Notes:
HIKAYAT BODO-BODO
Saya dilahir dan dibesarkan di kampung, rumah tepi sungai(Sungai Bruas). Kalau hujan lebat air melimpah sampai ke halaman. Letrik dan air tak ada waktu itu, jadi kita gunakan air telaga atau air sungai untuk makan atau minum atau kegunaan lain. Saya rindukan suasana itu sebenarnya. Berjalan kaki tak berkasut, perut pun buncit banyak cacing kerawit, bila buang air besar keluar cacing kerawit banyak. Waktu malam pakai lampu gasolin dan pelita. Waktu itu tahun 1973, bilamana sebelumnya keluarga saya berpindah dari tinggal di berek polis ke Kampung Kilang. Tahun 1975 keluarga saya berpindah ke Kampung Dendang. Walaupun kisah saya sewaktu kecil ni selalu saya ceritakan, saya akan terus bercerita juga kerana ianya sketsa perjalanan seorang anak muda yang lahir di kampung yang serba serbi kekurangan baik dari segi kemudahan mahupun kewangan. Apa yang ada pada kami hanyalah kasih-sayang dan ikatan kemasyarakat yang kukuh.
Tidak banyak memori yang tinggal di ingatan melainkan mimpi naga kepala tujuh masuk ke rumah dan mimpi jalan terbelah dua dan saya jatuh ke dalam gaung yang menjadi sungai, ada sampan kecil mungkin sebagai penyelamat..ke mana hala wallahualam. Ha ha ha
Seperkara, ada sebuah buku hikayat bernama Seri Rama mungkin milik abang saya yang tua, Mishar atau Mior Sariman. Abang saya ni saya hormat dia. Banyak sebab, antaranya sejak dia kecil dia pandai mencari duit poket sendiri dengan kebolehannya melukis. Dia sangat berbakat sebagai pelukis. Kartunnya tersiar di akhbar harian kalau tak salah saya. Bayangkan seorang budak dari kampung, yang tidak terdedah dengan segala kemudahan, berjaya dengan bakat dan kepandaiannya. Karya-karyanya mungkin dihantar secara pos saya rasa. Jadi Mishar ni selepas dia menjadi guru di Tanjung Malim, dia berpindah ke Dewan Bahasa sehinggalah klimaks kerjayanya sebagai bos di majalah Gila-Gila yang menjadi fenomena di zaman itu (1976) kalau tak silap saya. Malang sekali selepas menjadi bos, dia tidak mahu melukis lagi, tidak seperti pelukis terkenal Jaafar Taib. Mungkin sebab itu sangat susah untuk saya tinggalkan dunia busking saya kerana itu ‘asas’ saya walau di manapun saya berada, tak kira samada di langit mahupun bumi. Kecualilah jika tahap kesihatan tidak mengizinkan disebabkan usia atau penyakit. Itulah abang saya ni, Tuhan dah bagi bakat, dia sia-siakan..Bila dah duduk di tempat yang tinggi, dia mungkin lupa bahawa dia adalah seorang pelukis. Berniaga ni bukannya selalu kita akan berada di atas, malah mungkin akan terus terduduk jika kita jatuh. Nak bangun balik bukannya senang.
Berbalik pada buku Hikayat Seri Rama ni tadi, adapun buku itu sangat mempengaruhi pemikiran dan kreativiti saya sebenarnya. Walaupun ceritanya hanya mitos, tapi mesej, tahap imaginasi dan susunan ceritanya sangat menarik bagi saya. Mungkin sehebat filem animasi ‘Avatar’ waktu pertama kali saya menonton ceritanya. Secara tak langsung cerita Seri Rama ni membentuk minda dan daya kreativiti serta imaginasi saya dalam bidang muzik dan lirik yang saya ceburi.
Bukan mudah jika kita menceburi bidang yang memerlukan daya kreativiti yang tinggi untuk menghasilkan sesuatu yang di luar kotak pemikiran tipikal atau biasa.














