Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

DIA ADA DALAM SUKA DAN DUKA..

0 comments

Siang tadi saya ziarah Jimadie dan keluarganya di kediaman mereka di Taman Putra Prima, Puchong. Adam Azfar anak sulung mereka telah pergi meninggalkan Jimadi dan keluarganya, juga kita, kawan-kawan dekat. Anak Jim, umurnya 7 tahun, sepatutnya sudah bersekolah darjah 1 tahun ini. Tapi itulah, skrip hidup kita ni bukannya kita boleh duga pun.

Saya waktu itu sedang menuju ke Kuala Lumpur dengan isteri untuk mencari sedikit barangan dan keperluan. Apabila mendapat pesanan sms dari Amin Iskandar, perjalanan dan langkah saya terhenti seketika, “Anak jim dah meninggal” kata Amin dalam pesanan sms nya yang saya baca. Akhirnya saya berkata dalam ini, ‘inilah moment yang terbaik untuk Jimadie dan keluarganya’…

Sedih, saya faham tentang itu, tapi itulah yang terbaik yang akan berlaku dalam hidup kita, kematian walau pun semua akan menempuhnya, adalah suatu yang ‘rare’ dan akan diingati. Jimadie akan ingat hari ini sebagai tarikh yang penting dalam hidupnya, selagi hayatnya masih ada. Ingat kerana itu yang telah sebati dalam darah dan dagingnya. Pergi kerana itu tanggungjawab si anak terhadap penciptanya. Anak membesar dalam dakapan kita, siang malam pagi dan petang, sehingga tumbuh benih kasih sayang tersemat dan apabila ia tertanggal dan hilang lenyap, memang akan meninggalkan kesan pada kita.

Adam anaknya memang ditakdirkan hanya untuk singgah sementara untuk bermanja dan bermain-main di taman hati Jimadie sekeluarga. Kita sentiasa menatang dan merancang segala yang terbaik yang kita mampu untuk anak-anak kita, tapi di celah-celah siri kebahagiaan, babak sedih memang ada dan akan terjadi…apa saja boleh berlaku, dan kita kalau boleh memang tidak mahu hal-hal yang tidak baik terjadi dalam hidup kita, nafsu kita sentiasa beraja seakan kitalah yang menentukan arah tuju hidup kita ini, tapi itu hanyalah perjalanan yang disediakan oleh Nya, untuk Dia..Dari Dia untuk Dia juga segalanya.

Saya tidak akan bertanya mengapa Tuhan jadikan semua cerita ini untuk kita hadap. Tapi saya cuba memahami dan percaya bahawa setiap yang buruk atau baik itu adalah dariNya. Sirr adalah cerita milikNya, kita tidak tidak akan tahu. Tapi jika kita dilahirkan ke dunia dengan kurniaan airmata untuk duka dan suka, kita akan memahaminya. Untuk sebuah rahsia dari yang maha agung, kita adalah umpama habuk yang tidak punya apa-apa,itulah kita.

Jika suka dan duka adalah milikNya juga…kita hanya perlu belajar bagaiamana mahu menjadi seorang pencinta yang setia…

Al-Fatihah untuk Adam Azfar ( 7 tahun ), anak sulung Jimadie Shah Othman, kawan kita.

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.