Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

JURANG

0 comments

Hari ini saya membaca berita di dalam sebuah tabloid harian perihal seorang pemuda di Kuala Terengganu yang didapati bersalah kerana mencuri sebuah kerusi yang berharga rm 30 milik seorang peniaga ikan air tawar. Pemuda tersebut dihukum penjara selama 1 minggu dan denda rm 200. Alasannya mencuri kerana terlalu lapar dan tidak punya wang untuk membeli makanan.

Bagi saya harga sebuah kerusi itu rm 30, pun kalau dijual harganya tidak akan sampai rm 5. Apalah salah yang empunya kerusi itu bersifat ihsan sedikit antara sesama terutamanya kepada golongan yang tidak berkemampuan. Sudahlah pemuda itu miskin malah dihina pula. Si peniaga pula orang yang berniaga, berhubung dengan masyarakat setiap waktu. Rezeki pula mungkin lebih malah mungkin juga berlebihan. Kalau nak diikutkan permainan emosi yang juga sahabat nombor 1 kepada iblis, memanglah kalau boleh kita akan meluahkan kemarahan kita semaksimumnya kerana kita dipihak yang benar dan Tuhan akan bersetuju dengan kita kerana kita seorang peniaga juga kita seorang muslim, malangnya jiwa kita sangat miskin dalam hal ehwal kemanusiaan. Saya tidak rasa Tuhan akan suka kita jika kita seorang manusia yang tamak dan penuh amarah, itu sebab Dia tidak singgah ke situ, ke lubuk jiwa orang beriman dalam ertikata yang sebenarnya.

Rezeki kita datang dariNya dan bila-bila masa dia boleh ambil mengikut putaran nasib kita di dunia ini. Qada dan Qadar itu ternyata benar untuk kita nafikan. Usaha itu perjalanan dari titik menuju ke titik seterusnya. Oleh itu adalah bagus jika di dalam satu-satu hal yang tegang, kita bersifat rasional dan tanamkan nilai insan di dalam diri kita. Barulah jiwa kita akan berasa tenang dan dapat menerima perjalanan dan takdir kita dari masa ke semasa.

Miskin kaya itu ujian untuk kita. Ingatlah, ia hanya sekadar ujian semata. Kerana kehidupan ini tidaklah semudah yang kita rencanakan dan kenyataannya, dunia ini memang tidak pernah adil untuk penghuninya. Saban hari saya bernyanyi di KL Sentral, saya akan melihat seorang pakcik berbangsa Cina akan berjalan dengan anaknya yang OKU di setiap penjuru sudut di bangunan tersebut. Entah apa yang mereka cari saya pun tidak pasti. Yang saya pasti saya melihat itulah rutin yang akan mereka lakukan dan ternyata mereka bahagia dengan apa yang mereka buat. Simpati hanyalah sebuah nilai perasaan bagi kita yang masih punya nilai kemanusiaan dalam diri. Pun mereka itu bagi saya lebih baik dan mulia daripada golongan manusia yang kurang nilai kemanusiaannya.

Kita manusia bercerita dengan manusia. Kita berhubung dengan manusia. Si miskin itu lahirnya ke dunia tetap sebagai manusia dan ianya tajuk yang mulia kerana dia tetap sebahagian dari kejadian. Mulia kerana dia juga sama seperti si kaya ditiupkan rohNya untuk bersatu dengan jasad maka bernyawalah kita dengan ihsannya dapat menyedut udara di dunia yang semakin penuh dengan asap dan jerebu ini.

Dan itulah salah satu sebabnya betapa penting muzik-muzik yang bertemakan kemanusiaan untuk mendidik jiwa kita dalam menempuh kehidupan yang tak pernah kita duga ini. Oleh itu kurangkanlah menonton program hiburan yang nyata terlalu menyilaukan mata dan akal…

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.