Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

M.NASIR YANG TERLUPA ASAL USULNYA-BAHAGIAN 2

0 comments

Pelbagai respon yang saya terima kesan tulisan tentang Datuk M.Nasir di keluaran yang lalu. Ada yang bersetuju dan ada juga yang mempersoalkan. Saya terima apa saja pandangan dengan hati yang terbuka.

Seperti yang saya bualkan dengan seorang sahabat yang juga peminat M.Nasir yang baginya M.Nasir tetap seorang insan yang hebat terutama dari segi muzik dan susunannya. Saya tidak mempersoalkan tentang itu. Yang saya persoalkan adalah tentang ‘roots’ dan susur galur muzik yang diperjuangkannya.

Apabila bercerita tentang ‘roots’ muzik, saya rasa itu penting untuk kita faham tentang hala dan genre yang kita bawakan.

Pertama kali ke studio Luncai Emas di awal tahun 90an dulu bergaul dan mengenal insan seni bernama M.Nasir sambil membelek-belek koleksi piring hitam artis-artis barat miliknya saya tahu kita punya citarasa yang sama dalam muzik dan kefahamannya.

Beliau juga membesar dengan lagu Dylan, Al Stewart, Beatles, Pink Floyd, Cat Steven, Earth Wind and Fire antaranya. Itu lah yang saya maksudkan dengan ‘roots’. Begitu juga tentang kefahamannya tentang hakikat dan kejiwaan.

Dan perkara paling penting bagi saya jika kita seorang singer-songwriter, bikinlah lagu untuk buat orang berfikir ! Itu satu tanggungjawab bagi seorang pengkarya bergantung pada tahap kefahaman mereka.

Jika Amy, Jamal atau Saleem itu tidak ada dalam fikiran saya pun sebab mereka bagi saya hanya duduk dalam genre komersial sejak dari awal karier, begitu juga Ramli Sarip, beliau seorang penyanyi rock, bukan folk singer song-writer.

Sudahnya sahabat saya itu menyatakan , “ M.Nasir sudah tua bro!”, dan kami pun ketawa di suatu petang yang nyaman itu.

Roger Waters pun sudah tua juga, pun masih maintan rugged. Sting pun begitu juga…Mengapa perlu menjadi ‘poyo’ jika kita sudah solid ?

Nusrat Fateh Ali Khan sehingga Akhir hayat kekal dengan idealisma dan apa yang diperjuangkannya sehingga dunia mengkaguminya.

Perjalanan yang paling menarik bagi seorang pengkarya adalah seperti yang John Lennon lakukan, dari konvensional kepada tidak konvensional.

Berbeza pula dengan M.Nasir yang mana perjalanan seninya dari tidak konvensional kepada konvensional.

Satu hal yang harus diakui juga ramai kenalan saya , mereka ini adalah peminat yang membesar dengan lagu-lagu M.Nasir. Di usia yang hampir mencecah separuh abad ini kami membicarakan tentang topik dan isu tersebut dalam ruang yang lebih matang dan terbuka.

Saya tidak punya apa kepentingan dalam menyuarakan pendapat dan saya tidak ada hal juga jika M.Nasir itu seorang jutawan hasil penat-lelahnya berjuang dalam dunia muzik dan industrinya, cuma seperti yang saya ralat, beliau seolah mengambus lorong yang telah beliau bina sejak awal berkarya dulu.

Pentingnya bukan untuk beliau, tapi generasi yang akan datang. Tapi apalah yang nak dikisahkannya sangat pun?

Saya akui M.Nasir adalah satu watak menarik dari spesis yang ‘rare’ untuk ditemui. Hebat kerana mampu melepasi ruang mainstream dan lagu-lagunya yang bermesej itu diterima ramai. Juga beliau tahu apa ramuan yang masyarakat Melayu suka .

Seperkara juga tentang pengetahuan beliau tentang hakikat, kefahaman dan sifat keterbukaannya. Banyak perkara yang saya setuju yang mana bagi saya jika kita boleh membezakan antara ilmu usul dan ilmu hukum, kita mampu bermuzakarah dalam ruang yang lebih terbuka dan bukan semua manusia akan faham tentang perkara itu.

Lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud yang diciptanya yang mana liriknya adalah pengaruh dari kitab Penyair dan ahli sufi Farid ud-Din Attar yang judulnya ‘The Conference of the Birds’ atau dalam versi Indonesianya ‘Musyawarah Burung’ adalah antara lagu komersial terbaik yang pernah diciptanya yang berjaya menembusi pasaran komersial sehingga menang Anugerah Juara Lagu tahun 1994.

Itulah klimaks pencapaiannya sebagai seorang penyanyi dan komposer.

The Conference of the Birds adalah karangan penyair dan pujangga kelahiran Persia Barat Farid ud-Din Attar atau nama sebenarnya Abu Hamid bin Abu Bakr Ibrahim ( lahir tahun 1120 dan meninggal pada tahun 1230 ) yang terhebat.

Hebat kerana pengisian dan gubahan bahasa yang indah serta jalan ceritanya yang berkisar tentang perjalanan nafsu dan diri kita sendiri sehinggalah ke titiknya, untuk sebuah permulaan dalam mengenal diri.

Saya salut M.Nasir kerana berjaya membuka minda dan mengenengahkan kepada masyarakat tentang perkara-perkara serius yang melibatkan kejiwaan.

Berbalik tentang hal komersial , Itu jugalah yang terjadi kepada penyanyi folk Indonesia Gombloh yang juga akur dengan kehendak mainstream di awal tahun 80an dulu. Beliau gagal mempertahankan idealismanya dalam berkarya.

Pun walaupun karyanya laku di pasaran komersial , Gombloh masih lagi hidup dengan watak bohemian dan menyatu dengan golongan marhaen dan gelandangan sehingga ke akhirnya. Masih rabak sehinga ke akhir hayatnya.

Begitu juga dengan Bob Dylan yang poyo dengan album Saved nya di tahun 80 dulu. Saya hanya mendengar Dylan melalui album pertamanya Bob Dylan ( 1962 ) sehingga album Street Legal ( 1978 ). Suaranya bila sudah semakin tua semakin sengau dan kurang dari segi intonasi. Memang tak sedap langsung!

M.Nasir juga dalam keadaan usianya yang semakin ke depan, dari segi suara dan intonasinya sudah tidak sama seperti di zaman Kembara dan album-album solonya yang terdahulu.

Tanpa Loloq, kata M.Nasir beliau telah patah sebelah sayapnya. Pun setiap manusia hadir ke dunia dalam bentuk dan acuannya yang tersendiri. Kerana kita juga akan pulang tanpa teman dan meninggalkan apa saja yang baharu sifatnya. Jadi bagi saya itu bukanlah penyebabnya.

Saya tidak akan bandingkan M.Nasir dengan seniman hebat dunia yang bernaung di bawah label ‘Real World’ milik Peter Gabriel seperti Nusrat Fateh ( Pakistan ) mahupun Salif Keita ( Mali ) atau dengan Iwan Fals sekalipun, tapi untuk negara kita yang serba-serbinya lemah gemalai ini, alangkah baiknya jika kita memiliki seorang ikon yang rugged, berilmu dan rebel seperti Bob Marley, Lennon, Bono antaranya.

Masyarakat kita sudah lama lemas dalam ayat-ayat cinta yang layu dan penuh rindu-dendam.

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.