Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

Cahaya

0 comments

Kita memerlukan matahari dan bulan dalam kehidupan siang dan malam kita. Kita memerlukan cahaya untuk membantu kita meneruskan hidup ini. Tanpanya kita mati.

Cahaya malam kita akan terpesona jika kita menatap keindahannya sinar bulan. Cahaya siang akan membuatkan kita buta jika kita menatap sinarnya mentari. Itulah perbezaannya.

Seorang sahabat saya suka sangat bermain dengan api sehingga terbakar jasadnya, yang tinggal hanya Dia semata. Adakah itu yang di namakan kesempurnaan? Dia tidak tahu atau sedar waktu itu kerana asyiknya dia untuk tinggal diam yang kita namakan tempat itu Antah Berantah. Maknanya tempat yang kita tidak tahu di mana tetapi ada.

Itu hanyalah permulaan, bukan pengakhiran sebenarnya. Apapun itulah definisi syorga bagi sahabat saya yang hanya tinggal Dia semata itu. Dari satu titik ke satu titik dia berjalan, terlalu asyik dia sehingga antara nyata dan ilusi pun sudah di satukannya.

Saya boleh faham kerana biasanya setiap manusia itu mencari syorga di dunia mahupun akhirat. Apa juga kefahamannya syorga adalah bahagia dari segi materi mahupun kejiwaan manakala neraka adalah frustasi dan bencana, pun dari segi materi mahupun kejiwaan.

Antara putus dengan tidak, sahabat saya itu berjalan dan terus berjalan. Putus kerana bagi manusia yang berpandukan akal mungkin akan melihat sahabat saya itu gila kerana, walaupun dia tidak berkasut, berbaju berjalan di merata pekan, dia juga tidak pernah mandi sejak dia mengenal dirinya, katanyalah…

Siapa yang membawa kawan saya itu ke sana dan ke sini? Tentulah itu datang dari kehendak jiwanya juga. Siapa pula yang memandunya kerana walau dia ‘gila’ di mata ramai, tak pernah dia sakit mahupun mati dilanggar kereta.

Pada suatu hari tatkala sahabat saya itu memandang cahaya mentari di siang yang rembang, dia seakan terjaga dari tidurnya. Dia mula membelek tubuhnya yang tidak keruan itu. Kakinya lusuh dan reput kerana berjalan lama tanpa kasut.

Ah! Dia sudah memasuki fasa yang berikut rupanya.. Dia cuba ke belakang semula mencari kasut yang dia tinggalkan dulu. Berjalan punya berjalan barulah dia tahu yang sudah tersangat jauh dia mengembara ke alam diri rupanya.

Itulah, kehendak rohani dan jasmani itu perlu seimbang. Apabila seiya dan sekata, apa yang boleh kita nafikan lagi.

Kita memerlukan cahaya matahari dan bulan di dalam kehidupan kita. Cuma kita perlu faham yang bulan itu untuk kita tatap, matahari itu untuk kita rasa nikmat indahnya.

Untuk hari berikutnya sahabat saya sudah mula menjalani hidup sebagaimana manusia biasa seadanya, Alhamdulillah..

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.