Notes:
Bila poket kosong
Biasanya kalau poket kita penuh, kita akan suka hati, kalau poket kosong segalanya murung dan memasalahkan. ha ha ha..
Duit punca segala cerita, yang indah mahupun yang tidak indah.
Untuk saya, tak ada duit dalam poket adalah suatu benda yang biasa. Seronok juga bila dalam keadaan yang begitu, kita akan berfikir macamana nak cari duit.
Kalau tak ada duit langsung, rm 5 ringgit pun besar nilainya. Nilai ringgit kita semakin kecil hari ini. RM 50 macam rm 5 sahaja, beli beras, gula dan minyak masak, habislah. Tapi kalau tak ada duit dalam poket, rm 5 itu tetap berguna juga..ha ha ha
Sekurang-kurangnya kita akan rasa nikmat suka duka hidup ini. Itu yang penting bagi saya. Bayangkan kalau hidup ini tak ada masalah, untuk apa kita di sini lagi? Kalau poket kosong, kita boleh isi, sedikit pun tidak mengapa. Kalau hal lain yang namanya masalah juga? Yang tak boleh dibeli dengan duit?
Kawan saya bercerita tentang kisahnya yang bercinta dengan orang kaya. Memang kaya, rumah ada kolam renang, kereta sport.
Kata kawan saya lagi, kekasihnya itu sudah bercerai dengan suaminya. Punca?, suaminya curang, dan kecurangannya disaksikan di depan mata sendiri. Bertambah lagi bila yang berasmara dengan suaminya itu adik kandungnya sendiri. Kesannya kekasih kawan saya ini mendapat penyakit migrain yang sangat teruk, dia menangis siang malam mengenang nasib diri seperti kisah Kasim Selamat dalam cerita Ibu Mertuaku.
Hasilnya kekasih kawan saya ini jika dibedah akan menyebabkan matanya buta. Itulah ceritanya..
Itulah, baik kita tak ada duit dalam poket daripada berhadapan dengan masalah yang dihadapi oleh kekasih kawan saya ni tadi.
Tetapi bagi saya semaksimum manapun masalah yang kita hadapi, ianya hanyalah sekadar masalah. Mengapa perlu mengaku kalah dan berserah, melayan subjek dukacita sehingga merana badan? Bukankah itu bodoh namanya? Dalam hidup, kita perlu bijak dan jangan dibodohkan oleh subjek-subjek yang membodohkan diri sendiri. Sebabnya yang membodohkan kita itu adalah iblis. Dia sangat suka jika kita kecewa dan putus asa, kesal dan sebagainya. Sebabnya jika kita gagal macam-macam kita boleh buat. Bunuh diri dan membunuh terutamanya. Kecewa sampai buta mata bagi saya membodohkan diri sendirilah. Tuhan pun tidak suka, dia dah bagi nikmat melihat, kita tidak menghargainya.
Hari ini saya bawa anak bini menonton saya berbusking di KTM atas jemputan mereka, saya pun buskinglah di sana bersama rakan busking saya yang hebat, Syed Amran. Saya pula poket tengah kosong, jadi bila datang tawaran macam ni, memang bestlah..ha ha ha
Bayaran untuk kami busker ni bukanlah lumayan sangat. Ada artis jemputan juga yang dijemput pihak KTM dan mulanya mereka mahu saya back up penyanyi undangan itu, Anna Raffali? Saya tak kisahlah sebab saya ni busker je. Cuma secara peribadinya penyanyi-penyanyi perempuan terutamanya yang pegang gitar tong ni seperti Yuna atau siapa sajapun bagi saya mereka ni budak-budak pramatang dengan lirik-lirik budak sekolah, jadi untuk saya simpan atau ingat nama mereka di ingatan pun bagi saya adalah satu kerugian. Bila sesuatu itu tidak penting untuk diingat, jangan simpan. Tapi bukanlah saya benci pula, cuma tidak penting.
Saya pun tak tahulah, saya memang tidak suka suara penyanyi perempuan. Yang saya suka dalam dunia ni ada 2-3 orang sahaja. Kate Bush dan Joni Mitchel atau Roberta Flack. Yang lain tu bagi saya biasa saja.Mungkin saya melihatnya secara package. Saya suka singer/writter. Tengok pula apa yang nak mereka ceritakan dalam lagu mereka. Kalau lirik macam budak umur 10 tahun, tak sesuailah untuk saya. Lagu pula kalau cara melodinya stereotype atau clean sangat, macam muzik programming, pun saya tidak berkenan. Itulah..mungkin inilah kelemahan saya..ha ha ha..apa pun saya tak lah maksudkan cuma hanya point of view sahaja.
problema dimana-mana..raikanlah!
lahir saja kita atau keluar saja kita dari rahim ibu kita dah problem, orang kaya mahupun yang miskin..akan menangis, sebab hidup memang problem.
Menangis kerana dua sebab, suka dan duka. Suka kerana kita yang dipilih hatta para malaikat pun tidak sanggup untuk menanggung amanah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini. Duka kerana ujian yang maha berat bagi kita dalam menanggung amanah yang diberi. Namun ini semua ceritanya, kita hanya menjalani.
Untuk kita menangani masalah, kita perlu duduk di dalam masalah itu. Raikan murung dalam mood yang segar. Jangan nafikan walau sedetik perjalanan nafas dan takdir kita. Kita perlu memahami makna suka dan duka kerana kita manusia. Jika kita sedang memahami yang kita ini manusia, kita masih boleh tidur lena walau dalam situasi murung yang hebat.
Apa yang kita boleh expect tahap kesempurnaan kita manusia?
Kita tidak sukakan kesempurnaan yang calculatif sifatnya. Kita sukakan kesempurnaan yang apabila dosa dan pahala itu kita terima seadanya. Sebagaimana kita memerlukan matahari dan bulan, begitulah kita masih memerlukan dosa dan pahala di dalam hidup kita selagi kita ini bernama manusia. Selainya adalah proses.
Memahami kehendak diri adalah sebahagian dari subjek kesempurnaan.
Memahami makna kesempurnaan adalah apabila kita terjun di tasik yang kita tidak tahu apa yang ada di dalamnya, dan walaupun kita lemas, kita tidak akan mati kerananya selagi masih ada percaya.
Sebenarnya saya sedang cuba untuk memahami mengapa dunia ini tidak berlaku adil kepada umat manusia dan kehidupannya. Ada pengemis yang menghiasi pinggir jalan mengharap simpati, ada kerakusan yang apabila sampai satu tahap lupa manusia itu tidak ubah sifatnya seperti haiwan. Ada mendung dan langit biru. Ada orang kaya yang walaupun hartanya melimpah ruah, namun penyakit yang dihidapinya masih belum ada ubatnya. Dan akhirnya dia pun mati juga, sama seperti pengemis tadi. Semoga segalanya dihalalkan demi Tuhan.
Ada orang miskin yang terpaksa mencuri demi untuk sesuap nasi.
Jika ada permintaan dan doa, halalkanlah salah mereka, sekurang-kurangnya mereka tidak bertuhankan ringgit. Mereka hanya memerlukan ringgit untuk meneruskan hidup. Alangkah malang bagi si kaya yang hartanya berlebihan yang masih terkial-kial mencari makna kemanusiaan.
Saya sedang cuba untuk memahaminya. Saya sedang cuba mentafsirkan makna keindahan dalam elemen yang abstrak dan penuh teka-teki. Hidup ini memang indah. Indah? Indahlah pada yang indah.
Betapa indahnya apabila kita sedang melayani masalah kerana akan mendewasakan kita secara tidak langsung. Kegagalan adalah sebahagian dari kesempurnaan. Bersyukurlah jika kita diberi ujian, itu maknanya kita masih disayangi.
Kota pusat segala cerita
Kota ini kejam. Tidak ramah langsung. Kos sara hidup makin tinggi. Kadar sewa rumah sangat mahal. Sewaktu saya tinggal di Ipoh, kadar sewa sebuah rumah teres 3 bilik, 2 bilik air sewanya cuma rm 300. itu tahun 2007.
Di KL ni rumah apartment kos rendah tingkat 5 pun sewanya mencecah rm 500.
Saya mula tinggal di Kuala Lumpur sejak tahun 1985. Suatu waktu saya fed up dengan suasana dan persekitarannya. Pernah saya cuba untuk tinggal di kampung sewaktu proses rakaman album di studio Luncai tertangguh. Saya cuba buat perancangan untuk tinggal di kampung dan hanya akan ke kota jika ada aktiviti atau tawaran menyanyi.
Tapi itu semua tidak terjadi seperti yang saya rancang. Paling lama saya boleh tahan 2 bulan.
Di kampung suasananya nyaman, oksigennya segar cuma minda kita tidak berkembang. Saya perlukan kawan-kawan yang sealiran. Saya perlukan muzik dan yang paling penting semua aktiviti dan gedung ilmu berpusat di sana.
Apa pilihan yang saya ada waktu itu? Semua kawan sekampung sudah berhijrah dan bekerja di kota. Takkan saya nak bercampur dengan budak sekolah?
Dengan siapa saya nak berkongsi cerita mengenai muzik dan falsafahnya? Siapa yang kenal Jim Morrison, Dylan, Lennon, Cat Steven, The Jam, Pau Weller dan sebagainyalah. Apa yang saya suka bukan semua orang suka. Itulah kenyataannya.
Saya suka mengkaji agama waktu itu. Bukan agama islam saja, semua agama saya nak kaji kalau boleh. Saya sukakan cerita yang lain dari biasa. Yang biasa-biasa saja dalam buku pun banyak.
Di Pasar Seni semuanya ada. Orang gila muzik,gila itu, gila ini jadi saya yang gila ni merasakan dunia dan diri saya tidaklah sunyi sangat. Sekurangnya saya boleh berkongsi banyak hal dengan kawan-kawan yang sama aliran dan kefahaman.
Semakin lama saya di sini, saya untuk memahami kota dan isi ceritanya. Cuba untuk memahami adalah jalan atau solution yang paling baik. Lagipun apa pilihan yang kita ada? Kita bukannya orang yang berada. Boleh tinggal di mana-mana negara yang kita suka, bila-bila masa yang kita mahu.
Yang penting saya tidak keseorangan di sini. Selainnya, kita kena layan hidup ni brader! Ini yang kita pilih!
R.I.P Franky Sahilatua yang telah meninggal dunia pada 20 april 2011 pada usia 57 tahun.
Tentang seorang sahabat
Hari itu adalah hari yang sempurna bagi kawan saya kerana katanya dia telah mendapat apa yang diinginkan dalam hidupnya. Ianya sangat penting baginya. Saya pun tanyalah, apa yang dia dapat?
Katanya hijabnya telah terbuka malam sebelumnya sewaktu dia sedang bersuluk sampai ke subuh. Saya kata baguslah cuma kalau boleh konsistenkanlah tahap kesejahteraan itu. Saya tidak terperanjat kerana kawan saya ni memang obsess sangat dengan kefahaman dan dunianya.
Hijab akan datang bukan hanya sekali dalam hidup kita. Prosesnya panjang. Sebabnya cerita hidup kita tidak akan selesai dalam satu hari saja.
Kawan saya ini memang gila sikit. Katanya dia telah jatuh cinta pada Tuhan yang menjadikannya sejak usianya akhil baligh. Saya pun tak tahulah samada dia insan yang terpilih mahupun tidak. Hari itu umurnya genap 30 tahun. Cuma penampilan dan cara hidupnya agak tidak terurus dari segi zahirnya sebab dia agak kurang mengambil berat tentang hal-hal duniawi.
Di saat anak muda sebayanya menghabiskan masa muda mereka dengan aktiviti sosial sebagaimana lumrah manusia biasa, berkahwin, beranak-pinak, merancang masa depan yang lebih cemerlang dan sebagainya, kawan saya ini lebih suka menyendiri sambil merenung dan banyak berfikir. Jadi saya melihat dia dari sudut yang positifnya sebagai seorang manusia yang kurang berdosa antara sesama manusia kerana dia hanya buat hal dia.
Masyarakat setempat memang melihatnya sebagai seorang manusia yang gagal dan eccentric. Dia memang unik, sangat unik mungkin atau terlebih unik pun mungkin juga.
Caranya bercerita tentang alam seolah alam itu miliknya, caranya bercerita tentang matahari seolah matahari itu miliknya juga, bulan pun begitu dan bumipun begitu. Bertambah lagi bila dia bercerita tentang Tuhan seolah Tuhan itu miliknya seorang. Selepas itu kami tidak bertemu lagi kerana saya telah berhijrah ke kota.
Beberapa tahun kemudian, kawan saya itu ternyata gagal menterjemah sepenuhnya makna kehidupan mahupun kefahamannya tentang ugama dan Tuhan. Dia telah dimasukkan ke hospital bahagia. Di mana silapnya kawan saya ini?
Tentang Tuhan, kita perlu meletakkan kefahamannya di jiwa, bukan di akal fikir yang terbatas. Beza antara jiwa dan akal, kehendak jiwa itu lebih menjurus ke arah kesejahteraan iman. Iman makanannya bukan materi. Hal-hal yang melibatkan Tuhan adalah sesuatu yang berat. Kalau kita letakkannya di akal, ianya sangat terbatas. Ilmu jiwa bukan ilmu hukum. Ilmu tentang kejiwaan kita perlu letakkannya di jiwa kerana itu adalah rahsianya. Itulah yang terjadi dengan kawan saya ni tadi. Dia rasa dia sampai, malangnya tersangkut di tengah jalan. Pun itu adalah prosesnya. Jika dia sedar dan kembali ke alam nyata, dia akan pulih namun itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ilmu ketuhanan bukanlah subjek yang boleh kita anggap mudah kerana ia melibatkan hal-hal yang batin.
Kehendak akal memang mahu kita menjadi begitu atau begini. Kehendak akal akan membuat kita buta dan keliru. kehendak akal lebih menjurus kepada materi dan harta benda. Menganggap diri sempurna adalah mainan akal yang dipandu oleh sang iblis.
Kesannya apabila perhubungan antara rohani dan jasmani itu tidak kesampaian, mungkin akan terputus wayar dalam kita. Itu yang sedang di alami oleh kawan saya ini.
Apabila kita telah memilih takdir kita, mahu tak mahu kita perlu menerima perjalanan hidup kita seadanya.
Tentang hal kawan saya ni tadi, keadaannya begitulah. Kadang-kadang ok, kadang-kadang ko..Sampai ke mana sudahnya perjalanannya? Hanya Tuhanlah yang tahu.
Jadi sesuatu yang penting, jika kita ingin mendalami ilmu ketuhanan, maknanya kita kena faham yang kita sedang mengkaji dan mengenal roh kita sendiri. Kerana hal-hal roh adalah rahsianya. Ianya sangat berat kalau kita fikir dan jika kita berjaya melepasinya, lorong itu akan terus bercahaya, dan kita tidak akan tersesat. Jika kita gagal, kita telah hilang nikmat sepenuhnya sebagai seorang manusia yang punya akal waras.
Jadi yang sebaiknya bagi saya, kita jalani saja hidup kita sebagai manusia dan jangan risau, capat atau lambat kita akan bertemu juga denganNya. Insyaallah.



