Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

Menghormati Suasana dan Persekitaran

0 comments

Menghormati suasana dan persekitaran mungkin perkara yang terbaik yang mampu kita lakukan jika kita berjaya menangani dan menghadapinya dalam makna yang nyata tika ini.

Sudah lama saya tidak membuat persembahan di hotel 5 bintang. Baru-baru ini saya dijemput oleh seorang pemuzik hebat orang lama untuk membuat persembahan bersamanya di sebuah hotel. Saya sebenarnya seorang yang gagal dalam bab-bab disiplin. Yang itu saya terpaksa akui, maknanya saya masih selesa dengan gaya dan cara juga ideologi saya. Pun dengan bakat yang saya ada sepatutnya melayakkan saya untuk berada di sana. Tapi itulah – 7 tahun lepas saya pernah di jemput untuk membuat persembahan di hotel. Saya lakukan itu kerana duit sebenarnya. Jadi setelah bersetuju saya dengan kawan pemuzik saya kami pun ke sana, hotel Mandarin Oriental. Disiplinnya cukup mudah, kita perlu kelihatan seperti orang kaya. Pakai tie, baju dan seluar hitam. Rambut mesti disisir rapi, sesempurna malaikat kalau boleh. Tapi itulah juga, saya datang dengan rambut panjang yang diikat, seluar jeans hitam dan baju hitam yang tidak bergosok. Hasilnya kawan yang memperkenalkan saya kena hentam dengan bos sebab menjemput saya dan kawan saya pun hentam saya secukupnya. Adakah cukup dengan sekadar maaf? Syaratnya mudah, kita dibayar untuk menghiburkan tetamu yang kelihatannya datang dari golongan elitis, jika kita bersetuju dengan syarat dan pekerjaan, kita perlu mengikut cara mereka. Kesannya sejak dari malam itu saya tidak pernah dijemput lagi, mungkin sudah di blacklist oleh mana-mana ejen. Ha ha ha

Sehinggalah saya dijemput semula untuk perform pada malam krismas lalu. Saya pun beli baju hitam baru, kasut baru, tie baru, memang kemas sehingga ejen yang datang menyapa saya dengan mesra. Ha ha ha..

Saya respek kawan pemuzik yang perform dengan saya. Saya kenal brader tu sudah lama, sejak saya bekerja di Yamaha muzik lagi. Dia sudah berusia, mungkin awal 60an tapi masih steady dan gayanya sangat professional walau dalam poket duit kosong. Duit kosong kerana itu yang dia beritahu saya, dah 4 bulan dia tak ada job selepas 2 tahun perform di hotel Hilton dengan pemuzik dari Cuba. Brader ni sewaktu dia mengikat kontrak di Hilton selalu dia datang ke KL Sentral dan menyapa saya yang saban hari busking di situ. Setiap kali dia datang diberinya saya gula-gula dan perkara terbaik dalam hidupnya dari apa yang dia beritahu saya dia sudah 6 bulan berhenti minum alkohol. Selalu juga dia jemput saya untuk perform dengan dia, tapi timing tak kena selalu, saya selalu ada komitmen lain sehinggalah malam krismas lalu.

Inilah masalahnya. Saya dibesarkan dengan lagu-lagu yang mengajak manusia berfikir, sehingga kita juga menjadi sebahagian daripadanya. Apabila kita membesar ego kita selalu mengatakan kita betul tanpa mempedulikan apa orang lain fikir. Dan saya akui juga saya lebih selesa busking dengan cara saya sendiri dari bermain di hotel walau dalam masa yang sama saya juga bersetuju dengan syaratnya secara perlahan-lahan. Kita dalam suatu masa bukan hanya perlu sekadar bijak tapi harus bijaksana dalam menangani suasana.

Hasilnya semua orang bergembira malam itu. Kita hiburkan mereka-mereka yang mahu menari dan buangkan persoalan dengan lagu-lagu yang mereka suka. Manager hotel puas hati, ejen juga puas hati, para pengunjung yang datang makan menari keriangan, apa lagi? Ha ha ha…

Kadang-kadang kita ini macam lilin, menerangi hidup orang lain dalam masa yang sama kita semakin terbakar. Tapi inilah juga harga yang perlu kita bayar untuk itu.

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.