Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

ILMU ALAM

0 comments

Kita adalah penterjemah cerita alam ini walau kita cuma sedari sedikit mahupun sepenuhnya. Lupa kerana mungkin kita ini sedang lemas dek mimpi indah materi duniawi. Di mana-manapun sama, tidak ada bezanya. Di sini kita diajar untuk mengenal alif, ba, ta dan seterusnya untuk sekadar kenal huruf arab maka segala yang arab itu sangat sempurnalah bagi kita.

Menjenguk ke belakang dan hari ini bagi saya kaum arab bukanlah kaum yang boleh kita banggakan, mengenai sikap termasuklah yang lain-lainnya. Apabila kita berbicara denganNya dengan bahasa kita, apakah Dia itu tidak mendengar?

Kita juga sangat tidak digalakkan untuk bertanya dalam membebaskan akal fikir kita ini tentang kejadianNya yang maha agung, jadi mungkin itulah sebabnya bahasa jiwa kita ini tidak kemana-manapun hasratnya bahkan mungkin tidak kesampaian. Hasilnya jadilah kita manusia yang mengenal Tuhannya dalam istilah yang gitu-gitu saja.

Saya telah membaca buku dari seberang, Catatan Harian Ahmad Wahib dan isinya sangat bagus sekali. Bahasanya pun indah, catatannya sangat jujur dan terbuka dalam beliau mempersoalkan tentang agama islam dan hukumnya. Di sini saya tidak jumpa lagi bahan-bahan yang rebel sebegitu. Membelek buku-buku keluaran orang kita, isinya bolak balik di situ juga, bila masanya kita akan ke sana?

Saya suka juga membaca buku-buku sastera Suhaimi Hj Muhammad atau Kemala(Datuk) seperti sajak ‘Ayn’namun isinya bagi saya hanya mengagungkan tinggi ilmu Tuhannya, nak kata seperti karya Iqbal tidak juga, Hamzah Fansuri jauh sekali. Kita masih suka duduk di alam angan-angan, mungkin. Kita tidak pernah bebas berbicara atau bebas terbang ke mana-mana kita suka. Oleh itu untuk apa kita di sini? Sekadar memuji dan memuja kehebatanNya tanpa kita mengenal dalam istilah yang lebih praktikal dan tidak ada elemen kepura-puraan.

Saya percaya pada wujudNya tanpa sebarang penafian. Untuk itu atas dasar kecintaan yang peratusnya mungkin hanya setakat yang saya mampu, saya mencariNya sehingga ke dalam diri. Selebihnya ia hanyalah sekadar permulaan cuma, kerana kita di sini bagi saya atau bagiNya juga sepatutnya lebih diajar untuk saling menghormati alam dan kejadian ini sejujurnya.

Hasilnya apabila saya melihat segala kejadian alam ini ianya tidak lebih hanya sekadar ujian dan mimpi kosong yang tidak membawa kita ke mana-manapun. Saya bersetuju juga dengan cerita-cerita dunia hari ini, malah tidak menafikan segala macam rentak dan tari, nafsu dan nafsi kerana kita memang sedang menari di pentas dunia ini mengikut rentak yang kita faham. Mereka bercerita tentang politik, saya turut merai dan memerhati sekadar yang termampu, cuma untuk di letak ke dalam folder akal saya tidaklah rasanya, namanya pun permainan jadi apa yang kita boleh expect sangatpun. Mereka bercerita tentang hukum agama dalam bentuk keseragaman yang formal, pun saya turut bersetuju walau nilai kejujurannya kita sendiri mampu menterjemahkannya, mungkin juga kerana kita ini lebih di didik untuk menilai rupa dan harta.

Entahlah, marilah kita terus membaca dan mengenal..yang mana kaca yang mana permata…

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.