Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

JEREBU, MUZIK DAN PENCEMARAN

0 comments

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan masalah jerebu yang datang dari Indonesia. Memang teruk kali ini bahananya. Bacaan Indeks Pencemaran Udara ( IPU ) mencecah bacaan sehingga 487 di Pelabuhan Klang . Bayangkan jika bacaan 100 pun sudah dikira bahaya. Sebelum ini sering juga negara kita dilanda jerebu yang datangnya dari negara jiran juga, tapi tidaklah seteruk ini.

Sebagai seorang warga Malaysia yang sempat melalui hari-hari yang menyeronokkan bersama jerebu di Kuala Lumpur, saya juga menggunakan topeng muka tatkala bermotosikal ke Kota untuk bekerja. Kesan jerebu membuatkan kepala kita pening dan tidak selesa bernafas.

Seorang kawan saya yang tinggal di Pelabuhan Klang menghadapi detik sukar dalam menangani masalah jerebu berhari-hari lamanya. Asap masuk sampai ke dalam rumah sehingga sukar untuk bernafas.

Bagi saya segala yang berlaku ini berpunca dari sikap kita sendiri, umat manusia yang semakin renggang perhubungan mereka dengan alam.

Saya lebih suka menilai setiap musibah yang berlaku ini dari sudut fitrahnya perhubungan antara kita dengan alam.

Kata-kata penyanyi folk Indonesia Ebiet G.Ade dalam lagunya ‘ Berita Kepada Kawan’ itu memang benar:

‘Mungkin Tuhan mulai bosan, melihat tingkah kita…
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa,
Atau alam mulai enggan, bersahabat dengan kita
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang’
Berita Kepada Kawan ( Ebiet G.Ade )

Atau kalau kita mahu yang lebih keras, sila dengan lagu Isi Rimba Tak Ada Tempat Berpijak Lagi dendangan Iwan Fals, juga penyanyi folk kelahiran Indonesia..

Bila kita dengar balik album solo Zainal Abidin ( 1991 ), yang meletup di pasaran waktu itu dengan lagu Hijau, kita perlu bermuhasabah kerana segala yang datang ini semuanya berpunca dari kita juga. Liriknya yang bercerita tentang alam dan pencemaran mengkritik secara halus dan lebih berhemah.

Album Zainal Abidin ( 1991), Gamal ( 1993 ) dan Terang…Sang ( 1995 ) adalah antara album yang paling bagus dan berkualiti yang pernah dihasilkan dalam sejarah muzik di Malaysia.

Roslan Aziz selaku penerbit telah menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang untuk album Zainal ( 1991 ) dan Gamal ( 1993 ). Terbaik kerana susunan muzik, tema alam dan kemanusiaan, kualiti rakaman dan bercirikan World Music. Dan yang lebih menarik konsep muzik dalam album tersebut berjaya mencetus fenomena di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Lagu sepatutnya bukan hanya untuk didengar untuk halwa telinga tapi bermanfaat jika kita mendengar akan bait-bait dan mesej yang tersurat juga tersirat untuk buat kita berfikir dan lebih bagus jika kita peka dalam menjalani proses hidup ini dengan lebih dewasa dan matang. Kita adalah sebahagian dari makhluk di dunia, harus kita mengambil berat tentang isi bumi yang kita pijak ini.

Perhubungan kita dengan alam sudah lama renggang. Hutan-hutan habis kita tarah, demi pembangunan. Sungai-sungai habis kita kambus, demi pembangunan. Bukit-bukit habis kita ratakan, pun demi pembangunan.

Kita perlukan pembangunan tapi jika segalanya habis ditebang, apa yang akan tinggal lagi? Sebab itu bila hujan turun dengan lebat dan mengakibatkan pokok tumbang, itu kita kata bencana alam. Macamana alam nak berkawan dengan kita lagi kalau kita manusia ini terlalu berkepentingan untuk kepentingan atas nama pembangunan saja ?

Sudahnya bila terjadi jerebu hasil pembakaran hutan dan ladang di kepulauan Riau, Indonesia sana, kita jadi kelam-kabut. Sana-sini topeng muka laris dan kita semakin prihatin tentang kesihatan. Semua orang kalau boleh tidak mahu sakit disebabkan jerebu.

Bagi perokok tegar pula asap masuk luar dan dalam. Saya pun tak tahu nak terangkan macamana lagi. Bayangkan kita sedup asap rokok berserta asap jerebu. Asap rokok itu kuranglah pening, tapi asap jerebu memang akan mengakibatkan kita pening dan tidak selesa.

Saya pernah bekerja sebagai Pemeriksa Menara Telekomunikasi di Perak pada tahun 2006-2009. Tugas saya adalah memeriksa setiap menara atau pencawang telekomunikasi milik TELCO ( Syarikat telekomunikasi seperti DIGI, Celcom dan Maxis ) yang terdapat di Perak.

Dan saya pernah ke Bukit Larut yang terletak di Taiping atas urusan kerja waktu itu. untuk ke Bukit Larut kita perlu menaiki Land-Rover yang disediakan PejabatTaman Peranginan Bukit Larut. Jadi saya dan seorang rakan kerja pun naiklah Land Rover tersebut yang dipandu seprang pekerja usia 50an berbangsa India yang sudah 20 tahun bekerja turun naik bukit itu tanpa rasa bosan.

Apabila saya sampai ke atas, udaranya memang segar. Oksigen memang menyamankan, sangat berbeza dengan debu kota yang mencacatkan segalanya. Bukit Larut merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia.

Berbual dengan pemandu yang namanya Muthu itu, katanya kalau boleh dia mahu tinggal di atas Bukit Larut itu kerana udaranya yang asli, segar dan tidak tercemar. Kita boleh lihat pohon-pohon subur dan hijau di sekeliling kita.

Kembali ke alam nyata, kita terpaksa berhadapan dengan asap yang kotor setiap hari, di sana sini para pekerja asing sibuk menyiapkan bangunan-bangunan tinggi yang tak tahu bila akan siap, mungkin 100 tahun lagi pun tidak akan siap. Siap yang ini, bina pula yang lain. Kita pula semakin bersesak manakala segala hutan dan pokok habis ditebang demi menyuburkan kantung para pemaju yang siang malam asyik mengira untung dan rugi sebagai orang bisnis.

** KOLEKSI ARTIKEL MLAYMAIL ONLINE

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.