Notes:
Nafas hidup
Di jalanan ada banyak kisah. Saya suka memerhatikan gelagat manusia yang biasa-biasa kerana biasanya mereka realistik dalam mempraktikalkan makna hidup. Di kalangan mereka juga banyak yang suka berpura-pura juga. Itu kita boleh maafkan kerana mereka kebanyakannya naif dalam mentafsirkan makna hidup.
Sewaktu saya busking berbagailah gelagat manusia yang saya tonton. Ada yang suka bergaya lagak bagai artis pujaan mereka. Ada yang senget, tegak, lurus…semuanya ada dan semuanya jelas di depan mata. Bak kata kumpulan Alleycat dalam lagu mereka, ” kita tak perlu beli tiket atau bayar hutang, untuk menonton drama kehidupan”.
Itulah, kalau orang tanya berapa banyak collection yang saya pernah dapat sewaktu busking, saya kata yang paling banyak saya dapat rm 920. Ha ha ha..Itu sebab Malaikat sudah tolong saya hari itu. Paling sikit langsung tak dapat satu sen pun ada juga. Hari-hari busking bukanlah kita sambut dengan khabar yang indah sahaja. Kita tidak dapat mengagak percaturan hari dan adalah bagus jika kita buat kerja kita seadanya. Kalau ada, adalah… kalau tak ada hasil memang tak bestlah juga, tapi janganlah komplen pulak. Tak best sebab kita mencari rezeki dengan jalan itu. Kita bukan suka-suka cari pengalaman. Kita sedang mempraktikalkannya. Tapi itulah, jangan mengeluh sebab itu jalan yang kita pilih..
Saya suka mendengar guru agama saya bercerita tentang perjalanan hidupnya. Bermula dengan dunia persilatan, guru saya beralih menjadi ustaz mengubat orang sakit. Ujiannya sentiasa ada dan dia pernah bercerita kepada saya ujiannya memang menggugat iman kita. Baginya mengubat itu adalah satu tanggungjawab, bayaran atas dasar ikhlas semata. Tapi itulah, hari ini datang orang miskin meminta pertolongan, guru saya pun jalankanlah tanggungjawab seadanya walau tanpa bayaran. Hari berikutnya pula datang orang kaya berubat, maka dihulurkanlah sejumlah wang yang banyak. Diambilnya juga atas dasar ikhlas si pemberi. Untuk hari berikutnya pula, datanglah orang miskin.. Jadi orang miskin ni bukannya banyak duit sangat, bila mereka membayar dalam kadar yang sedikit yang termampu oleh mereka guru saya dah rasa lain macam..Ha ha ha…Jadi itulah ujiannya. Padahal apa kebolehan yang dimilikinya haruslah diguna ke jalan Allah. Selepas itu dia berhenti mengubat orang.
Apabila kita semakin mendalami ilmu tentang Tuhan, yang kita mahu adalah Tuhan, bukan selain dariNya. Ke’tuhan’an prosesnya dari ada ke tiada, dari punya apa ke tidak punya apa, dari penuh ke ruang yang kosong. Begitulah seterusnya.Kalau kita masih perasan yang dunia ini kita yang punya, itu masalah kitalah, bukan masalah Dia. Ha ha ha
Saya suka subjek yang luhur. Saya selalu tewas di situ. Tidak ada basa-basi. Air yang terbaik dari sekian banyak air adalah air suam yang putih jernih. Saya selalu memerhatikan kematian dan saya tahu saya juga akan mengalaminya. Bagus jika kita memahami kematian kerana itu akan mengingatkan kita bahawa kita ini bukanlah sehebat mana. Sepatutnya begitulah.
Guru saya pernah bercerita tentang kawan seperguruannya. Kawannya itu jenis yang suka bereksperimen dalam kehidupan. Dari punya kerja yang tetap, dia berhenti kerja, gelandangan, bawak teksi, jadi begitu, jadi begini..macam-macam dibuatnya. Sudahnya kawannya itu cuba mencari pengalaman dengan menjadi penagih dadah. Ha ha ha
Malang dia gagal di situ, sampailah ke hari ini kawannya itu menjadi penagih yang tegar.
Apa yang diajarkan kepada saya bukanlah ilmu hukum. Jadi saya menilai kehidupan ini pada hakikatnya. Kalau ilmu hukum, buat yang baik, tinggalkan yang jahat. Tapi hari ini banyak orang macam jahat di luar tetapi baik didalam, banyak yang kelihatan baik di luar tapi jahat di dalamnya. Jadi terpulang kepada diri kita sendiri bagaimana kita mentafsirkan kehidupan ini. Wallahualam














