Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

IWAN FALS SUDAH MATI ( BERSAMA SOEHARTO)

0 comments

Baru-baru ini saya telah berjumpa dan berlabun dengan seorang kawan lama, Zunar si kartunis terkenal itu. Saya kenal Zunar sejak hujung tahun 1987 lagi kalau tak silap. Waktu itu beliau bekerja di syarikat majalah Gila-Gila. Zunar waktu itu dari segi ‘attitude’nya kawan-kawan sudah mengenalinya sebagai individu yang rebel dan berpegang kepada falsafah hidupnya yang tersendiri.

Saya pula lebih gemar bertukar-tukar pandangan dengan beliau tentang muzik dan falsafah. Dan kami juga penggemar muzik folk Indonesia seperti Iwan Fals, Doel Sumbang, Gombloh, Franky Sahilatua dan Ebiet antaranya.

Saya bertanya pendapat beliau tentang Iwan Fals hari ini. Katanya, “ Iwan Fals sudah mati bersama Soeharto”. Katanya lagi tidak sepatutnya Fals hari ini terlalu merendahkan level ‘ikon’nya dengan menyanyikan lagu-lagu cinta yang sama tarafnya dengan penyanyi pop Rano Karno.

Tambahnya lagi album Iwan Fals in Love ( 2005 ) dan 50:50 (2007) melengkapkan kegagalan seorang pengkarya bernama Iwan Fals yang akhirnya cair dengan kehendak pasaran muzik Indonesia yang semakin tidak punya nilai artistiknya hari ini.

Menjenguk ke belakang, saya mula tertarik dengan Fals tatkala terbaca kisahnya dalam keratan kecil di majalah URTV awal tahun 80an dulu. Tertarik kerana kata-katanya yang masih saya ingat “ biasa-biasa saja dong! Nanti mati pun jadi tanah juga”, dan beberapa tahun kemudiannya apabila berhijrah ke Kuala Lumpur saya mula mengikuti perkembangan dan album-albumnya secara serius.

Fals atau nama sebenarnya Virgiawan Listanto, lahir pada 3hb September 1961 di Jakarta merupakan ikon muzik Indonesia yang bertaraf legenda dan punya pengaruh yang kuat terhadap anak-anak muda dari zaman awalnya sehinggalah ke hari ini.

Di negara kita ini Fals tidaklah sepopular Ebiet G.Ade yang meletup di awal tahun 80an dengan lagu Camellia 2 dan Berita Kepada Kawan. Tidak ramai penggemar beliau atau mungkin buruh kontrak yang bekerja di sini juga kebanyakannya bukanlah peminat Iwan Fals.

Mereka lebih suka mendengar muzik dangdut semasa atau yang terbaru penyanyi cilik Tegar yang meletup namanya di Indonesia termasuklah di Malaysia.

Penggemar muzik Fals hanyalah di kalangan kita yang mengikuti perkembangan muzik dan alirannya secara serius.

Banyak sangat albumnya yang saya beli dulu tapi yang paling berkesan bagi saya album ‘ Mata Dewa ( 1989 )’, ‘Cikal ( 1991 )’, ‘Belum ada Judul( 1992 )’ dan ‘Anak Wayang ( 1994 )’.

Kolobrasi Fals yang paling menjadi bagi saya sewaktu berganding dengan seorang lagi penyanyi folk unik Sawong Jabo dalam album Anak Wayang. Dari segi senikata dan bahasa, saya lebih tertarik pada kata-kata yang ditulis oleh Jabo berbanding Fals.

Sewaktu album projek band Swami ( 1989 ) dan Kantatatakwa ( 1990 ) diterbitkan penerbit jutawan Setiawan Jodi membabitkan Rendra, Jabo, Setiawan dan beberapa nama lagi, saya beli juga album-album mereka itu tapi itu bagi saya tidaklah menyengat sangat walau Swami meletup dengan lagu Bento dan Bongkar.

Kata Zunar, “ dulu Fals pun menyanyikan lagu-lagu cinta juga, tapi lirik-liriknya bijak dan rugged seperti lagu ‘22 Januari’ ‘Sebelum Kau Bosan’, ‘Buku Ini Aku Pinjam’ ‘ Antara Aku, Kau dan Bekas Pacarmu’ antaranya, tapi selepas album Mata Dewa lagu-lagu cintanya tidak punya value dan macam level budak sekolah menengah”.

saya bersetuju dengan pendapat beliau itu. Memang Fals yang dulu bukanlah yang sekarang. Perjalanannya dari seorang pejuang yang rebel dalam seni dan reformasi atau dari era tidak konvensional menuju ke era konvensional dan hari ini beliau hanya menjadi pujaan anak-anak muda yang sangat mengkaguminya walau beliau sudah tidak punya apa cerita untuk diperjuangkan.

Bagi saya yang paling nyata dan drastik tentang perubahan ‘attitude’ Fals pertamanya apabila anak sulungnya Galang Rambu Anarki meninggal dunia pada tahun 1997 dan bila era Soeharto berakhir pada pertengahan tahun 1998.

Kesan kematian anaknya Galang begitu menusuk ke jiwa Fals sehingga beliau mengambil keputusan untuk berehat sehingga tahun 2002 apabila muncul dengan album Suara Hati ( 2002 ).

Berbanding antara semua penyanyi folk yang hebat seperti Franky, Ebiet, Gombloh, Doel, Sawung Jabo mahu pun Leo Kristi, kalau dari segi popularitinya Iwan Fals paling berjaya dan sukses. Franky dan Gombloh sudah meninggal.

Ebiet pula semakin menyepi dari segi karya melainkan hanya menyanyikan lagu-lagu lamanya dan lagu-lagu selepas album Camellia 4 nya tidaklah menyengat sangat. Doel pula terus hanyut dalam dunia Jaipang dangdutnya yang basa-basi itu.

Jadi hanya Fals yang paling berjaya dan namanya terus hidup sehingga gambar dan ceritanya terpampang dalam majalah Rolling Stones versi Indonesia edisi Mei 2007.

Saya mungkin memahami kehendak dan fitrah alam memang begitu ceritanya. Semua penyanyi yang saya kagum dulu sebenarnya hanya bagus di waktu dan saat itu. Waktu di mana segalanya bermula dari kosong. Di mana segalanya dibentuk mengikut apa kata hati tanpa punya kepentingan yang besar.

Apabila terbentuknya acuan dari kehendak dan pembawaan biasanya mereka akan bermukim di situ untuk suatu tempoh apatah lagi jika gaya dan acuan mereka diterima khalayak. Pun di waktu itu mereka mungkin bujang trang tang tang dan tidak punya komitmen yang besar dalam hidup.

Itulah musim yang pernah dilalui oleh artis-artis seperti Ebiet, Fals, M.Nasir juga Sohaimi Mior Hassan. Musim yang terbaik hanya akan datang sekali di dalam hidup. Apabila kita telah melewatinya seiring usia yang semakin menginjak ke depan, kehendak jiwa yang lebih mengimpikan suasana yang redup dan damai akan membawa kita ke wilayah itu tanpa kita minta. Takdir membawa kita ke mana saja yang disukaiNya.

Hari ini saya tidak mengharapkan apa-apa karya pun dari seorang pengkarya bernama Iwan Fals. Album terakhirnya yang saya miliki itulah 50:50 .Segalanya sudah tertulis untuknya, juga untuk kita memilih siapa yang kita suka atau tidak. Apa pun saya masih mendengar lagu-lagu lama Iwan Fals sehingga ke hari ini.

Artikel ini telah disiarkan di portal Malaymailonline

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.