apa istimewa saya di mata arwah, cuma yang saya tahu dia seorang yang dapat memahami jiwa dan keadaan saya seadanya. Mungkin sebab saya pandai melayannya bersembang kot. Cuma kehadiran saya sangat disenangi oleh arwah dan ahli keluarga isteri saya. Saya hanya menjadi diri sendiri, hanya itulah nilai kejujuran yang saya miliki.
Masa berlalu sehinggalah isteri saya melahirkan anak kami yang pertama. Arwah pula bekerja sebagai driver di Dewan Bahasa sehinggalah beliau bersara pada tahun-tahun berikutnya. Dalam waktu itu saya cuba mengseimbangkan nilai hidup saya sebagai seorang manusia yang tidaklah sesempurna malaikat.
Apa yang menariknya tentang perhubungan kami ialah arwah tetap menerima saya sebagai menantunya di waktu susah dan senang. Kami sangat jarang berinteraksi. Kami cuma berbicara dalam diam. Itu yang saya faham.
Hidup memang seperti roda, ada masa kita di atas, ada masa di bawah. Saya suka bercerita sewaktu saya menjadi pemuzik jalanan(busker),
memang hidup agak sukar waktu itu. Arwah selalu membelikan saya baju dan seluar bundle yang dibelinya di Chow Kit. Yang peliknya saiz seluarnya bukan saiz saya pun, tapi saya terimalah setiap pemberiannya. Waktu itu arwah pula bekerja sebagai pemandu perbadi.
Saya pula setiap hari akan busking di Pasar Seni.
Yang menariknya saya selalu bertembung dengan arwah sewaktu saya sedang busking. Dia akan melintas di depan saya sewaktu pulang dari kerja dan kami seakan tidak mengenali antara satu sama lain. Pernah sewaktu saya sedang membuat collection atau meminta sumbangan ikhlas penonton, bertembung pulak dengan arwah, adoi!! ha ha ha
Tapi arwah cool dan tenang saja, saya pun cool juga. Dia tidak pernah tanya apa yang saya lakukan atau apa kerjaya saya. Cuma dia ada memberitahu isteri saya yang dia ada nampak saya busking di Pasar Seni. Waktu itu saya sudah mempunyai tiga orang anak.
Saya beruntung dan bersyukur kerana mempunyai keluarga mertua yang sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang busker. Mereka tidak pernah menghina kerjaya saya walau hidup mereka tidaklah semewah manapun. Yang mereka tahu saya tahu dan faham tanggungjawab saya sebagai seorang kepala keluarga.
Selalu juga saya belikan arwah bapa mertua saya rokok gudang garam jenama Surya. Arwah memang kuat merokok. Kalau di bulan puasa, selepas saja waktu berbuka arwah akan melepak di luar rumahnya untuk merokok dan terus merokok sampailah waktu imsak. Saya tidak dapat menghalang kerana itulah sebahagian dari kebahagiaannya.
Sewaktu hidupnya arwah sangat dihormati sebagai seorang pekerja yang sangat dedikasi terhadap kerjayanya sebagai seorang driver dan juga arwah pandai dalam bab-bab keagamaan. Bermarhaban, berzanji dan berbagai lagilah. Sehinggalah dengan ilmu dan kepandaian agamanya membawanya ke Mekah untuk menunaikan umrah dengan di sponsor oleh hamba Allah yang mengenalinya.
2006 saya berpindah ke Ipoh sehinggalah tahun 2009 kerana bekerja di sana. Waktu itu kesihatan arwah agak tidak menentu tapi masih berdaya untuk bekerja. Sehinggalah kesihatan arwah semakin merosot dan beliau sudah tidak berdaya lagi untuk bekerja. Apabila kesihatannya semakin merosot pada awal 2009, arwah dimasukkan ke ICU, dan penyakitnya saat itu sudah mencapai tahap kritikal. Saya sempat menziarahnya di hospital besar. Melihat keadaannya yang semakin susut waktu itu turut mendatangkan sedih dan simpati saya pada tahap kesihatannya. Apapun sebelum pulang saya memandang wajahnya yang itulah juga merupakan pertemuan yang terakhir antara saya dan arwah. Saya memeluknya dengan penuh kasih sayang. Dia saya anggap seperti bapa saya sendiri.
Akhirnya arwah menghembuskan nafas pada dua bulan berikutnya kalau tidak salah saya. Isteri dan anak-anak saya sempat bertemu arwah dalam menanti saat-saat akhirnya sebelum pergi jauh meninggalkan dunia yang fana.
Alfatihah untuk Allahyarham Hasim bin Saad(28 mac 1937-12 mac 2009)














