Notes:
CERITA DALAM LAGU
Saya mula dengar lagu Ebiet tahun 1980 kalau tak salah saya. Camellia 1, 2, 3 dan 4. Semua kaset dibeli oleh abang saya sewaktu dia ke Indonesia. Ebiet adalah pembuka jalan untuk saya belajar dan ambil tahu tentang apa yang mahu disampaikan dalam setiap melodi yang dilagukan. Ebiet bercerita tentang kejujuran, masa lalu, kenaifan, ketidakpercayaan pada wujud Tuhan malah kecintaannya kepada Tuhan dan alam dalam bahasa yang sangat unik dan indah. Dalam masa yang sama kenakalan dan pengakuannya jelas dalam lagu ‘cinta di keretapi biru malam’, atau cerita tentang ‘lelaki ilham dari syorga’malah cerita ‘camelia iv nya sangat misteri untuk diungkapkan. Sehingga apabila saya mendengar muzik Kembara waktu itu, liriknya bagi saya hanya 50% sahaja dari apa yang Ebiet miliki. Sehingga juga apabila saya cuba mencipta lagu pengaruh Ebiet sangat kuat sehingga cara nyanyi dan lirik pun nak macam Ebiet. Ha ha ha..
Lirik dalam lagu memang penting bagi saya. Apa yang mahu disampaikan yang itu yang saya mahu tahu. Dari Fals, Ebiet, Gombloh, God Bless, Doel Sumbang, Dylan, Cat Steven, Nick Drake dan banyak lagi folk singer yang hebat-hebat, saya belajar dan tahu banyak benda dari mereka.
Apabila Fals menyatakan protes kepada Tuhan dalam lagunya ‘tolong dengar tuhan’ atau protesnya terhadap sistem politik negaranya dalam nada yang sangat telus saya salut dan dia memang hebat dalam menyatakan pendapatnya.
Apabila Gombloh bercerita tentang perhubungan kasih antara anak yang bapanya seorang pencuri, ianya benar-benar memberikan saya pelajaran dan renungan. Banyak yang dapat kita belajar sebenarnya melalui lagu-lagu yang bagus.
Apabila saya mendengar Doel Sumbang berlagu dalam lagunya ‘aku tidak sinting’ saya tidak dapat menggambarkan betapa rabak dan telus nya dia bercerita dalam lagu dalam haru yang amat sangat. Ha ha ha. Mana ada penyanyi yang bercerita tentang mukanya yang hodoh atau kurap yang hinggap di celah kangkangnya melainkan Doel Sumbang? Ha ha ha
Pengalaman akan mendewasakan kita. Ambil dan ambillah mana yang sempat kita ambil, jadi bekal dalam dada menjadikan kita orang yang berilmu dan banyak tahu tentang hidup dan kejadian.














