Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

KISAH HO VAN THANH DAN SEEKOR BABI HUTAN

0 comments

Membaca berita tentang kisah warga Vietnam yang juga seorang bapa, Ho Van Thanh ( 82 tahun ) dan anaknya, Ho Van Lang( 41 tahun) yang baru-baru ini ditemui di dalam hutan tebal Vietnam selepas 40 tahun menyembunyi dan melarikankan diri dari kekejaman perang dan tamadun memang membuat saya termenung dan berfikir.

Banyak yang saya fikir dan bayangkan tentang tentang nasib dan perjalanan hidup mereka berdua, bagaimana mereka mengharungi kehidupan dalam hutan yang tebal itu ? Betapa kecewanya si bapa dengan takdir yang telah menimpa mereka sehingga sanggup lari dari dunia yang nyata. Dan dengan takdir Tuhan juga, mereka masih terus hidup sehingga ke hari ini…

40 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Tahun 1973, Anaknya Lang waktu hanya berumur 2 tahun sewaktu rumahnya dibom tentera Amerika yang bersekutu dengan Vietnam Selatan dalam perang Vietnam , bahkan isteri serta dua orang anaknya juga turut terbunuh waktu itu.

Kisah mereka anak beranak ini terus mengingatkan saya tentang perang dan kesannya. Perang Vietnam adalah antara perkara paling bodoh dan kejam yang telah Amerika lakukan dan yang paling menarik, secara maruah dan tidak langsungnya, mereka kalah dalam peperangan itu.

Peperangan yang berlangsung dari tahun 1957 hingga ke tahun 1975 itu tidak membawa apa-apa makna dan untung kepada Amerika, bahkan aib yang mereka terima. Vietnam utara bergaduh dengan Vietnam selatan. Vietnam Utara disokong Kesatuan Soviet dan Cina. Vietnam Selatan pula disokong Amerika. Amerika matlamat mereka jelas, demi sumber asli getah dan bijih.

Sebelumnya Vietnam dijajah oleh negeri Cina sejak tahun 110 SM sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 938. Abad ke-19 Perancis pula ambil alih. Kita melihat kuasa-kuasa besar luar seperti Perancis, Jepun, Cina, Amerika berebut-rebut untuk mendapatkan Vietnam kerana hasil bumi yang saya sebutkan tadi.

Maka Utara dan Selatan pun bergaduh, yang jadi mangsa rakyat jelata. Ho Van Thanh yang waktu itu menyokong perjuangan Vietnam Utara yang berfahaman Komunis yang dipimpin oleh Ho Chin Minh itu adalah salah seorang mangsa kekejaman perang yang kesannya ditanggung sehingga ke akhir hayat. Akhirnya Vietnam Selatan mengaku kalah sepenuhnya.

Kesan kekecewaan itu jelas sehingga selama 40 tahun beliau sanggup tinggal di dalam hutan, membuang cerita dan nikmat kehidupan normal yang tidak adil, sekurang-kurangnya kepada mereka anak beranak.

Jelaslah di dalam hutan itu mereka masih dipelihara Tuhan, diberi kesempatan hidup untuk memberi pengajaran kepada kita-kita yang berkepentingan ini bahawa bahagia itu tetap ada di mana-mana hatta di dalam hutan sekali pun.

Tidak hairanlah anaknya Ho Van Lang yang hanya tahu bercakap sepatah dua perkataan itu masih rindukan hutan tebal tempat tinggalnya. Seakan dia mengerti tentang erti fitrah dan kejadian juga masalah yang amat untuk dia menjadi sebahagian dari masyarakat.

Manusia hidup berdasarkan kepentingan. Asasnya adalah keperluan. Makan, pakai, baju, seluar, kebersihan…segala-galanya adalah asas keperluan dalam hidup bermasyarakat. Dan semuanya memerlukan kos, bukannya percuma.

Tinggal di hutan tidak memerlukan kos atau belanja. Untuk menghilangkan lapar dan dahaga mereka punya sumber asli seperti air sungai yang masih suci dan tidak tercemar. Untuk makan, mereka bercucuk tanam dan menjadikan buah-buahan hutan sebagai makanan. Untuk pakaian pula, sekadar bercawat menutup apa yang perlu itu sudah mencukupi kerana tidak ada siapa pun akan mengintai dan menonton kehidupan mereka di dalam hutan tebal itu. Jadi keperluan dan kehendak mereka sangat minimum sebenarnya.

Cerita dari seorang pencerita, dulu kala ada seorang manusia yang tinggi darjatnya disisi masyarakat, yang kaya-raya tapi banyak melakukan dosa dan silap dalam hidupnya. atas satu sumpahan maka dijadikanlah dia seekor babi hutan sebagai karma yang perlu ditebusnya.

Untuk menjadikannya hidup semula seperti manusia, maka dia perlu ditembak oleh manusia sehingga mati. Dan selepas itu si kaya itu akan kembali menjadi manusia baru yang suci tanpa dosa…

Makanya si kaya itu pun menjalanilah kehidupan sebagai seekor khinzir hutan. Sehingga akhirnya khinzir itu mendapat pasangan dan beranak-pinak hidup dalam aman dan bahagia sebagai makhluk Tuhan juga walau dihina kerana hodoh dan jijik.

Pada suatu hari datanglah seorang penembak mahu menembak babi itu. Tiba-tiba penembak itu terkejut mendengar rayuan babi itu yang katanya janganlah dia ditembak kerana dia sudah mendapat kebahagiaan hidup setelah menjadi babi dan tidak mahu menjadi manusia lagi…

Akhirnya penembak itu pun membatallah niatnya untuk menembak babi itu tadi…maka babi yang asalnya dari manusia itu pun hiduplah dengan aman dan bahagia bersama pasangan dan anak-anaknya.

Kuasa-kuasa besar kerja mereka hanya menjajah dan matlamat mereka jelas, yakni menghalalkan kejahatan dan kekejaman. Percaturannya ialah para soldadu dan rakyat jelata manakala pemimpin goyang kaki dikerusi empuk sambil bergelak ketawa menonton wayang gambar yang merekalah menjadi tok dalangnya.

Jelaslah juga cerita tentang keamanan dan kemanusiaan di dunia ini tidak punya sebarang pengertian dan simpati dari mereka yang punya kuasa dan berkuasa. Kuasa umpama Tuhan yang mampu melakukan apa saja. Negara kita dulu pun turut sama dijajah sejak sekian lama. Apa yang kita dapat lakukan ?

Berbalik kepada cerita si Thanh dan Lang dua beranak itu, kehidupan mereka sebenarnya sama seperti kehidupan warga asal pribumi yang mampu hidup tanpa bergantung pada denyut dan nadi kota yang bodoh dan sombong ini.

Kita di sini terlalu dimanjakan dengan segala elemen kebendaan dan bergantung sepenuhnya kepada kemudahan yang telah disediakan. Apabila bekalan air terputus selama beberapa hari, kita sangat risau dan resah seolah itu satu masalah yang besar pula. Apabila bekalan elektrik pula terputus, kelam-kabut kita ke kedai runcit mencari lilin seolah kegelapan itu musuh kita yang paling ditakuti.

Mungkin sudah sampai masanya kita kembali merenung tentang – ‘untuk apa kita di sini sebenarnya’?

KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.