Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

Kalau saya ada rm 40 juta? Ha ha ha

0 comments

Saya tak boleh bayangkan kalaulah saya ada rm 40 juta dalam poket. Saya rasa eloklah Tuhan putuskan wayar dalam saya, sebelum jiwa rasa rosak binasa dek kerana terlalu cintakan harta dunia jika saya duduk dalam level yang seperti itu.

Saya tak faham mengapa kita masih merasakan duit dan harta adalah jawapan untuk cerita suka-duka kita untuk hidup di dunia ini. Mengapa kita terlalu mengagungkan sangat ringgit. Ada rm 40 juta, nak tambah lagi. Kemana sudahnya tu?

Dari kulit hitam kita cerahkan menjadi putih, dari kedut kita adjust hingga jadi kejang dan berseri. Selepas itu? Akhirnya demi untuk sebuah kepuasan kita sanggup membeli ‘roh’ jika ianya sudah menjadi barang dagangan yang boleh dijual beli. Next? Kita pun cuba mengambil alih semua kerja Tuhan pencipta alam. Apa bezanya kita dengan Firaun kalau begitu?

Saya bayangkan anak saya, saya belikan dia robot yang berharga rm 3, lepas itu dia nak upgrade ke rm 20. Sudahnya bila dia nampak yang lagi mahal beratus-ratus harganya dia akan menuju ke situ. Dia tidak akan pernah puas sampailah klimaksnya kita belikan robot setinggi bangunan sebiji macam dalam filem Transformers. Ha ha ha

Kita bersetuju dengan subjek nafsu serakah kerana biasanya itulah sikap kita manusia. Jiwa kita kehendaknya sangat minimum sebenarnya bahkan tidak langsung berkehendak akan hal dan cerita-cerita dunia yang melalaikan. Mengapa tidak kita cuba mendekati kehendak jiwa itu sendiri? Sebab mungkin cerita jiwa itu tidak hensem dan glamour atau tidak ada ciri-ciri kebendaan untuk kita banggakan? Ha ha ha

Kenyataannya semakin kita kaya, semakin kita jauh daripada fitrah alam itu sendiri. Semakin kita kaya, kita cuba untuk membeli segalanya yang ada di mukabumi ini hatta nilai ibadah kitapun kita niagakan untuk mendatangkan keuntungan dan keyakinan pada nafsu. Kita cuba untuk meyakinkan Tuhan yang walaupun kita ini kaya, kita tetap ingat dia. Adakah itu nawaitu sebenar kita? Kita mungkin terlalu mengharapkan yang baik-baik belaka sebenarnya, sudahnya mungkin kita akan sedar itu bukanlah cara yang terbaik untuk mengenal sesuatu yang kita bayang dan agungkan.

Saya serahkan pada angin lalu tentang semua persoalan dan jawapan. Cuma bagi saya, gilakan harta dunia, ringgit atau kuasa ni memang satu penyakit yang tidak ada ubat yang boleh dibeli di kedai ubat melainkan kita didik jiwa kita dengan cerita-cerita yang serba sederhana.

Kalau kita kaya dan kaya lagi, mungkin kita akan takut untuk hilang apa yang sedang kita miliki. Kita cuba untuk tambah lagi nilai kekayaan, sudahnya umur kitapun semakin tua, semakin tua automatiknya segala nikmatpun semakin berkuranglah. Sedarlah kita waktu itu bahawa harta yang banyak bukanlah satu pencapaian yang boleh dibangga atau dipersembahkan kepada pencipta melainkan ianya hanya untuk kepuasan nafsu kita semata.

Saya berdoa semoga saya akan mati dalam level yang paling minimum dari segi kehendak dan angan-angan di mana waktu itu saya telah bersedia untuk melepaskan segala apa nikmat yang dipinjamkan untuk saya selama menjadi khalifah di mukabumi ini. Inysaallah

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.