Notes:
Kawan ayah saya banyak
Saya ketawa sakan bila membaca karangan peperiksaan bulanan anak saya, Aqeef yang umurnya 9 tahun. Judul karangannya, ‘ Ayah saya.’
Ayah saya
Nama ayah saya Meor Yusof Aziddin. Dia selalu bagi saya duit. Ayah saya baik. Saya sayang ayah saya. Ayah saya kerjanya penyanyi. Ayah saya suka main gitar. Kawan ayah banyak. Ayah saya suka main emel. Ayah saya suka emel di internet. Ayah saya dilahirkan di Negeri Sembilan. Ayah saya suka warna kelabu..Ayah saya suka main badminton.
Itulah antara karangan anak saya ni, macamana dia boleh tulis saya dilahirkan di Negeri Sembilan pun saya tak tahulah, warna kegemaran saya pulak ditulisnya kelabu dan saya ni tak pernah main badminton pun..ha ha ha. Apapun tulisannya naif, dunia kanak-kanak sebahagiannya adalah imaginasi, fantasi dan kreativiti.
Apapun anak-anak saya sangat faham akan kerjaya saya sebelum ini dan mereka berbangga punya seorang bapa seperti saya walaupun kami hidup dalam dalam sebuah keluarga yang sederhana. Saya bersyukur untuk itu.
Saya juga bersyukur kerana membesar di kalangan kawan-kawan yang memahami. Di mana-mana saya pergi saya akan berjumpa dengan kawan-kawan yang memahami dan menghormati nilai sebuah persahabatan.
Mereka adalah wakil Yang Tuhan turunkan untuk saya.
Saya masih ingat sewaktu saya dicekup polis dalam satu operasi kerana disuspek penagih dadah, kawan-kawanlah yang membuat kutipan wang untuk menjamin saya keluar dari lokap. Duit jaminan waktu itu rm 1300 berjaya di kumpulkan.
Mereka memang rugged tapi berhati mula dan faham akan makna persahabatan. Saya akan ingat sampai mati moment itu dan betapa pentingnya kawan-kawan bagi diri saya dan keluarga.
Jadi walaupun hidup saya serba kekurangan dulu, saya yakin saya dan keluarga tidak akan mati kelaparan kerana pertolongan dari Tuhan itu selalu datang dari pelbagai bentuk dan cara.
Dalam berkawan, kadang-kadang saya juga banyak tersasul dan adamasanya provokatif tak kena pada tempat. Itu memanglah kekurangan diri saya dan saya akuilah saya bukanlah sempurna macam malaikat. Apapun dalam berkawan ni kita kena terimalah kekurangan atau kelebihan kita seadanya, yang penting ada rasa respek dan percaya antara sesama kita. Itu paling penting dalam persahabatan.
Jadi berkawanlah mengikut kesesuaian dan keserasian kita. Bukannya rugipun, cuma carilah kawan yang faham ertinya kawan.
Kembara-kawan
Alangkah perlunya mencari kawan
mungkin kau tak menduga
Kawan yang mengerti ertinya kawan
Jujur hati dan setia
Cubalah hidup sendiri
mungkin kau kan mengerti
Hargailah duhai insan
kehadirannya seorang kawan
oh jagalah kau hatinya
agar ia hormati dirimu(agar hidupmu tak kekosongan)
kau akan hidup bahagia
Alangkah perlunya mencari kawan
sudahkah kau menduga
Kawan yang membawa kita bersama
ke jalan kebenaran
cubalah hidup sendiri
mungkin kau kan mengerti.














