Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

HAL-HAL YANG BENAR DAN LURUS…

0 comments

Setiap watak kita di dunia ini memang ada pentingnya, sekurang-kurangnya kepada diri kita sendiri. Hidup ini juga seperti bidak catur, berbagai pangkat, kasta dan darjat di dalamnya. Pun semuanya adalah sebahagian watak yang menghidupkan cerita.

Sikap manusia itu terbentuk dari perwatakannya. Ada kawan saya yang memang ada ciri-ciri pemimpin dalam dirinya. Itu kita boleh lihat seperti kalau berdiskusi, kita akan mendengar dan bersetuju atau terpaksa brsetuju dengan pandangannya sebabnya hanya padangan dia sahaja yang betul. Jalan yang lurus hanya milik jalannya sahaja. Kalau orang lain pun kata begitu, dia akan katakan itu jalan yang tak sama dengan jalannya.

Ayah Pin pun begitu. Sai Baba pun ada pengaruh juga. Abuya pun begitu bahkan mungkin semua pemimpin agama mahupun politik akan bercakap tentang hebat dan betulnya pandangan mereka dan kawan saya ni pun lebih kurang macam itu juga. Itu membuatkan saya hormat juga kerana ada kata-katanya yang boleh membuatkan kita bermenung dan berfikir.

Ilmu itu luas, jangan sempitkan, jadi bagi saya perkara yang terbaik bagi seorang manusia itu adalah ‘buka minda’. Apa salahnya kita bercerita tentang kehidupan dan konsep kepercayaan dan akidah dalam konteks yang lebih terbuka? Banyak berjalan, luaslah pandangan…

Saya pula leader untuk perjalanan saya sahaja. Jalan saya ini mungkin sesat, mungkin tidak…apa pun saya percaya dengan apa yang saya percaya. Untuk orang lain, saya percaya mereka telah melakukan perkara yang terbaik untuk diri mereka berasa selesa dan selamat, itu sudah mencukupi…

Saya tidak akan berkata jalan orang lain itu tidak betul walaupun mereka bersujud sepanjang hari atau memaki Tuhan juga sepanjang hari. Sebabnya bab menghukum ni bukanlah kerja saya.
Hal-hal yang begitu adalah di bawah bidang kuasa jabatan agamalah. Merekalah yang berhak kerana mungkin mereka rasa mereka dekat dan faham sangat hukum Tuhan ni.

Saya bersetuju bahkan percaya bahawa dalam hal-hal yang bersangkut paut dengan akidah mengikut sunnah waljamaah ni memanglah tidak ada tolak ansurnya kerana bukanlah mudah untuk seragamkan para muslim yang seagama yang punya berbagai mazhab untuk berpegang pada hukum syariaat yang sepatutnya betul tapi oleh kerana banyak sangat fahamannya, sebabnya juga yang hadis itu kata begitu, yang hadis ini kata begini…yang ulamak itu kata begitu, yang ulamak ini pulak kata begini..jadi kita yang di tengah-tengah ni memang peninglah juga…

Dan yang menariknya juga tanpa kita sedar mungkin kita ingat kita makin dekat dengan Tuhan, rupanya dia semakin jauh dan malap dari pandangan kita kerana mungkin juga kita ini terlalu berkepentingan…Yang Tuhan mahu itu, kita ingat ini…begitulah…

Bekerja di bawah bidang kuasa agama ini banyak sangat dugaannya, maklumlah kita wakil untuk hal-hal yang benar belaka…Seperti jugalah bila saya menonton movie lakonan Nicholas Cage yang judulnya Season of the witch’…Segalanya benar selagi kita berkuasa…begitu?

Tapi jika kita anggap ianya sebahagian dari rencah anekaragam lawak jenaka kehidupan, maka kita akan lebih tenanglah adanya…

Antara perkara yang terbaik untuk umat manusia praktikkan itu adalah menghormati antara sesama.


SELAGI ADA NYAWA DI BADAN

0 comments

Jika anak kecil yang baru lahir itu berwajah hodoh atau cacat dari segi fizikalnya, lahirnya tidak akan membawa rasa malu terhadap persekitarannya. Dia akan bebas bermain dan bermesra dengan siapa sahaja yang dekat dengannya. Sehinggalah dia masuk ke alam persekolahan.

Fitrah manusia memang sukakan yang indah-indah dan cantik belaka. Maka si anak yang malang itu akan dihina oleh kawan-kawannya kerana mereka di kalangan anak-anak yang sama membesar dan se usia malah masih mentah dalam berfikir. Alangkah simpatinya bagi kita yang melihat adegan caci mencaci di kalangan mereka. Betapa remuknya jiwa yang tertanam di dada si anak yang kurang bernasib baik itu, bahkan mungkin membawanya menjadi manusia yang pendendam kepada sesama manusia atau Tuhan yang menjadikannya.

Maka membesarlah si anak itu dengan penuh rasa rendah diri sehingga enggan menatap wajahnya di cermin lagi. Maka ibu-bapa sangat berperanan dalam membentuk nilai keyakinan si anak itu kesan masa lalunya yang menyedihkan.

Saya pernah melihat seorang pemuda cacat anggota yang berkerusi roda di sekitar Pasar Seni di tahun 90an dulu. Anak muda itu memang membenci dunia dan persekitarannya. Habis segala manusia yang lalu lalang dimaki ikut sedap mulutnya sahaja. Saya suka memerhatikan sikapnya yang angkuh itu. Dan saya tahu alam telah lama memaafkannya. Waktu itu saya sering bertanya kepada diri, apa yang dimarahkannya sangat? Kepada Tuhan? Kepada alam? Kepada manusia yang kebanyakannya sihat dan berwajah tampan atau jelita? Mengapa nasib tidak baik itu datang kepadanya, bukan kepada orang lain. Alangkah bagusnya jika semua manusia itu cacat sepertinya dan mungkin dia akan kembali senyum dan bersikap ramah tamah antara sesama.

Sebetulnya beberapa hari yang lalu saya terpandang seorang anak kecil dalam usia sekitar 3 tahun mungkin berjalan-jalan di hadapan saya dengan penuh girang hati sambil kepalanya bergoyang-goyang mengikut rentak lagu yang saya nyanyikan. Kemudian ibu dan bapanya datang kepadanya lantas mendokong anak mereka dengan penuh kasih-sayang. Anak kecil itu cacat wajahnya bukan mentalnya.

Anak saya pula fizikalnya sihat tapi mental nya bermasalah.

Apa misterinya yang Tuhan kurniakan kita dengan ujian yang sebegini? Setiap kali saya memandang wajah anak saya yang Autisma itu, saya tidak ada jawapan melainkan itulah wajah saya juga dan kesedihan ini tidak ada akhirnya. Apa guna segudang harta jika dia masih di situ dan kita masih bersenang lenang membelek wajah kita di cermin sambil menilai setinggi mana tahap hensem dan lawa kita ini? Dan apabila saya pejam mata sambil menghitung saat untuk pulang ke rahmatNya, anak saya itu tanpa reaksi atau mungkin akan ketawa melihat mata saya terpejam untuk selama-lamanya. Inikah pengakhiran untuk sebuah cerita sedih?

Saya masih terus melangkah untukNya…selagi ada nyawa di badan…


SEJENAK DI BANGKU EGOIS

0 comments

Saya adalah antara peminat tegar muzik lama, era 70an terutamanya. Inilah masalahnya juga kerana saya masih suka mendengar muzik lagu irama 70an yang pelbagai rentaknya dari lagu era masa kini.

Inilah masalahnya juga mengapa saya hanya menyanyikan hanya sekali sahaja lagu penyanyi Yuna sewaktu busking. Menghafal liriknya yang bagi saya hanya di tahap SRP memanglah menduka-citakan jiwa saya walaupun melodinya adalah sekual muzik dan pengaruh Beatles yang agak jazzy dengan kord-kord jazz yang macam cerdik. Pun saya cuba juga menghabiskan bait-bait lagunya demi menghormati kerjaya busking saya.

Lirik yang bagus perlu punya nilai sastera yang tinggi dan bijak. Itu sebab sajak Rumi, Iqbal, Hamzah Fansuri antaranya masih diingat sehingga ke hari ini sebab susunan bahasanya yang menarik. Kalau buat lirik seperti awal karier Beatles seperti lagu P.S I love you, itu waktu budak sekolah form 2 bolehlah…Sekurang-kurangnya bagus kita layan Beatles waktu era matang mereka dengan album Sgt Pepper, Revolver atau Abbey Road.

Maka apabila kita menyanyikan lagu ‘im only sleeping’, kita memang maksudkan…apabila kita menyanyikan lagu ‘strawberry field forever’, kita memang maksudkan…Apabila kita menyanyikan lagu ‘nothing’s gonna change my world’ pun kita memang maksudkan…

Ini yang selalu saya kesalkan tentang muzik indie hari ini. Penguasaan bahasa mereka sangat lemah, walau itu mereka katakan ‘karya yang jujur yang lahir dari hati’.

Dan inilah juga sebabnya saya masih tidak dapat nak bandingkan muzik lama dengan baru kerana
muzik lama itu telah mencapai tahap sempurnanya, Apa yang ada hari ini hanyalah ikutan atau sekual sahaja…

Sekurang-kurangnya kefahaman tentang hidup itu perlulah mencapai tahap matang walau belum mencapai ‘Nirvana’. Ini kalau setakat muzik untuk selera halwa kanak-kanak menengah, payahlah…

Macamana pemikiran kita nak berkembang seiring dengan lagu dan zaman?

Pun seperti saya katakan tadi, demi menghormati kerjaya saya, saya layanlah juga seadanya…


Page 40 of 193« First...102030...3839404142...506070...Last »