Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

MAT SENTOL – SENIMAN YANG DIPINGGIRKAN

0 comments

Saya masih ingat sewaktu pertamakali bertemu dengan seorang lagenda yang masih hidup iaitu pelakon dan pengarah filem Melayu era 60an dan 70an, Mat Sentol pada awal tahun 2009 dulu. Waktu itu saya dan rakan-rakan sedang bersiap-siap untuk aktiviti busking di Pasar Seni.

Mat Sentol pula sedang melepak di satu sudut dengan seorang rakannya. Jadi saya sempatlah bergambar dengan beliau petang itu, juga berbual-bual sekejap. Waktu itu umur beliau dalam lingkungan 70an kalau tak silap saya.

Sempat beliau melawak yang katanya filem P.Ramlee cuma ada tiga siri seperti Do Re Mi atau Bujang Lapuk series tapi beliau punya lapan siri yang judul ada judul ‘Mat’ iaitu Mat Tiga Suku (1964) , Mat Raja Kapur ( 1967), Mat Bond(1967), Mat Lanun(1968), Mat Toyol(1969), Mat Karung Guni(1970), Mat Magic(1971), Mat Spy dan Mat Tenggek(1979)

Mat Sentol atau nama sebenarnya Mat Raship bin Yahya dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1933. Memulakan kariernya sebagai pelakon di Cathay Keris Film Production pada awal tahun 60an sebelum menjadi pengarah di Cathay Keris pada tahun 1964.

Pendedahan awal dn bakatnya sebagai pelakon digilap oleh pelakon A.R Tompel yang aktif dengan rombongan Sandiwara Khencana di tahun 50an dulu.

Kelebihan yang ada pada Mat Sentol adalah idea nya yang gila-gila dan mendahului zamannya. Teknik pengarahannya memang penuh dengan eksperimen yang kadang-kadang merapu dan tak masuk akal. Saya pun bukan faham sangat plot cerita yang beliau arahkan kerana ianyaberbelit-belit tetapi itulah magiknya filem-filem Mat Sentol.

Sebagai pengarah beliau seperti burung yang bebas singgah ke mana sudut yang disukainya. Dengan kemudahan teknologi yang sangat terhad pun beliau masih mampu berkesperimen, yang itu saya sangat salut!

Kebanyakan muzik dalam filem-filemnya berkonsepkan A Go Go yang agak kebaratan sesuai dengan trend muzik di zaman itu.

Seperkara dalam kebanyakan filemnya jika ada para pelakon Inggeris yang berlakon hanya diberi watak pembantu atau watak jahat sahaja berbeza dengan pandangan masyarakat kita waktu dulu dan kini yang biasanya terlalu menyanjung orang Inggeris.

Baru-baru ini saya ada terbaca di dalam sebuah akhbar harian tentang keluh-kesah dan nasib Mat Sentol yang merasakan dirinya sudah dipinggirkan oleh industri filem tanahair. Nasib orang lama selalunya begitulah, sering merasa terpinggir dan dipinggirkan.

Saya selalu merasakan bahawa nasib sering tidak menyebelahi golongan pelakon veteran khususnya walaupun mereka bertaraf ‘legend’. Salah satu sebabnya di waktu itu para pelakon kebanyakannya dibayar gaji bulan berserta insentif. Itu baik tetapi hanya bagus di waktu itu sahaja kerana apabila syarikat ditutup maka nasib para pelakon agak terumbang-ambing.

Itu yang berlaku pada syarikat pengeluar filem besar dulu seperti Studio Malay Film Production dan Cathay Keris Film Production. Jelas mereka seperti golongan buruh yang bekerja untuk mengkayakan lagi para towkay syarikat filem.

Itulah pentingnya jika ada royalti untuk para pelakon seperti yang dicadangkan oleh persatuan SENIMAN yang diterajui oleh p residennya, Zed Zaidi. Sekurang-kurangnya ada bekalan untuk hari tua mereka.

Di negara kita ini terlalu banyak persatuan yang wujud seperti KARYAWAN, SENIMAN dan PAPITA antaranya. Semuanya dalam misi dan visi yang sama, membantu golongan para pengkarya.

Sejauh mana ianya berkesan itu tidak dapatlah kita pastikan sangat melainkan yang saya pasti setiap persatuan itu biasanya ada peruntukan dan budget dari Kerajaan, maka gunakanlah ianya kearah kebaikan.

Selepas eranya sebagai pengarah filem semakin perlahan, Mat Sentol beralih pula ke bidang penerbitan dan menjadi pengarah iklan di awal tahun 80an dulu. Kita masih ingat iklan beliau yang terkenal untuk produk keropok, ‘Tora Datang Lagi’ yang mana iklannya memang berkesan untuk golongan kanak-kanak di zaman itu, termasuklah saya.

Mat Sentol pernah mendapat anugerah Karyawan Filem Veteran sewaktu berlangsungnya Festival Filem Malaysia ke – 14 yang diadakan di Ipoh, Perak pada tahun 1999 dulu.

Kita memang sering terlambat dalam banyak hal dan perkara namun sekurang-kurangnya jika ada keazaman untuk berubah ke satu arah yang lebih baik, itu sudah cukup bagus.

Dari segi idea, bagi saya tidak ada filem komedi Melayu hari ini yang rugged seperti filem-filem Mat Sentol. Untuk genre filem komedi, yang paling hebat dan meletup di pasaran mungkin filem Senario atau untuk zaman ini filem-filem kelakar seram yang berlambak di pasaran.

Saya pun tidaklah mengikuti sangat perkembangannya kerana biasanya pelakon komedi hari ini lahir dari program pertandingan lawak yang boleh kita tonton di kaca TV. Banyak program lawak yang boleh kita tonton hari ini kerana penerimaan masyarakat yang positif.

Cuma kebanyakan yang dihidangkan kepada kita adalah ramuan yang sama sahaja, tidak ada yang istimewanya.

Apabila pertama kali saya menonton pelakon lawak terkenal tanahair Saiful Apek, saya rasa beliau banyak terpengaruh dengan idea dan gaya Mat Sentol di awal kariernya dulu.

Dari zaman berzaman pelawak kita bertukar ganti bermula era 50an sehinggalah ke zaman ini. Hari Ini pelawak yang paling popular mungkin Zizan dan Johan atau Nabil? Program-program lawak pula sudah terlalu banyak yang kita boleh tonton di TV Astro khususnya.

Ianya hanyalah kesinambungan watak-watak yang datang dan pergi dalam hidup kita, namun selagi mereka itu masih hidup, lakukanlah sesuatu atau jenguk-jenguklah nasib mereka.

Bak kata pepatah, yang lama itu jangan dilupakan.

Koleksi artikel Malaysian Insider

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.