Notes:
Jumaat yang redup
Jumaat adalah hari yang redup, walau cuaca panas. Dalaman kita perlu redup selalu.
Beberapa hari ini saya masih terkenangkan sahabat saya, arwah Amirul Fakir yang telah meninggal dunia minggu lepas. Walau jauh tapi arwah selalu ada dalam ingatan. Saya yakin rohnya akan tenang di sana, disisiNya selalu.
Sejak saya berhijrah semula ke kota, kami tidak pernah berjumpa. Saya pun masih kelam-kabut dalam menguruskan hal-hal yang melibatkan duniawi. Faktor kewangan dan kemudahan juga satu hal. Apapun inilah kehidupan.
Kawan-kawan datang dan pergi. Inilah kenyataan hidup.
Kawan saya pernah berkata, ‘kemiskinan menjurus kepada kekufuran’. Saya simpan kata-katanya itu. Saya masih merasakan yang kemiskinan adalah subjek yang subjektif untuk kita tafsirkan. Cuma saya bersetuju jika kita kurang berduit atau tidak mampu banyak benda yang kita tak boleh buat.
Contohnya jika kita ni dah berkeluarga. Nak melawat ibu yang uzur di kampung eloklah ada kenderaan. Nak bawak anak bini pun susah. Nak melawat kawan yang uzur pun payah. Kita masih bergelut mencari nafkah di kota yang keras ini untuk menyara kehidupan.
Hari ini semuanya duit. Tak ada duit memang susah. Ada juga benda yang tidak boleh dibeli dengan duit, contohnya persahabatan dan kepercayaan.
Kawan saya yang dah pencen sebagai seorang tentera sudah relax banyak. Tiap-tiap bulan ada pencen, ada rumah sendiri, ada kereta besar. Dia mampu keluar dari garis kemiskinan untuk duduk di level pertengahan atau middle class. Saya ni masih kelam-kabut mencari nafkah, berkejar sana-sini. Ha ha ha
Apapun kita manusia ni wajib bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki. Saya masih punya keluarga yang saya sayang, isteri dan anak-anak. Mereka ada di depan mata, berlegar-legar mengusik dan bermain dengan saya. Kebahagiaan yang saya miliki ini lebih bermakna dari segala harta yang ada di muka-bumi ini.
Cuma itulah, kita buatlah apa yang patut untuk memajukan kesejahteraan hidup kita. Insyaallah














