Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

DUIT DAN KEHIDUPAN

0 comments

Kuala Lumpur adalah pusat segala cerita yang menarik jika kita punya inisiatif untuk menyusul apa yangada di dalamnya. Ini bukan cerita budak sekolah yang jawapannya mesti betul mengikut apa yang telah ditetapkan untuk kita lulus periksa, atau ajaran fekah yang menuntut kita menjadi manusia baik demi ganjaran pahala mahupun syurga.

Ini adalah kenyataan hidup yang realistik yang mana konsep syurga dan neraka itu adalah dalam satu acuan jua, di mana kita adalah sebahagian dari pelengkap isi ceritanya, di mana buruk dan baik, dosa dan pahala bercampur menjadi satu acuan pelengkap kesempurnaan versi kehidupan dan kenyataan hidup.

belasan tahun saya menghabiskan sebahagian masa di jalanan. Terlalu banyak cerita yang dapat kita pelajari dan hadamkan di situ. Tentang kehidupan, sikap manusia yang berwarna-warni. Kita tidak boleh menafikan kehidupan ini kerana kita adalah pelengkap segala cerita. Maknanya setiap kita yang bernyawa ini penting walau siapa pun kita.

Luangkanlah masa menyusuri lorong kehidupan yang terang mahupun gelap itu. Masih ramai para gelandangan yang tidur di kaki lima mahupun di bawah jambatan.

Ada orang gila, ada yang macam gila, ada yang malas bekerja walau badan masih sihat, ada yang menjadi penagih yang membuat kerja menjaga parking haram demi kelangsungan hidup atas dasar kepentingan mereka sebagai manusia yang perlu duit untuk terus hidup dan menagih.

Kita bercerita tentang golongan pendatang yang semakin memenuhi negara kita ini. Ianya semakin menyesakkan dengan segala macam bau yang ada di dalamnya. Ditambah pula dengan kemasukan 3 ribu orang pelarian dari Syria yang bakal menumpang di negara kita ini tidak lama lagi.

Seorang kawan merungut dengan jumlah pendatang asing yang terlalu ramai mendiami negara kita ini. Apa yang mampu kita lakukan? Kalau 100 orang mungkin kita mampu mengawalnya. Kalau 10 juta orang?

Kita boleh katakan ini kifarah mahupun suratan hidup. Semua kita pasti melaluinya, musim sukar mahupun senang. Sukar mudah menjadikan kita terdesak demi untuk terus hidup, senang mudah menjadikan kita alpa tentang siapa kita dan untuk apa kita di sini sebenarnya?

Semenjak dua menjak ini udara dan pernafasan kita pula tersangkut-sangkut angkara jerebu bikinan manusia. Dunia ini semakin rapuh dan reput dan kita juga adalah penyebabnya. Segala isi cerita tentang dunia ini adalah tentang kita, para penghuninya.

Maka itu hospital dan klinik akan sesak dengan para pesakit yang perlukan ubat. Farmasi tidak akan kosong dengan para pelanggan dari mula beroperasi sampailah ke jam 10 malam. Segalanya tetap bermotifkan perniagaan.

Untuk segalanya juga, duit adalah perkara utama dalam hidup bagi kebanyakan kita jika hidup di kota seperti di Kuala Lumpur ini. Keselesaan bukanlah suatu yang percuma, segalanya harus dibeli bergantung pada tahap kemampuan kita. nak ke klinik mahupun farmasi kita perlukan duit yang mencukupi.

Memang ada yang tidak memerlukan duit untuk terus hidup, melainkan selesa dengan cara hidup mereka yang gelandangan, tanpa rumah mahupun segalanya. Tapi itu mungkin satu antara seribu.

Seperti yang saya terbaca baru-baru ini dalam sebuah portal online tentang kisah deejay terkenal Noramin yang kehilangan dompetnya dengan sejumlah wang rm 2500. Gelandangan yang menjumpai dompet tersebut telah memulangkan wang tersebut dan enggan mengambil sebarang ganjaran atas keikhlasannya itu.

Gelandangan itu bahagia dengan kehidupannya yang bebas dan lepas dari belenggu ringgit dan dunia. Atau mungkin kekecewaannya yang maksimum terhadap masa lalu yang penuh salah dan silap menjadikannya manusia baru yang hanya mahu hidup sebelum mati datang menjemput.

Baru-baru ini dua orang anak muda yang juga kenalan saya datang dan kita berbual tentang hakikat kehidupan yang sebenar. Mereka ini masih muda, punya inisiatif untuk menyingkap lebih dalam akan makna kehidupan yang sebenar dan itu bagi saya suatu usaha yang harus dipuji.

Walau sedalam manapun kita ini menjenguk tabir rahsiaNya, selagi kita ini masih makan dan minum dan sibuk dengan hal dunia, ianya hanyalah sekadar cerita semata. Cuma ilmu dan kefahaman itu perlu juga dikongsi jika bersesuaian dengan tahap akal kita dalam memahaminya. Yang jelas kita hanya perlu tahu mengapa dan untuk apa kita di sini sebenarnya?

Selainnya anggaplah kehidupan ini sebuah pentas yang perlu kita lakonkan di mana kita adalah sebahagian dari wataknya. Jadilah pelakon yang bijak dan memahami situasi dan persekitaran.

Duit? Semua kita perlukan duit. Ada duit banyak perkara dan hal yang mampu kita selesaikan. Tidak perlu kaya, asal mencukupi dan segala urusan duniawi dipermudahkan, itu sudah memadai.

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.