Notes:
Di simpang jalan, berhenti atau kita teruskan?
Di simpang jalan, kita harus memilih samada berhenti atau kita teruskan langkah kita. Jika di hadapan kita ada sinar terang, mengapa kita tidak mahu ke situ?
Hidup ini misteri. Dan hakikatnya kita masih belum mati lagi. Apapun sedikit demi sedikit nikmat itu telah diambil dan kita perlu menerimanya dengan lapang dada. Maknanya jangan mengeluh perihal untung nasib diri.
Saya boleh perasan tentang nikmat yang telah diambil itu. Pertamanya dari rambut kita hitam telah bertukar menjadi putih. Kita cuba hitamkan dengan inai, pun hakikatnya itu bukan sesuatu yang asli lagi. Gigi yang bersusun apabila sampai masa akan rosak satu-satu. Kita gantikan dengan gigi palsu, pun itu bukanlah gigi yang asli lagi. Tenaga yang banyak dulu kita miliki namun hari ini valuenya semakin berkurangan. Ketawa kita dulu nilai seronoknya mungkin 100% namun hari ini mungkin 50% nilai seronok itu tunggal kerana yang lagi 50% itu sudah diambilnya. Ha ha ha
Itulah, kadang-kadang saya ketawa sendiri mengenang untung nasib diri kita. Mengeluh tidak, suka sangat pun tidak juga.
Sekurang-kurangnya ada cerita nanti untuk anak-cucu kita.
Hari ini mereka mengajak saya ke sana, ke tempat yang saya enggan pergi suatu masa dulu. Hari ini saya menerima pelawaan mereka seadanya. Sayapun tidak ada jawapan mengapa hari ini saya begini, dulu saya begitu. Itu sebab saya kata hidup kita ini ada cerita dan misterinya yang tersendiri.
Semalam saya berada di sana, hari ini di sini. Esok mungkin ke sana pulak. Begitulah seterusnya. Walaupun hidup ini bukanlah satu jaminan untuk kita mengecap kesenangan lahir batin, namun jika setiap detik itu kita tahu yang kita tidak akan kesunyian, itu bagi saya sudah mencukupi.
Apalagi yang kita mahu dalam hidup ini?
Nasyid – Waktu saya kecil dulu, arwah bapak suka dengar lagu nasyid El Suraya Medan, Al Mizan, Ahmadi Hassan dan beberapa group nasyid lagi. Bagi saya untuk lagu nasyid, jenis yang macam inilah yang saya salut. Dulu mereka bernasyid atas dasar tanggungjawab antara sesama insan. Value ikhlas mereka kita boleh nampak. Bila masuk era band nasyid ‘ Hairan’ saya pun dah tak hairan lagi, sebabnya semuanya sudah di fesyenkan menjadi barang dagang yang menguntungkan.














