Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

BODOH DAN KEBODOHAN

0 comments

Tidak ada salahnya jika kita ini berada di kalangan mereka yang bodoh dan sering buat silap. Tidak ada salahnya juga jika telah ditakdirkan kita akan menempuh onak dan duri dari awal titik sampai ke penghujungnya.

Manusia memang suka menghukum mengikut apa yang mereka rasa dan percaya kerana kita hidup dalam dunia yang penuh keseragaman sikap dan perbuatannya.

Semua kita kalau boleh tidak suka dilabelkan sebagai orang yang bodoh. Kita semua mahu jadi orang pandai, walau bodoh juga diperlukan dalam hidup manusia walaupun kita tidak menyukainya. Buktinya sebahagian hidup kita ini tidak kira siapa pun kita, akan dipenuhi dengan cerita-cerita cerdik dan bodoh.

Menilik diri kita sendiri, kita adalah makhluk yang kacak dan lawa belaka walau kita kurus, gemuk atau muka kita empat segi sekalipun. Kadang-kadang saya merasa gelihati pun ada bila melihat gelagat manusia apabila melihat wajah mereka sendiri di cermin, di dalam tandas awam umpamanya.

Belek macam-mana pun wajah kita macam tu juga. Tapi itulah, sekurang-kurang itu baik juga untuk meyakinkan diri kita sendiri tentang kejadian dan ketentuan alam.

Tidak akan ada cerita seorang manusia itu dari awal hidupnya pandai sehingga keakhir hayatnya termasuklah tokoh-tokoh genius seperti Mozart mahu pun Einstein. Biasanya mereka-mereka yang bijak ini biasanya hanya bijak dalam bab-bab tertentu saja, bab-bab yang lain umpamanya menguruskan diri dan kehidupan, kebanyakannya gagal dan banyak benda-benda bodoh yang mereka lakukan sebenarnya. Hatta menguruskan diri sendiri pun mungkin mereka tidak mampu.

Kita adalah pengembara di mukabumi Tuhan ini. Tidak kira apa peranan kita pun, kita masih juga seorang pengembara. Kita berjaya mengaut sebanyak mungkin hasil dunia, pun kita masih bergelar pengembara. Kita tewas dalam pertarungan hidup yang semakin menindas hari ini, pun kita masih juga bergelar pengembara.

Saya dilahir dan dibesarkan di sini. Ini negara kita dan saya salah seorang warganegara di bumi yang saya sayang. Saya boleh saja kata saya beruntung tidak dilahirkan di Korea Utara atau di Papua New Guinea sana. Saya juga boleh saja bersyukur kerana tidak dilahirkan di kaki lima jalan atau ditinggalkan di Rumah Kebajikan se usia bayi.

Atau saya boleh saja bersyukur kerana dilahirkan cukup sifat walau tidaklah cerdik sangat dalam bab-bab bagaimana mahu menjadi pelakon yang hebat dan bijak.

Saya sering berasa cemburu tatkala melihat orang gila atau yang tidak waras akal fikirnya mengoyak nilai wang 100 ringgit yang diberi kepada mereka oleh para penderma tanpa rasa rugi atau bersalah. Saya tidak mampu melakukan seperti mereka.

Saya akan berterimakasih dan bersyukur kerana diberi 100 ringgit dan akan mengatakan inilah hari yang terbaik antara yang terbaik yang pernah saya lalui.

Pengertian bodoh itu sama ertinya dengan kurang pandai atau kurang arif. Cuma perkataan ‘bodoh’ itu agak kasar berbanding kurang cerdik tapi dari segi maknanya lebih kurang samalah. Melakukan perkara bodoh dan orang bodoh itu memang berbeza dari segi makna dan pengertiannya tapi masih berada dalam satu ‘folder’ juga.

Dalam kehidupan kita, ada perkara yang kita pandai dan ada perkara yang yang kita kurang pandai, mungkin sebab itu bukan bidang kita. Jika motorsikal atau kereta saya rosak, saya akan hantar ke bengkel untuk diperiksa. Saya tidak punya kepandaian tentang membaiki kereta atau motor kerana itu bukan bidang saya.

Menginjak ke usia yang semakin ke depan, banyak perkara terutama dalam hal-hal yang melibatkan kehidupan moden dan pentadbirannya, saya lambat ‘catch up’ dan ‘blur’.

Umpamanya sehingga ke hari ini walau sudah berpuluh kali isteri saya mengajar bagaimana untuk membuka televisyen dan astro dengan menggunakan ‘remote control’, saya masih lagi terkial-kial tak tahu nak tekan butang yang mana satu?

Nyata kebodohan saya itu jika itu perkataan dan makna yang sesuai, tidaklah mendatangkan rasa rendah diri kerana kita perlu menghormati cerita yang Tuhan bentangkan untuk kita. Jika sampai masa untuk kita jadi bodoh, bodohlah kita!

Kadang-kadang kita berpura-pura tahu tentang suatu perkara itu padahal kita tak tahu dan faham sangat pun. Tapi itulah, bagi saya tidak ada salahnya kita menerima apa saja kelebihan dan kelemahan yang ada pada kita untuk disesuaikan dengan kehidupan hari ini.

Para pelajar yang berada di tingkatan 5 tahun ini sedang bergelut dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk anak perempuan saya. Semua kita kalau boleh mahukan yang terbaik untuk anak kita, walau sijil SPM hari ini semakin tidak punya nilainya lagi berbanding di zaman saya dulu atau sebelumnya.

Apapun saya akan gembira jika anak saya mampu menghadapi musim yang paling penting dalam hidupnya dan jika dia mengalami tekanan atau kecewa, saya akan memberikan nasihat kepadanya setakat yang termampu.

Saya percaya acuan itu sudah sedia ada untuk setiap manusia tentang apa isi dan masa depan setiap kita yang bergelar manusia. Perencanaan itu hanya penyebab pada setiap siri takdir dan kejadian.

Apa pun kegagalan bukanlah alasan untuk kita kecewa dan berputus asa dalam hidup kerana takdir itu di dalamnya penuh dengan cerita-cerita misteri yang tidak pernah kita jangkakan apa akan berlaku walau sedetik ke depan.

Dalam melayari proses kehidupan dan segala masalahnya, banyak perkara bodoh yang mungkin kita telah lakukan, tapi di antara benda-benda bodoh yang kita lakukan itu, terdapat perkara yang sangat bodoh yang telah kita lakukan hingga mengakibatkan segalanya menjadi kacau dan mencacatkan keindahan lorong takdir yang kita lalui itu.

Cuma semalam adalah tentang semalam. Kita sedang hidup di masa ini, saat ini. Yang paling penting..inilah kita seadanya…

KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.