Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

Apabila mati itu tiba…innalillah

0 comments

Hari demi hari ramai sudah para sahabat yang telah dijemput pulang. Satu demi satu. Untuk mereka lebih mengenal diri dan pencipta, innalillah…

Tadi siang sewaktu saya sedang bernyanyi berlagu bekerja mencari rezeki, saya terima sms dari orang rumah yang katanya Syam Asmawi kawan saya sang pelukis itu sudah meninggal dunia. Perkhabaran tentang berita kematian selalu saya terima dan saya belajar untuk memahaminya kerana apalah kita ini yang namanya manusia. Sampai masa ke sanalah kita juga cepat atau lambat, namun akan sifatnya manusia ada rasa sedih juga.

Saya kenal arwah di awal tahun 2000 di Pasar Seni. Arwah melukis di situ dan saya kenal ramai kawan pelukis di sana. Saya pernah bercita-cita untuk menjadi pelukis namun tidak kesampaian. Pasar Seni berjaya melahirkan ramai pelukis marhen yang real bukan plastik. Walau saya tidaklah rapat sangat dengan arwah namun perhubungan antara kami kawan-kawan memang baik, tidak ada masalah. Itulah watak-watak kita di dunia, arwah dengan dunia lukisannya, saya dengan dunia muzik saya…begitulah juga kawan-kawan lain…

Arwah yang saya kenal bagi saya jenis manusia yang terang hati dalam mengenal diri dan Tuhannya. Maknanya perjalanan dan jalannya dalam lorong sunyi miliknya alhamdulillah dan saya percaya tahap faham dan kenalnya juga alhamdulillah…

Lama kami tidak berjumpa sehinggalah beberapa bulan lepas saya terserempak dengan beliau sambil bermain dan mendukung anaknya yang berusia 8 bulan waktu itu. Beliau sangat bahagia dengan kehidupan berkeluarganya dan katanya kepada anaknya ke arah saya, ” ini ahlil muzik”

Bersembang kejap lebih kurang bertanya khabar dan perkembangan saya dan orang rumah pun minta diri untuk beredar sehinggalah tadi saya dikejutkan dengan sms orang rumah, kawan ayah Syam Asmawi sudah meninggal dunia. Ternyata Tuhan lebih menyayanginya..Innalillah…


UNTUK SEORANG WANITA YANG BERNAMA ISTERI

0 comments

Dalam beberapa hari lagi saya dan orang rumah akan menyambut hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-17 . Maknanya dah 17 tahun kami bersama dalam setiap saat suka duka sebagai suami isteri. Banyak dugaan dan banyak yang saya belajar akan makna sebuah perkahwinan. Di tambah dengan kelahiran 4 orang anak yang semakin membesar, inilah syurga dan kami sedang menghargainya detik demi detik.

Apabila saya memilih orang rumah saya sebagai pilihan hati, saya bukannya berduit sangat dan agak gelandangan waktu itu. Main muzik di pub pun sekejap ada kontrak, sekejap tak ada kontrak, tapi orang rumah saya cool saja. Hatta pernah dalam poket saya hanya ada 30 sen pun dia masih cool juga. Maknanya dia mampu hidup dalam waktu susah senang dengan saya. Di saat saya dicekup pihak penguasa lantaran disuspek penagih dadah sewaktu busking di Pasar Seni tahun 2005 dulu, lantas disumbat selama 4 malam di Pudu Jail, pun orang rumah protect saya semaksimumnya kerana dia lebih mengenal siapa saya berbanding orang lain.

Kehidupan berkeluarga ni macam air laut, ada masa tenang, berombak dan walau apapun juga sifatnya, selagi ada kepercayaan dan kita letakkan Tuhan di atas segalanya, insyaallah hidup kita akan berada di dalam peliharaaNya dan saya percaya akan itu tanpa sebarang penafian.

Karier muzik saya sejak tahun 1990 dulu sehingga ke hari ini bukannya menentu sangat, pun saya terima takdir saya se adanya. Sebabnya bila kita sudah pilih jalan kita sendiri, kita tak bolehlah nak complain sebab segalanya punya hikmah yang tersendiri.

Riders on the storm bak tajuk lagu The Doors atau like a rolling stone (Dylan) itu hidup yang saya pilih dan saya bersyukur orang rumah dan anak-anak saya memahami malah menyokong apa yang saya lakukan seadanya. Hasilnya sehingga ke hari ini, rezeki untuk saya dan anak-anak sentiasa ada kerana saya percaya Tuhan itu sentiasa ada dalam setiap apa yang saya lakukan. Saya terima takdir dan perjalanan hidup saya seadanya kerana saya percaya pada qada dan qadarNya. Kita manusia bukannya sempurna sangat dan yang terbaik kita cubalah buat yang terbaik sebagaimana sifat dan tanggungjawab kita di atas muka-bumi Tuhan ini.

Waktu baru kawin dulu hidup kami memang susah dan kami melaluinya dalam level kehidupan yang paling sederhana dan alhamdulillah kami mampu menghadapinya.

Itulah saya selalu nasihatkan kawan-kawan, carilah pasangan yang mampu melihat dan menerima keadaan kita se adanya kita. Yang mampu hidup dalam susah dan senang dan bersederhana dalam segala hal. Kerana hal-hal material ni boleh buat kita buta dalam menilai dan mungkin kita akan terperangkap dengan angan dunia sehingga ke akhirnya jika kita terlalu membelek yang luar dari yang ada di dalam.

Sehingga ke hari ini dan esok-esoknya, saya tahu yang orang rumah saya tahu yang saya sayang dia.


AKU, MUZIK DAN HARI INI…

0 comments

Sudah lama saya tidak mengikuti perkembangan muzik underground, atas mahupun bawah. Dua tiga hari lepas saya berbual-bual dengan seorang kenalan blogger yang datang ke KL Sentral. Banyak hal juga yang dibualkan termasuklah hal-hal muzik.

Sewaktu di sekolah menengah di kampung dulu, saya tampal di dinding bilik saya poster Led Zeppelin, Black Sabbath, Pink Floyd dan banyak lagi. Waktu itu semangat untuk ambil tahu pasal muzik memang di tahap ‘gila’. Hatta beg sekolah saya pun di tulis dengan marker pen luar dalam nama-nama band yang hebat-hebat waktu itu. Ha ha ha

Sehingga beberapa tahun juga saya dalam keadaan begitu. Terlalu banyak ‘hero’. Dalam hal agama dan falsafah hero-hero saya adalah penyair-penyair agung yang kebanyakannya tidak konvensional dan revolusioner. Sheikh Siti Jenar, Iqbal, Hamzah Fansuri, Kahlil Gibran, Fariuddin Attar dan banyak lagilah. Dalam hal muzik pun begitu juga. Semua hero-hero saya dalam muzik seperti yang saya selalu tulis dan ingat tentang mereka dan akhirnya itu semua hanyalah ‘semalam’. Tidak ada semalam, tidak adalah hari ini. Namun yang semalam itu hanyalah semalam yang telah berlalu dan tidak akan datang kembali. Pun harus diakui

mereka-mereka itu adalah sisi-sisi cerah dan gelap untuk kita membentuk acuan imej kita sendiri. Akhirnya kita tidak perlukan
siapa-siapa pun lagi..Inilah kita seadanya dan kita wajib menghargainya.

Apapun saya masih mendengar lagu-lagu Bob Dylan, Nick Drake dan genre-genre yang sewaktu dengannya. Jika kita suka pada lagu-lagu bertemakan kehidupan dan kemanusiaan wajib kita mendengar Dylan, seperti bagaimana dia menyindir sikap tamak dan kuasa manusia dalam lagunya ‘master of war’ atau bagaimana kita mahu membentuk jatidiri kita sebagai lelaki yang penuh dengan ciri-ciri kelakian yang keras,ultimate dan ego seperti dalam lagunya ‘Dont think twice, its allright’. Saya membesar dengan lirik-lirik Dylan, Cat Steven, Smiths, Floyd, Beatles, Fals, Ebiet, Gombloh dll dan dari situ banyak yang saya dapat dan faham apa itu kehidupan, politik, alam, kemanusiaan dan Tuhan. Bukankah itu banyak membantu kita dalam banyak hal-hal yang bersangkut-paut dengan kehidupan dan kematian?

Hari ini saya pegang konsep ‘pandang satu pada yang banyak, banyak pada yang satu’. Realistik dalam hal-hal kehidupan bagi saya adalah jalan terbaik untuk kita terus hidup dan berkarya mengikut acuan dan ramuan yang kita faham, dan kita sedang menjalaninya. Kita pun tidak tahu kita ini di fasa yang keberapa. Yang kita tahu masa sedang berjalan dan kita perlu memandang kehadapan. Kita sedang memikul beban yang sarat dengan muatan dan keperluan yang kita simpulkan sebagai keseimbangan untuk sebuah kehidupan.


Page 48 of 193« First...102030...4647484950...607080...Last »