Notes:
Kota pusat segala cerita
Kota ini kejam. Tidak ramah langsung. Kos sara hidup makin tinggi. Kadar sewa rumah sangat mahal. Sewaktu saya tinggal di Ipoh, kadar sewa sebuah rumah teres 3 bilik, 2 bilik air sewanya cuma rm 300. itu tahun 2007.
Di KL ni rumah apartment kos rendah tingkat 5 pun sewanya mencecah rm 500.
Saya mula tinggal di Kuala Lumpur sejak tahun 1985. Suatu waktu saya fed up dengan suasana dan persekitarannya. Pernah saya cuba untuk tinggal di kampung sewaktu proses rakaman album di studio Luncai tertangguh. Saya cuba buat perancangan untuk tinggal di kampung dan hanya akan ke kota jika ada aktiviti atau tawaran menyanyi.
Tapi itu semua tidak terjadi seperti yang saya rancang. Paling lama saya boleh tahan 2 bulan.
Di kampung suasananya nyaman, oksigennya segar cuma minda kita tidak berkembang. Saya perlukan kawan-kawan yang sealiran. Saya perlukan muzik dan yang paling penting semua aktiviti dan gedung ilmu berpusat di sana.
Apa pilihan yang saya ada waktu itu? Semua kawan sekampung sudah berhijrah dan bekerja di kota. Takkan saya nak bercampur dengan budak sekolah?
Dengan siapa saya nak berkongsi cerita mengenai muzik dan falsafahnya? Siapa yang kenal Jim Morrison, Dylan, Lennon, Cat Steven, The Jam, Pau Weller dan sebagainyalah. Apa yang saya suka bukan semua orang suka. Itulah kenyataannya.
Saya suka mengkaji agama waktu itu. Bukan agama islam saja, semua agama saya nak kaji kalau boleh. Saya sukakan cerita yang lain dari biasa. Yang biasa-biasa saja dalam buku pun banyak.
Di Pasar Seni semuanya ada. Orang gila muzik,gila itu, gila ini jadi saya yang gila ni merasakan dunia dan diri saya tidaklah sunyi sangat. Sekurangnya saya boleh berkongsi banyak hal dengan kawan-kawan yang sama aliran dan kefahaman.
Semakin lama saya di sini, saya untuk memahami kota dan isi ceritanya. Cuba untuk memahami adalah jalan atau solution yang paling baik. Lagipun apa pilihan yang kita ada? Kita bukannya orang yang berada. Boleh tinggal di mana-mana negara yang kita suka, bila-bila masa yang kita mahu.
Yang penting saya tidak keseorangan di sini. Selainnya, kita kena layan hidup ni brader! Ini yang kita pilih!
R.I.P Franky Sahilatua yang telah meninggal dunia pada 20 april 2011 pada usia 57 tahun.














