Notes:
Musim peralihan
Saya sedang membiasakan diri dengan suasana dan musim yang baru. Keadaan di mana segalanya semakin berubah dan saya pun terpaksalah membiasakan diri dengan suasana dan keadaan di saat ini. Keadaan di mana sudah sebulan saya menghentikan tabiat minum teh tarik, digantikan dengan horlick kosong. Keadaan di mana sendi-sendi pun semakin banyak yang longgar. Keadaan di mana saya semakin banyak minum air masak.
Kekurangan adalah kelemahan namun ianya adalah kenyataan yang perlu kita hadapi. Kita tidak punya banyak pilihan selain belajar untuk menghadapi musim baru, suasana baru. Lama-kelamaan kita akan merasakan kita ini semakin keseorangan dan dari situ kita akan semakin bersedia untuk dilupakan. Yang penting kita sentiasa sedar yang kita sedang berjalan di landasan takdir yang kita lalui ini.
Semua manusia apabila sampai masanya akan melalui musim peralihan. Menghadapi kenyataan yang kita ini semakin berumur membuatkan saya bersetuju akan kebenaran makna sebuah perjalanan itu.
Siapa tahu dalam masa 10 tahun yang akan datang kalau masih ada nyawa, mungkin saya akan menjadi nyanyuk atau mengalami penyakit yang kronik yang boleh membawa mati. Atau mungkin saya masih segar bugar serta sihat walafiat di bawah lindungannya. wallahualam.
Kebaikan menelaah dan memahami dunia kefalsafahan ialah kita akan selalu berfikiran positif dalam diri dan kita akan kurang dilanda migrain. Dari situ akan lebih faham yang kita sedang mempraktkalkan makna sebuah kepercayaan dan kewujudan.
Ismi alam semakin mengelirukan seolah kita sedang dimarahi dan Tuhan tidak lagi menyayangi kita kerana semakin melupakannya. Kita sangat merasakan yang kita ini sangat berkuasa untuk mengubah alam dan persekitaran untuk menjadi begitu atau begini, namun apabila musibah melanda seperti tsunami di Jepun, sedarlah kita betapa kita ini hanyalah umpama semut yang sedang membina sebuah istana atau empayar kekuasaan yang gilang gemilang, yang bilamana hujan turun, habislah punah segalanya. Kita ini makhluk yang sangat kerdil. Semaksimum mana pun kejayaan atau kekuasaan yang kita miliki, ianya hanyalah seperti setitik air cuma di banding dengan sebuah lautan yang luas terbentang. Sepatutnya kita wajiblah bercermin merenung diri. Insyaallah.














