Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

ANTARA BAHA ZAIN DAN DUNIA ANAK MUDA HARI INI

0 comments

Apabila Datuk Baharuddin Zainal atau nama penanya Baha Zain dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-12 pada 15hb Mac 2013 yang lalu, pelbagai respon dan pendapat yang saya terima dari rakan-rakan. Ada yang suka dan ada yang tak suka ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju…

Untungnya saya punya ramai kawan bijak pandai yang berada di kanan dan kiri. Cuma yang saya pasti kecuali SN A.Samad Said (Datuk), ramaikah anak-anak muda hari ini yang kenal Baha Zain?

Saya tanya juga pendapat kawan-kawan yang sealiran seperti SM Zakir ( setiausaha agung PENA) juga kepada Zainal Rashid Ahmad( penulis, penerbit dan pemikir Melayu ) tentang kelayakan Baha Zain sebagai penerima anugerah SN. Rata-rata mereka bersetuju dan berkata itu adalah pilihan yang paling tepat.

Pun bagi penerima anugerah SN tahun 1982, Shahnon Ahmad seperti yang saya baca pendapatnya dalam portal Malaysiakini pada pada 18hb Mac 2013, agak kurang bersetuju dan menolak pemilihan tersebut. Emel yang dihantarnya melalui Dr Faisal Tehrani ke Mkini juga menyatakan :

“Shahnon melihat Baha Zain , yang diumumkan penganugerahan itu oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak berupaya dalam kritikan sastera”

Begitu juga bila saya tanyakan kepada Jimadie Shah Othman ( penulis dan penyair ) yang katanya:

“Kalau ditanya apa perasaan saya dengan penganugerahan anugerah sastera negara kepada Baha Zain, jawapan saya tiada perasaan. Saya tak mengikuti dengan dekat, kecuali yang di dalam Teluk Gong, saya tak pernah jatuh cinta dengan karya-karya Baha.
Bagaimanapun, bagi saya itu soal nombor dua. Saya tak pertikaikan soal kualiti, ia hanya soal rasa atau selera. Kedua, bidang seni bukan pencak silat. Dalam seni tak ada nombor satu atau nombor dua. Cuma, masalah yang merunsingkan saya apabila orang tak ambil kisah lagi dengan anugerah ini. Ia menjadi tak lebih penting daripada Maharaja Lawak atau Anugerah Bintang Popular.
Ini gelanggang sebenar Baha, untuk menempatkan dirinya dalam masyarakat sebenar. Jika itu boleh dilakukan, prestij itu akan datang sekali. Seperti beliau menyumbang dalam Telok Gong lama dahulu.”
Jimadie Shah Othman

Makanya saya pun terpanggil dan diberi peluang untuk mengulas tentang beliau dalam konteks kefahaman yang saya selesa, berterus terang dan terbuka.

Saya tidak akan mengulas seperti para bijak pandai yang bijak berkata dan bermadah seloka. Saya hanya akan mengulas dalam konteks yang biasa-biasa saja.

Beliau dilahirkan pada 22hb Mei 1939 dan berasal dari Hutan Melintang, Perak telah menerima pelbagai anugerah Sastera seperti Tokoh Pena pada 17hb Disember 2011 kerana lama terlibat dalam penulisan dan aktif dalam PENA.

Saya juga peminat sastera Melayu dan saya tahu Baha Zain adalah sasterawan penting yang banyak berjasa kepada negara dan atas sebab jasanya itulah beliau dianugerahkan dengan pelbagai anugerah dan darjat sesuai dengan jasanya.

Tahun 2000 dulu, terutamanya pada setiap jumaat pertama awal bulan, saya sering berkunjung ke PENA(Persatuan Penulis Nasional Malaysia ) yang lokasinya terletak berdekatan dengan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya ke sana kerana belajar membiasakan diri dengan bernyanyi dan berlagu di hadapan khalayak. Tidak ada bayaran, pun itu tidak mengapa kerana saya menyanyikan lagu ciptaan sendiri, jadi itu saya anggap satu ruang promosi untuk saya dikenali, pun selama setahun saya di situ, nama saya mereka pun ingat-ingat lupa juga. Yang menerima saya itulah anak-anak muda yang moden dan terbuka yang asing dari PENA.

Pun begitu, kesannya saya kenal dengan beberapa nama besar penggiat dalam dunia sastera dan puisi Melayu seperti SM Zakir, Zainal Rashid Ahmad, Sutung Umar RS( yang waktu itu menjadi setiausaha agungnya) Rahimidin Idris dan beberapa nama lagilah.

Datuk Baha Zain sering ke PENA kerana beliau memang orang penting, dihormati dan diraikan di sana. Saya selalu juga menonton beliau bersajak dalam bahasa yang indah tapi berkesan. Caranya cara orang lama, kiasnya cara orang lama yang banyak makan garam, gitulah…

Membaca wawancara ekslusifnya dalam majalah Dewan Sastera di keluaran beberapa bulan yang lepas, tokoh penyair, pemikir sastera dan penulis ini agak terbuka dalam banyak hal. Tidak dinafikan beliau juga punya hubungan yang baik dengan mereka-mereka yang bertaraf legenda dan bergelar Sasterawan Negara seperti Usman Awang dan Keris Mas. Salah satu sebabnya mereka bekerja di bawah satu bumbung di DBP(Dewan Bahasa dan Pustaka) waktu itu di awal tahun 70an dulu.

Menariknya juga dalam isu tersebut ada dikupas tentang peristiwa 13 Mei dan isu Teluk Gong di tahun 1969 dan dasar mereka yang menentang kerajaan tentang isu bahasa waktu itu.

Baha juga terlibat dalam isu pemansuhan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ) sehingga tercetusnya demo pada 7hb Mac 2009. Antara yang terlibat dalam demo tersebut selain beliau itulah Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan pengerusiGMP( Gerakan Mansuhkan PPSMI) juga bekas pengarah DBP Datuk Dr Hassan Ahmad( Allahyarham).

Hari ini, seperti saya melihat PENA itu seperti sebuah pentas yang jauh di kayangan sana, yang terpencil dan yang tinggal hanyalah mereka yang seakan para dewa-dewa yang hanya memuji antara sesama mereka, begitulah saya melihat jarak antara Datuk Baha Zain( yang pernah menjadi presiden PENA pada 2008-2010) dan anak-anak muda hari ini.

Seperti yang dikatakan Baha Zain itu PENA, PENA itu Baha Zain, persoalan dan cabarannya, masih relevankah PENA untuk mewakili suara anak-anak muda hari ini yang nyata dan nampaknya semakin jauh dan tersisih dari mereka?

Berbeza sekali apabila saya melihat sikap dan rasa kemanusiaan yang terdapat dalam diri Datuk A.Samad Said. Beliau masih akan menyapa dan bertanya khabar saya seadanya ketika tiap kali bertembung di KL Sentral mahupun di dalam LRT. Bahkan bukan hanya saya, sesiapa saja yang menyapanya akan disambutnya dengan rasa hormat dan sifat kemanusiaan yang terpuji.

Di kalangan semua Sasterawan Negara sejak zaman Keris Mas (1981) sehinggalah ke zaman Datuk Baha Zain ( 2013), bagi saya yang paling merakyat dan dekat dengan masyarakat terutamanya di kalangan masyarakat marhaen itu lah Bapak A.Samad Said.

Dunia sastera dan budaya hari ini semakin terbuka. Ini bukan masanya kita bermadah seloka sambil mengajak masyarakat menerima dan datang kepada kita dalam bentuk yang kita mahu. Ini zaman di mana kita harus belajar bagaimana mahu memahami kehendak dan mahu mereka.

Apapun diucapkan tahniah kepada Datuk Baha Zain sebagai Sasterawan Negara yang ke – 12.


M.NASIR YANG TERLUPA ASAL USULNYA-BAHAGIAN 2

0 comments

Pelbagai respon yang saya terima kesan tulisan tentang Datuk M.Nasir di keluaran yang lalu. Ada yang bersetuju dan ada juga yang mempersoalkan. Saya terima apa saja pandangan dengan hati yang terbuka.

Seperti yang saya bualkan dengan seorang sahabat yang juga peminat M.Nasir yang baginya M.Nasir tetap seorang insan yang hebat terutama dari segi muzik dan susunannya. Saya tidak mempersoalkan tentang itu. Yang saya persoalkan adalah tentang ‘roots’ dan susur galur muzik yang diperjuangkannya.

Apabila bercerita tentang ‘roots’ muzik, saya rasa itu penting untuk kita faham tentang hala dan genre yang kita bawakan.

Pertama kali ke studio Luncai Emas di awal tahun 90an dulu bergaul dan mengenal insan seni bernama M.Nasir sambil membelek-belek koleksi piring hitam artis-artis barat miliknya saya tahu kita punya citarasa yang sama dalam muzik dan kefahamannya.

Beliau juga membesar dengan lagu Dylan, Al Stewart, Beatles, Pink Floyd, Cat Steven, Earth Wind and Fire antaranya. Itu lah yang saya maksudkan dengan ‘roots’. Begitu juga tentang kefahamannya tentang hakikat dan kejiwaan.

Dan perkara paling penting bagi saya jika kita seorang singer-songwriter, bikinlah lagu untuk buat orang berfikir ! Itu satu tanggungjawab bagi seorang pengkarya bergantung pada tahap kefahaman mereka.

Jika Amy, Jamal atau Saleem itu tidak ada dalam fikiran saya pun sebab mereka bagi saya hanya duduk dalam genre komersial sejak dari awal karier, begitu juga Ramli Sarip, beliau seorang penyanyi rock, bukan folk singer song-writer.

Sudahnya sahabat saya itu menyatakan , “ M.Nasir sudah tua bro!”, dan kami pun ketawa di suatu petang yang nyaman itu.

Roger Waters pun sudah tua juga, pun masih maintan rugged. Sting pun begitu juga…Mengapa perlu menjadi ‘poyo’ jika kita sudah solid ?

Nusrat Fateh Ali Khan sehingga Akhir hayat kekal dengan idealisma dan apa yang diperjuangkannya sehingga dunia mengkaguminya.

Perjalanan yang paling menarik bagi seorang pengkarya adalah seperti yang John Lennon lakukan, dari konvensional kepada tidak konvensional.

Berbeza pula dengan M.Nasir yang mana perjalanan seninya dari tidak konvensional kepada konvensional.

Satu hal yang harus diakui juga ramai kenalan saya , mereka ini adalah peminat yang membesar dengan lagu-lagu M.Nasir. Di usia yang hampir mencecah separuh abad ini kami membicarakan tentang topik dan isu tersebut dalam ruang yang lebih matang dan terbuka.

Saya tidak punya apa kepentingan dalam menyuarakan pendapat dan saya tidak ada hal juga jika M.Nasir itu seorang jutawan hasil penat-lelahnya berjuang dalam dunia muzik dan industrinya, cuma seperti yang saya ralat, beliau seolah mengambus lorong yang telah beliau bina sejak awal berkarya dulu.

Pentingnya bukan untuk beliau, tapi generasi yang akan datang. Tapi apalah yang nak dikisahkannya sangat pun?

Saya akui M.Nasir adalah satu watak menarik dari spesis yang ‘rare’ untuk ditemui. Hebat kerana mampu melepasi ruang mainstream dan lagu-lagunya yang bermesej itu diterima ramai. Juga beliau tahu apa ramuan yang masyarakat Melayu suka .

Seperkara juga tentang pengetahuan beliau tentang hakikat, kefahaman dan sifat keterbukaannya. Banyak perkara yang saya setuju yang mana bagi saya jika kita boleh membezakan antara ilmu usul dan ilmu hukum, kita mampu bermuzakarah dalam ruang yang lebih terbuka dan bukan semua manusia akan faham tentang perkara itu.

Lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud yang diciptanya yang mana liriknya adalah pengaruh dari kitab Penyair dan ahli sufi Farid ud-Din Attar yang judulnya ‘The Conference of the Birds’ atau dalam versi Indonesianya ‘Musyawarah Burung’ adalah antara lagu komersial terbaik yang pernah diciptanya yang berjaya menembusi pasaran komersial sehingga menang Anugerah Juara Lagu tahun 1994.

Itulah klimaks pencapaiannya sebagai seorang penyanyi dan komposer.

The Conference of the Birds adalah karangan penyair dan pujangga kelahiran Persia Barat Farid ud-Din Attar atau nama sebenarnya Abu Hamid bin Abu Bakr Ibrahim ( lahir tahun 1120 dan meninggal pada tahun 1230 ) yang terhebat.

Hebat kerana pengisian dan gubahan bahasa yang indah serta jalan ceritanya yang berkisar tentang perjalanan nafsu dan diri kita sendiri sehinggalah ke titiknya, untuk sebuah permulaan dalam mengenal diri.

Saya salut M.Nasir kerana berjaya membuka minda dan mengenengahkan kepada masyarakat tentang perkara-perkara serius yang melibatkan kejiwaan.

Berbalik tentang hal komersial , Itu jugalah yang terjadi kepada penyanyi folk Indonesia Gombloh yang juga akur dengan kehendak mainstream di awal tahun 80an dulu. Beliau gagal mempertahankan idealismanya dalam berkarya.

Pun walaupun karyanya laku di pasaran komersial , Gombloh masih lagi hidup dengan watak bohemian dan menyatu dengan golongan marhaen dan gelandangan sehingga ke akhirnya. Masih rabak sehinga ke akhir hayatnya.

Begitu juga dengan Bob Dylan yang poyo dengan album Saved nya di tahun 80 dulu. Saya hanya mendengar Dylan melalui album pertamanya Bob Dylan ( 1962 ) sehingga album Street Legal ( 1978 ). Suaranya bila sudah semakin tua semakin sengau dan kurang dari segi intonasi. Memang tak sedap langsung!

M.Nasir juga dalam keadaan usianya yang semakin ke depan, dari segi suara dan intonasinya sudah tidak sama seperti di zaman Kembara dan album-album solonya yang terdahulu.

Tanpa Loloq, kata M.Nasir beliau telah patah sebelah sayapnya. Pun setiap manusia hadir ke dunia dalam bentuk dan acuannya yang tersendiri. Kerana kita juga akan pulang tanpa teman dan meninggalkan apa saja yang baharu sifatnya. Jadi bagi saya itu bukanlah penyebabnya.

Saya tidak akan bandingkan M.Nasir dengan seniman hebat dunia yang bernaung di bawah label ‘Real World’ milik Peter Gabriel seperti Nusrat Fateh ( Pakistan ) mahupun Salif Keita ( Mali ) atau dengan Iwan Fals sekalipun, tapi untuk negara kita yang serba-serbinya lemah gemalai ini, alangkah baiknya jika kita memiliki seorang ikon yang rugged, berilmu dan rebel seperti Bob Marley, Lennon, Bono antaranya.

Masyarakat kita sudah lama lemas dalam ayat-ayat cinta yang layu dan penuh rindu-dendam.


M.NASIR YANG TERLUPA ASAL USULNYA

0 comments

Menatap kejayaan dan kegemilangan yang dicapai oleh seniman M.Nasir ( Datuk) atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad ( lahir 4hb Julai 1957 ) hari ini sebagai pengkarya tersohor tanahair sepintas lalu, banyak perkara dan persoalan yang bermain di benak saya walau saya percaya hidup ini hanyalah sekadar musim yang datang dan pergi.

Jika penyanyi-penyanyi pop atau personaliti hiburan terkenal menjadi duta untuk satu jenama produk coklat yang terkenal, saya agak memahami, cuma kalau M.Nasir yang dipilih dan menerimanya demi ringgit , bagi saya ianya agak janggal dan melucukan juga.

Jika dipilih menjadi duta untuk barangan yang melibatkan seni dan muzik, jadi duta untuk mikrofon, gitar atau apa sahaja yang melibatkan kesenian dan budaya contohnya, itu lebih bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang seniman.

M.Nasir adalah seniman hebat kelahiran Singapura yang mencipta nama sebagai komposer, produser dan penyanyi di Singapura dan Malaysia sejak hujung tahun 70an lagi.

Jasanya dalam industri muzik tanahair juga telah mendapat pengiktirafan negara dengan menganugerahkan gelaran ‘Datuk’ baru-baru ini.

Saya adalah salah seorang pendengar dan membesar dengan kumpulan Kembara dan lagu-lagu mereka sewaktu zaman sekolah di awal 80an dulu sejak kumpulan trio yang dianggotai oleh M.Nasir, A.Ali juga Shahlan itu muncul dengan album pertama mereka yang berjudul ‘Kembara’ tahun 1982 dulu.

Jadi kalau M.Nasir dan Kembara ni saya bolehlah bandingkan beliau dengan Folk singer song-writer favourite saya seperti John Lennon, Harrison, Al Stewart, Cat Stevens, Iwan Fals, Ebiet, Harry Chapin, Sting, Chiharu Matsuyama(Jepun), Mike Oldfield, Albert Hammond antaranya.

Singer song-writer adalah penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu ciptaan mereka sendiri dan juga menulis cerita di dalam lagu-lagu mereka tentang cinta kepada alam, Tuhan, manusia dan sebagainya dalam bentuk yang mereka selesa dan faham.

Ada antara mereka berjaya dengan konsep pop folk seperti Cat Stevens dan Chiharu Matsuyama (folk singer songwriter terkenal Jepun yang muncul dengan single pertamanya pada tahun 1977 dan seterusnya menjadi penyanyi terkenal negaranya sehingga hari ini ).

Cita-cita saya juga sejak awal proses mencipta lagu tahun 82 dulu memang untuk menjadi folk singer seperti M.Nasir. Ianya tercapai pada tahun 1993 apabila saya diterima sebagai artis rakaman Luncai Emas pada tahun berikutnya selepas sesi ujibakat bersama M.Nasir di studio rakamannya yang terletak di Sungai Buloh.

Berbangga kerana sebagai seorang folk singer juga songwriter saya rasa saya telah melepasi tahap kelayakan dan mendapat pengiktirafan dari seorang produser dan komposer yang terkenal dan dihormati di negara kita waktu itu.

Ianya satu kepuasan yang maksimum bagi saya waktu itu.

Juga saya berbangga mengenalinya sewaktu beliau masih kekal dengan ‘attitude’nya sebagai ikon yang punya ciri-ciri rebel dalam diri sehinggalah isu kontroversinya ‘ Siapa Mahathir’ pada tahun 1996 yang telah mengakibatkan lagu-lagunya digam RTM.

Selepas itu bermulalah era keseimbangan seorang seniman yang bernama M.Nasir yang beransur-ansur diproseskan dari seorang ikon yang rebel sehinggalah menjadi seperti beliau yang kita lihat hari ini.

Hari ini saya hanya melihat M.Nasir hanya sebagai seorang penghibur yang telah hilang ‘roots’nya tentang apa yang diperjuangkan melalui lagu-lagu juga melalui filem yang dibintanginya seperti ‘Kembara Seniman Jalanan’ yang diarahkan oleh Nasir Jani. Apa yang beliau miliki hanyalah semalam.

Apabila ditanya tentang apa saja, jawapannya adalah jawapan yang semalam. Beliau hanya menyanyikan lagu yang semalam. Segalanya tentang kenangan dan nostalgia, tidak lebih dari itu.

Selain menjadi selebriti untuk program-progam hiburan yang melibatkan glamour, materi dan tersengih sambil berposing di depan kamera, tidak ada apa yang boleh dibanggakan tentang M.Nasir hari ini.

Album terbaru beliau, Sang Pencinta ( 2006 ) adalah pelengkap kegagalannya sebagai seorang pengkarya yang telah hilang sentuhannya.

Karya beliau hari ini juga ternyata tidak dapat menandingi karya-karyanya yang terdahulu walaupun beliau menang anugerah juara-lagu baru-baru ini.

Tidak ada lagi lagu-lagu tentang kehidupan dan perjuangan seperti Kawan, Lindungilah Kami, Perjuangan, Hati Emas, Bas no 13, Jalan Sehala, Ekspres Rakyat dan banyak lagilah.

Sebagai seorang komposer dan penyanyi yang mendapat bayaran kutipan royalti antara yang tertinggi dari MACP saban tahun, juga kejayaan demi kejayaan dalam bentuk komersial dan materi, beliau rasanya tidak punya masalah dalam bab kewangan malah boleh dianggap jutawan juga.

Tapi itulah, kita lebih tahu untuk apa kita hidup ini sebenarnya. Jika kita anggap hidup ini hanya satu perjalanan, maknanya ianya perlulah ke arah yang lebih bermakna berbanding materi dan kegemilangan dan jika itulah tujuan untuk hidup kita di sini, untuk apa lagu ‘Tanya Sama itu Hud-Hud dicipta’?

Sekurang-kurangnya saya lebih menghormati ikon muzik folk Indonesia Iwan Fals yang masih kekal dengan jati diri, konsep dan perjuangannya di dalam lagu-lagu walau pun kehidupannya semakin redup dan penuh dengan elemen keseimbangan hari ini.

Muzik sebenarnya berperanan dalam banyak hal dan perkara yang penting di dunia ini selain hiburan. Ianya melangkaui garis politik sekalipun. Itu seperti yang dilakukan oleh John Lennon, Cat Steven, Bono(U2) dan Iwan Fals antaranya di atas pengaruh mereka sebagai Ikon yang di hormati.

Materi membentuk dan mampu mempermainkan minda kita untuk berlegar di ruang nafsu yang berlebihan walau dalam elemen apa yang kita bawa sekalipun. Nafsu ada di dalam ketuhanan, keagamaan, politik dan kehidupan. Kita juga sering memanipulasi ilmu yang kita miliki untuk kepentingan dunia dan materi.

Saya masih lagi mengharapkan karya-karya M.Nasir yang merakyat seperti dulu waktu beliau masih berbaju western kotak dan berkasut jenama Fung Keong yang itu bagi saya musim-musim terbaiknya sebagai seorang seniman berjiwa Marhaen, juga mampu mewakili golongan tersebut.

Seperti nyanyinya di dalam lagu:

“Manakah teman-temanku?
Yang sama berjuang dahulu?
Hilang sudah, hilang sudah…
Kebendaan menggelapkan .
Lupa dengan perjuangan, lupa sudah ..

Siapa orang Kita- M.Nasir dari album ‘Lagu-lagu dari filem Kembara
Seniman Jalanan’( 1986 )

## Koleksi artikel Malaysianin Insider


Page 7 of 193« First...56789...203040...Last »