Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

HUTANG, HIDUP DAN KEPERLUAN

0 comments

Hutang memang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan kita terutamanya di kalangan warga kota hari ini. Samada suka atau pun tidak, kita terpaksa berhutang untuk menyempurnakan tanggungjawab kita sesuai dengan kehendak dan kos sara hidup hari ini.

Hutang juga bolehlah kita ibaratkan sebagai neraka dunia. Apabila kita memikirkan tentang hutang, tidur malam pasti akan terganggu. Maknanya nikmat kebahagiaan kita sedikit sebanyak akan terencat.

Terpaksa pula kita kita mencari ‘solution’ atau jalan penyelesaian tentang jiwa kacau yang kita alami akibat hidup kita yang penuh dengan masalah dan hutang.

Neraka itu kalau di dalam ajaran agama terdapat berbagai-bagai tingkat, yang paling ringan sehinggalah yang paling teruk. Jadi hutang pun begitulah juga perkiraannya. Ada kategori hutang yang ringan seperti bayar ansuran kereta, rumah, bil-bil dan sebagainya.

Yang berat-berat pula seperti hutang kad kredit sehingga sampai tahap muflis atau hutang Ah Long sehingga mengakibatkan akal dan jiwa kita tidak keruan, sehingga menggoncangkan akal waras kita sebagai manusia hingga mengakibatkan hilang keseimbangan dan sebagainya.

Itu bagi saya neraka yang paling teruklah. Nasihat saya kepada pembaca: Janganlah memohon kad kredit jika tahap kemampuan setakat gitu-gitu saja! Kerana jika kita lalai dan lupa, kesannya seperti kita melihat watak Freddy Krueger dalam filem ‘Nightmare on Elm Street’.

Gaji yang kita dapat setiap bulan sebahagian besarnya digunakan untuk melunaskan berbagai bentuk pinjaman dan sewaan yang kita gunakan. Bayar duit sewa rumah, bayar hutang kad kredit, bayar bil elektrik, air, internet, duit kereta dan pelbagai lagi jenis hutang yang semuanya memang membebankan.

Saya melihat kebanyakan orang yang tidak berhutang adalah mereka yang tinggal di kampung-kampung terutamanya orang asal yang tinggal di pinggir hutan sana. Tamadun memaksa kita terpaksa bekerja untuk hidup dan semakin banyak kehendak semakin banyaklah kita berhutang.

Jika kita berpendapatan sekitar rm 2,500 sebulan, maknanya dalam sehari tolak cuti seminggu sekali dapat lah kita rm 95 lebih kurang. Belanja makan minum sehari termasuk rokok mungkin rm 20 . Itu kalau makan di restoran biasa, kalau di restoran mahal lagilah banyak belanja.

Untuk perbelanjaan membayar hutang, ansuran dan bil-bil bulanan pula mungkin mencecah rm 1,200. Ada lagi baki rm 1,300. Ditolak pula duit caruman KWSP, walaupun menguntungkan kita untuk jangka masa panjang, tapi untuk jangka masa pendek, ianya tetap memberi kesan dari segi jumlah pendapatan.

Tolak belanja sehari rm 20 kalau sebulan dah rm 600. Tinggallah baki rm 700. Belanja dapur dan anak? Sudahnya hujung bulan budget lari. Biasanya begitulah…

Orang kaya akan tetap menghitung untung dan nilai kekayaannya sementara golongan pekerja tetap dengan rutin mereka, terus bekerja untuk terus hidup!

Pepatah mengatakan, untuk hidup kita mesti berlari. Kalau duduk saja kita akan ketinggalan.

Sewaktu bekerja di Yamaha Music, saya kenal seorang pemain gitar professional juga ‘Product Support Manager’ di sebuah syarikat peralatan dan instrumen ‘St. Louis Music Inc. yang terletak di Amerika Syarikat sana, untuk produk amplifier jenama ‘Crate’, umpamanya.

Namanya J.Hayes dan dia kawan rapat bos saya waktu itu, Encik Edwin. Selalulah beliau memberi penerangan tentang muzik dan produk. Katanya sewaktu dia belajar di Guitar Institute of Technology (G.I.T) di Hollywood tahun 1980 dulu, segalanya perlu pantas.

Maknanya kita perlu cepat pick-up kerana setiap hari silibus akan bertukar. Seperti hari ni kita belajar jazz, esoknya blues, lusa pula fusion…kalau ‘slow’, akan ketinggalanlah kita.

Untuk berlari kita perlukan tenaga yang mencukupi. Untuk mendapatkan tenaga kita perlukan sistem pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Untuk semua keperluan itu kita perlu membelanjakan sejumlah wang. Untuk mendapatkan wang kita terpaksa bekerja.

Jadi dipenghujungnya hanyalah wang, wang dan wang saja yang kita perlukan sebagai seorang manusia yang berkehendak.

Tidak hairanlah hari ini demi kerana wang dan tuntutannya, manusia mudah hilang akal dan kewarasannya sehingga sanggup merompak dan membunuh. Kita lihat kejadian ragut, rompak, culik dan rasuah sudah menjadi fenomena yang semakin biasa.

Orang nak hidup senang, kita pun nak hidup senang. Orang nak pakai kereta besar, kita pun nak kereta besar juga. Cuma tahap kemampuan kita tidaklah sama. Apa jalan untuk hidup senang?

Kecuali kita dilahirkan sebagai anak orang kaya, tidak ada jalan selain kita perlu belajar bagaimana untuk bersyukur atas nikmat hidup sederhana yang dikurniakan untuk kita.

Kita tidak mampu mengubah dunia untuk mengikut apa yang kita mahu. Kita cuma perlu memahami rentak dan ragam dalam diri kita sendiri. Itu salah satu cara untuk meyakinkan kita tentang dunia, keperluan dan sifatnya.

Jiwa tidak memerlukan cerita-cerita yang melibatkan nafsu dan kebendaan. Jiwa akan pulang dalam keadaan asalnya. Jiwa tidak akan membawa kenangan dan mimpi indah dunia untuk mengadap Tuhannya.

Kita tidak pernah memiliki walau sebesar hama sekalipun apa yang ada di dunia ini. Kita cuma diuji untuk cerita-cerita dunia dan permainannya. Kita hanyalah para penduga belaka dan selalu berharap agar yang baik-baik saja yang datang kepada kita. Ini kerana sebahagian besar jalan kita hanyalah wang dan kebendaan. Segalanya mampu dijual-beli termasuklah agama dan kejujuran.

Atau, sanggupkah kita meninggalkan tamadun dan kehendak manusia dan menghabiskan sisa-sisa hidup di dalam hutan seperti di zaman dulu kala? Adakah dunia ini akan memberikan simpatinya atas cerita-cerita sedih yang kita alami ?

KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.