Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

DI LEMBAH INI

0 comments

Di lembah ini tidak ada apa yang menarik untuk panorama yang mengkhayalkan pandangan. Sudah di beritakan maya akan menipu kita di dalam janji. Terbuka mata melihat dunia, kitalah lambang suci insan yang tidak berdosa apa-apa, kepada dunia mahupun akhirat. Sedetik menyusu di susuan ibu, kita mula berkepentingan saat itu. Fitrah kadang-kadang akan menguji, setiap detik adalah ujian untuk kita. Terlebih kenyang kita akan mendapat penyakit, perut lapar pun kita akan mendapat penyakit. Ha ha ha

Sudah diberitakan kita telah dituntut untuk lebih mengenal Dia. Dia itu kita, kita bukan Dia. Cerita roh adalah wajib dikenang oleh setiap insan, kerana di dalamnya akan hadir kisah-kisah yang bakal menyuburkan jiwa kita dengan cerita rasa. Kerana budi, jasad tertawan, bak kata penyanyi 60an A.Talib dalam lagunya. Elok kita bermukim di lembah kejiwaan kerana di situ tidak ada angan-angan, di situ tidak ada kebendaan, janji palsu yang mengkhayalkan menjadikan kita manusia semata.

Baru-baru ini semasa berbusking, sepasang pasangan suami-isteri berbangsa Cina yang agak berumur tersenyum-senyum melihat saya bernyanyi…Seusai lagu,, mereka datang kepada saya sambil berkata, ” Allah berkati kamu”, sambil memberikan saya risalah kecil yang judulnya, bagaimana mengenal Allah. Membaca isi kandungannya ianya tentang Isa dan ceritanya. Kemesraan mereka tidak dibuat-buat, tidak hairanlah banyak orang kita yang berkunjung ke sana. Itu yang mungkin kurang dalam agama kita, kemesraan dan sifat memahami. Kita lebih suka menghukum..mereka lebih suka memahami..

Kita adalah sebahagian dari mimpi yang nyata, kita makan kita rasa.


TERIMAKASIH JIWA

0 comments

Sepanjang hidup bergelar manusia, saya telah melalui banyak perkara yang kita namakan hal-hal duniawi. Suka-duka, pahit manis sudah saya lalui. Apabila dirumuskan semuanya, bolehlah saya katakan inilah keindahan yang paling nyata atas segala apa yang sudah saya lalu dan rasai. Terhukum malah menghukum juga ada masanya, menghina malah dihina juga ada masanya. Inilah kebahagiaan apabila dosa dan pahala itu bercampur, kita gaulkan menjadi cerita yang menarik untuk kita baca.

Hasilnya saya secara perlahan-lahan dapat menerima segala isi cerita yang telah diperuntukkan untuk siri-siri takdir saya. Kita di hormati ada masanya, kita juga di hina ada masanya. Kita menerima cerita kita seadanya.

Kita bagi saya bagus jika dapat menerima cerita alam ini seadanya. Kita lihat bulan, kita sedang berguru dengannya. Kita bermain-main dengan anak-anak, pun kita sedang belajar dari mereka sebenarnya. Kita berjalan atau memandu, kesesakan mengganggu tahap emosi kita semaksimumnya, pun tanpa kita sedari itu hanyalah matapelajaran dan kita sedang belajar. Kita berkawan, dianiaya malah kita juga menganiaya juga ada masanya, pun itu hanyalah matapelajaran untuk kita belajar sesuatu.

Selepas kita memaki, sepatutnya kita akan letih dan berehatlah kendurkan emosi kita dan kita pun tahu ianya hanyalah secebis ujian dan kita telah gagal mengawalnya. Bermuhasabahlah kita, serahkan kepadaNya dan katakan ,”inilah aku seadanya’.

Apabila kita dimaki, pun kita anggap ianya hanya gurauan takdir yang memang suka mengusik agar kita melenting dan turut sama dalam permainan emosi agar ianya berpanjangan dan akhirnya meletup. Pun bagi saya anggaplah takdir ini akan datang dalam bermacam bentuk dan gaya, kitalah pelengkap ceritanya. Kita boleh memilih untuk sama memaki atau kita padamkan dengan kata-kata yang lembut dan berhemah.

Pun apabila malam tiba, tibalah saatnya untuk kita beradu. Katakanlah kepada jiwa, walau kemanapun aku pergi, ke kiri mahupun ke kanan, kamu tetap setia, menerima aku seadanya. Terimakasih..


CERITA DALAM LAGU

0 comments

Saya mula dengar lagu Ebiet tahun 1980 kalau tak salah saya. Camellia 1, 2, 3 dan 4. Semua kaset dibeli oleh abang saya sewaktu dia ke Indonesia. Ebiet adalah pembuka jalan untuk saya belajar dan ambil tahu tentang apa yang mahu disampaikan dalam setiap melodi yang dilagukan. Ebiet bercerita tentang kejujuran, masa lalu, kenaifan, ketidakpercayaan pada wujud Tuhan malah kecintaannya kepada Tuhan dan alam dalam bahasa yang sangat unik dan indah. Dalam masa yang sama kenakalan dan pengakuannya jelas dalam lagu ‘cinta di keretapi biru malam’, atau cerita tentang ‘lelaki ilham dari syorga’malah cerita ‘camelia iv nya sangat misteri untuk diungkapkan. Sehingga apabila saya mendengar muzik Kembara waktu itu, liriknya bagi saya hanya 50% sahaja dari apa yang Ebiet miliki. Sehingga juga apabila saya cuba mencipta lagu pengaruh Ebiet sangat kuat sehingga cara nyanyi dan lirik pun nak macam Ebiet. Ha ha ha..

Lirik dalam lagu memang penting bagi saya. Apa yang mahu disampaikan yang itu yang saya mahu tahu. Dari Fals, Ebiet, Gombloh, God Bless, Doel Sumbang, Dylan, Cat Steven, Nick Drake dan banyak lagi folk singer yang hebat-hebat, saya belajar dan tahu banyak benda dari mereka.

Apabila Fals menyatakan protes kepada Tuhan dalam lagunya ‘tolong dengar tuhan’ atau protesnya terhadap sistem politik negaranya dalam nada yang sangat telus saya salut dan dia memang hebat dalam menyatakan pendapatnya.

Apabila Gombloh bercerita tentang perhubungan kasih antara anak yang bapanya seorang pencuri, ianya benar-benar memberikan saya pelajaran dan renungan. Banyak yang dapat kita belajar sebenarnya melalui lagu-lagu yang bagus.

Apabila saya mendengar Doel Sumbang berlagu dalam lagunya ‘aku tidak sinting’ saya tidak dapat menggambarkan betapa rabak dan telus nya dia bercerita dalam lagu dalam haru yang amat sangat. Ha ha ha. Mana ada penyanyi yang bercerita tentang mukanya yang hodoh atau kurap yang hinggap di celah kangkangnya melainkan Doel Sumbang? Ha ha ha

Pengalaman akan mendewasakan kita. Ambil dan ambillah mana yang sempat kita ambil, jadi bekal dalam dada menjadikan kita orang yang berilmu dan banyak tahu tentang hidup dan kejadian.


Page 62 of 193« First...102030...6061626364...708090...Last »