Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

TENTANG DUNIA, KEBENCIAN DAN KASIH SAYANG

0 comments

Seorang kawan sering bercerita kepada saya tentang abangnya yang segala-segala tentang abangnya itu adalah hampas dan neraka belaka, tidak ada sedikit pun nilai syurga baginya. Abangnya kaki mabuk, gagal dalam perkahwinan, tidak punya visi dan masa depan. Segalanya tentang abangnya adalah subjek yang gagal belaka.

Yang saya perhatikan sering kali dia bercerita tentang abangnya yang dibenci itu, seolah dia mahu dunia tahu yang dia memang benar-benar benci akan abangnya yang gagal itu. Sehingga jika bertembung dia akan menganggap abangnya itu orang asing.

Dan dia sudah terbiasa pada setiap pertemuan dengan ahli keluarganya jika ada upacara atau majlis berlangsung, mereka akan menasihatinya agar memaafkan abangnya yang gagal itu. Dan seperti biasa juga kawan saya ini akan membalasnya dengan jawapan yang sinis dan sarkastik sekali.

Baru-baru ini kita bertukar-tukar pendapat tentang subjek kebencian dan kasih-sayang. Bagi saya benci itu termasuk dalam folder dan acuan kasih sayang juga. Walaupun benci dan meluat, jika kita masih mengingati walau dalam nilai kebencian yang amat sangat sekalipun, maknanya yang kita benci itu masih juga dalam ingatan.

Mengapa kawan saya itu sering menceritakan kepada saya tentang abangnya yang gagal itu? ini kerana dia masih mengingati abangnya itu, perasaan marah dan dendam akan kisah masa lalu mereka menjadikan skrip takdir tidak begitu menarik.

Semua ahli keluarganya menasihati agar apa salahnya dia maafkan kegagalan abangnya dan menerima keadaannya seadanya.

Dia agak tersentak dengan pandangan saya tentang kasih-sayang dan kebencian. Lama dia termenung sehingga sebak dan akhirnya dia mengakui yang pendapat saya itu ada benarnya.

Saya tidak memerlukan jawapan, yang saya harapkan jika pendapat saya itu boleh membuatkan dia berfikir dan merenung, itu sudah memadai.

Apa yang dimahunya cuma abangnya akan berubah menjadi manusia yang punya tanggungjawab, sekurang-kurangnya pada diri sendiri. Dan jika itu yang berlaku, apakah itu akan membuatkan kasih sayang mereka sebagai adik beradik akan kembali bertaut ? Mungkin ya dan mungkin juga tidak.

Apabila segalanya berubah dan kita sudah menemukan jalan bahagia masing-masing, menerima dan memahami itu sudah memadai kerana segala yang berlaku itu ada hikmah dan ceritanya.

Mana mungkin kita mampu mengubah dunia yang penuh dengan cerita yang berwarna-warni ini ? Cerita dunia berjalan mengikut kehendak skrip. Dunia tidak pernah punya cita-cita dan impian melainkan kita, penghuninya.

Dunia menerima siapa kita seadanya, walau dia tidak pernah peduli siapapun kita. Ianya umpama pentas untuk kita melakonkan watak-watak kita di dunia ini. Dan dunia ini memang tidak akan adil pada penghuninya kerana ia tak punya perasaan.

Yang punya masalah yang melibatkan hal tentang dunia dan permainannya adalah kita. Kita dikurniakan perasaan, segala jenis perasaan samada melibatkan suka atau mahupun duka.

Cuma untuk hidup di dunia ini dan merasa nikmat tenang jiwa, kita perlu melupakan apa saja cerita tentang semalam kerana itu hanyalah ilusi semata. Kita tidak perlu terperangkap dengan khayalan dunia dan merasakan semalam adalah milik kita. Kita tidak pernah memiliki apa pun!

Adakah dunia ini bersimpati dengan nasib penghuninya? Tidak sama sekali! Tsunami, Taufan Haiyan yang melanda Filipina baru-baru ini, juga terbaru banjir besar di Kuantan, inilah kenyataan dan inilah cerita-cerita sedih yang perlu kita hadap dan untuk kita mengakui, dunia ini sudah tua dan semakin reput.

Dunia juga umpama batang tubuh kita. Sampai masa kita juga akan reput, cuma khayalan dan ilusi tentang dunia dan mimpinya ini yang masih melekakan kita sehingga menjadikan kita manusia yang penuh dengan nilai-nilai benci antara sesama kita.

Walaupun kita yang berugama ini kalau boleh tidak menggalakkan para umat agar menjadi para sufi sejati, ascetic mahupun golongan sadhu yang sanggup melupakan cerita-cerita indah dunia melainkan misi mereka adalah menyambut kedatangan ‘mati’ dengan lapang hati, nyata kita lah yang masih bergelut dan sedang berkeluh-kesah sambil sibuk menghitung segala amal untuk mendapatkan pahala dan dosa sebanyak yang mungkin.

Sedih sebenarnya cerita kita ini. Dunia menjadikan kita hidup dalam angan-angan yang tak berkesudahan. Tahap kefahaman kita dalam mengenal masih di peringkat asas dan kita masih mengulang dan mengingatkan perkara lama yang sama yang jelas sudah ada di ingatan.

Sedangkan apabila ingatan kita yang juga milikNya ini semakin lemah apabila sampai waktunya, kita pun secara fitrahnya gagal untuk mengingati segala apa yang telah kita lakukan di dunia ini.

Dalam artikel saya yang lepas, ada saya bercerita tentang ‘loser’ yang katanya gagal dalam hidupnya. Akhirnya saya menegur atau menasihatinya dengan ayat-ayat yang berbentuk ‘provok’. Akhirnya dia mengakui yang apa yang saya katakan adalah benar dan dia mengakuinya.

Kesannya sejak hari itu, ‘loser’ itu sudah tidak kelihatan lagi sehinggalah saat saya menulis ini. Saya selalu mengharapkan dia mampu berubah, dan jika itu yang mampu dilakukannya, saya bersyukur.

Tidak mengapa jika pada suatu ketika dia akan lalu di hadapan saya dengan gaya seorang lelaki yang punya misi dan arah hidup, tanpa menoleh kepada saya sekalipun, saya akan menghormati dan salut akan perubahan yang telah dilakukannya.

Saya rasa kita ini masih punya cerita dan tanggungjawab, walau siapa dan apapun watak kita di dunia ini. Mungkin cara berbeza, tapi tujuannya tetap sama.

Mudah-mudahan…

**KOLEKSI ARTIKEL MALAYMAIL ONLINE


KITA BUKAN SUPERMAN

0 comments

‘ Quote’ terbaik yang berjayamenyentuh jiwa sehingga mengubah persepsi saya terhadap kehidupan ini datangnya dari abang saya yang paling tua. Apabila di waktu itu saya bertanya kepadanya tentang bagaimana keadaan bapa saya yang telah meninggal dunia sehari sebelum itu. Soalan saya, “bagaimana keadaan bapak nanti disisi Tuhan?”

Kata abang saya, “ tanggung-jawab bapak di muka bumi ini sudah selesai ”, itu saja jawapannya dan sejak dari saat itu saya mula menilai kehidupan ini dengan lebih adil dan semakin faham dengan watak saya sendiri juga sekeliling. Bapak saya meninggal dunia pada tahun 1992 dulu.

Di dunia ini penuh dengan watak-watak yang pelbagai memenuhi ruang pentas kehidupan. Ada watak baik dan ada watak jahat. Yang baik itu baiklah tapi yang jahat itu selalu kita bayangkan keadaannya yang akan masuk neraka sewaktu dia masih hidup di dunia melayan nafsu jahatnya, macamlah kita ini Tuhan pula yang mencipta dan menentukan segalanya termasuklah syurga dan neraka.

Pun apabila si jahat itu mati, biasanya kita tidak akan persoalkan di mana atau bagaimana kedudukannya di sisi Tuhan nanti. Rasa benci hanya wujud sewaktu dia hidup. Biasalah, ada yang suka dan ada yang menyampah. Secara fitrahnya kita telah melupa dan memaafkan walau siapapun dia.

Biasanya begitulah, kehidupan ini selagi kita bernafas kita hidup dan bernyawalah. Perlakuan dan perbuatan tidak punya makna disisi Tuhan sesuai dengan sifatNya yang berlawanan dengan segala yang baru, melainkan kita yang punya nafsu mengikut sistem hukum dan peradaban sewaktu di dunia ini.

Itu sebab kita jangan hairan jika orang yang jahat di dunia ini mungkin tempatnya di syurga juga dan orang yang penuh dengan amal dan ibadatnya mungkin tempatnya di neraka. Dia memberi kepada siapa yang disukanya, adakah kita punya hak untuk menafikan? Siapa kita untuk bertanya tentang cerita dan rahsia apa yang dijadikanNya?

Dan kita tidak akan tahu apa yang tersirat di dalam hati semua para manusia. Kita hanya menilai melalui luaran dan perbuatan antara sesama kita. Mungkin si jahat itu lebih mulia hatinya dari si baik yang hanya pandai bertopengkan kebenaran. Di dunia ini imej baik tetap menjadi pilihan walau kita sering tertipu dengan tipu daya kehidupan di zaman ini.

Perhubungan antara saya dan bapak saya sebenarnya sangat jauh walau dekat. Saya takut dengan bapak saya itu sebab sikap cengeh dan garangnya. Itu sikap tipikal orang-orang tua dulu. Beliau sangat jarang menunjukkan kasih-sayangnya pada saya, anak yang paling bongsu dalam 8 adik beradik. Sehingga saya tidak dapat merasai nikmat rasa kasih dan sayangnya mengalir dalam diri saya, berbanding emak.

Sehingga saat kematiannya walau saya menemani jenazahnya waktu menaiki van dari hospital Ipoh ke Bruas, tidak ada perasaan sedih di hati. Itu saat yang saya kesalkan, tapi itulah perkara paling jujur yang saya lakukan saat itu.

Saya hanya merasakan ‘saat’ yang terbaik bersama bapak saya sewaktu hari pertama persekolahan di mana bapak saya akan membonceng basikal tua dan saya duduk di belakangnya. Dibelinya saya mi goreng berharga 15 sen waktu itu di kantin sekolah.

Ke duanya sewaktu hari pemergiannya ke tanah suci di mana dikucupnya dahi saya sambil menangis dan memeluk saya, anaknya. Saat itu saya terasa kasih-sayangnya dan saya juga turut hiba waktu itu.

Ke tiga sewaktu bulan puasa, dan saya waktu itu di tingkatan 3 persekolahan. Waktu bersahur beliau ada memberi saya nasihat sebagai seorang bapa kepada anaknya. Saya agak terkesan dengan nasihatnya sehingga ke hari ini.

Selainnya perhubungan kami agak jauh sebab saya akui takut dengan bapak saya itu. Pernah saya dirotannya sehingga hampir pengsan hanya kerana melakukan sedikit kesalahan sebagai seorang anak. Saya akui ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju dengan bapak saya, tapi saya tetap menyanjungnya sebagai seorang bapak. Tanpanya mana mungkin saya lahir ke dunia?

Saya hanya merasakan perhubungan yang mesra 2 atau 3 tahun sebelum pemergiannya untuk mengadap Illahi. Ianya membuatkan saya janggal dan kekok walau beliau ada bergurau, saya tidak dapat merasainya dan saya rasa bersalah dalam hati sebenarnya.

Kesannya perhubungan saya dengan anak-anak sentiasa saya zahirkan makna kasih dan sayang itu. saya mahu mereka merasai rasa kasih dan sayang saya kepada mereka setiap detik dan waktu kalau boleh. Saya tidak mahu mereka merasa asing dengan saya, ayah mereka.

Kita perlu melakukannya dengan ikhlas, umpama perhubungan kita dengan Tuhan juga. Kita perlu melakukan segala amal itu kerana Tuhan, bukan kerana ganjarannya. Kita jaga anak kita sampai mereka dewasa dan mula berdikari, selebihnya kita serahkan kepada takdir untuk menentukan.

Adalah sesuatu yang menyedihkan jika mereka akan melupakan jasa kita, tapi saya percaya benda baik yang kita sematkan di jiwa mereka akan kekal menjadi darah dan daging sehingga ke akhir hayat. Jika kita percaya pada Qada dan Qadar, mengapa kita masih punya rasa sangsi dan wasangka?

Saya percaya perhubungan kita sesama manusia perlu dizahirkan, bukan disimpan di dalam hati. Kasih sayang umpama benih yang perlu dijaga dan dibaja selalu agar terus subur. Perhubungan insan saling bertaut seiring pengertian dan kefahamannya tentang kehidupan dan alam ini.

Seorang kawan pernah meminta pandangan saya tentang bapanya yang kaki judi, tidak pernah bersolat, puasa dan sebagainya. Kawan saya ini seorang muslimin yang baik. Saya kata baik kerana itu memang sifat semulajadinya cuma agak naif dalam menilai kehidupan.

Saya katakan padanya, walau apa sekalipun yang bapanya lakukan, dari segi perbuatan mahupun perlakuan, dia tetap seorang bapa kepada kawan saya itu. itu bukti wujud kejadian ini yang saling bertaut dan memerlukan. Apa yang terbaik yang mampu dilakukan adalah bersabar dan berdoa agar dibukakan pintu hijab agar bapanya kembali menemui lorong yang sepatutnya.

Untuk lebih nyata, dengarlah lagu ‘Nyanyi Anak Seorang Pencuri’ nyanyian penyanyi folk lagenda Indonesia, Gombloh. Saya percaya jika kita mendengar setiap bait lirik lagu itu dan maksudnya, kita akan lebih mengerti siapa sebenarnya kita ini dan untuk apa kita di sini sebenarnya.

Selainnya, jalanilah kehidupan ini seadanya dan harus diingat, kita bukanlah ‘Superman’.

(Koleksi artikel sewaktu menulis di Malaymail online)


IWAN FALS SUDAH MATI ( BERSAMA SOEHARTO)

0 comments

Baru-baru ini saya telah berjumpa dan berlabun dengan seorang kawan lama, Zunar si kartunis terkenal itu. Saya kenal Zunar sejak hujung tahun 1987 lagi kalau tak silap. Waktu itu beliau bekerja di syarikat majalah Gila-Gila. Zunar waktu itu dari segi ‘attitude’nya kawan-kawan sudah mengenalinya sebagai individu yang rebel dan berpegang kepada falsafah hidupnya yang tersendiri.

Saya pula lebih gemar bertukar-tukar pandangan dengan beliau tentang muzik dan falsafah. Dan kami juga penggemar muzik folk Indonesia seperti Iwan Fals, Doel Sumbang, Gombloh, Franky Sahilatua dan Ebiet antaranya.

Saya bertanya pendapat beliau tentang Iwan Fals hari ini. Katanya, “ Iwan Fals sudah mati bersama Soeharto”. Katanya lagi tidak sepatutnya Fals hari ini terlalu merendahkan level ‘ikon’nya dengan menyanyikan lagu-lagu cinta yang sama tarafnya dengan penyanyi pop Rano Karno.

Tambahnya lagi album Iwan Fals in Love ( 2005 ) dan 50:50 (2007) melengkapkan kegagalan seorang pengkarya bernama Iwan Fals yang akhirnya cair dengan kehendak pasaran muzik Indonesia yang semakin tidak punya nilai artistiknya hari ini.

Menjenguk ke belakang, saya mula tertarik dengan Fals tatkala terbaca kisahnya dalam keratan kecil di majalah URTV awal tahun 80an dulu. Tertarik kerana kata-katanya yang masih saya ingat “ biasa-biasa saja dong! Nanti mati pun jadi tanah juga”, dan beberapa tahun kemudiannya apabila berhijrah ke Kuala Lumpur saya mula mengikuti perkembangan dan album-albumnya secara serius.

Fals atau nama sebenarnya Virgiawan Listanto, lahir pada 3hb September 1961 di Jakarta merupakan ikon muzik Indonesia yang bertaraf legenda dan punya pengaruh yang kuat terhadap anak-anak muda dari zaman awalnya sehinggalah ke hari ini.

Di negara kita ini Fals tidaklah sepopular Ebiet G.Ade yang meletup di awal tahun 80an dengan lagu Camellia 2 dan Berita Kepada Kawan. Tidak ramai penggemar beliau atau mungkin buruh kontrak yang bekerja di sini juga kebanyakannya bukanlah peminat Iwan Fals.

Mereka lebih suka mendengar muzik dangdut semasa atau yang terbaru penyanyi cilik Tegar yang meletup namanya di Indonesia termasuklah di Malaysia.

Penggemar muzik Fals hanyalah di kalangan kita yang mengikuti perkembangan muzik dan alirannya secara serius.

Banyak sangat albumnya yang saya beli dulu tapi yang paling berkesan bagi saya album ‘ Mata Dewa ( 1989 )’, ‘Cikal ( 1991 )’, ‘Belum ada Judul( 1992 )’ dan ‘Anak Wayang ( 1994 )’.

Kolobrasi Fals yang paling menjadi bagi saya sewaktu berganding dengan seorang lagi penyanyi folk unik Sawong Jabo dalam album Anak Wayang. Dari segi senikata dan bahasa, saya lebih tertarik pada kata-kata yang ditulis oleh Jabo berbanding Fals.

Sewaktu album projek band Swami ( 1989 ) dan Kantatatakwa ( 1990 ) diterbitkan penerbit jutawan Setiawan Jodi membabitkan Rendra, Jabo, Setiawan dan beberapa nama lagi, saya beli juga album-album mereka itu tapi itu bagi saya tidaklah menyengat sangat walau Swami meletup dengan lagu Bento dan Bongkar.

Kata Zunar, “ dulu Fals pun menyanyikan lagu-lagu cinta juga, tapi lirik-liriknya bijak dan rugged seperti lagu ‘22 Januari’ ‘Sebelum Kau Bosan’, ‘Buku Ini Aku Pinjam’ ‘ Antara Aku, Kau dan Bekas Pacarmu’ antaranya, tapi selepas album Mata Dewa lagu-lagu cintanya tidak punya value dan macam level budak sekolah menengah”.

saya bersetuju dengan pendapat beliau itu. Memang Fals yang dulu bukanlah yang sekarang. Perjalanannya dari seorang pejuang yang rebel dalam seni dan reformasi atau dari era tidak konvensional menuju ke era konvensional dan hari ini beliau hanya menjadi pujaan anak-anak muda yang sangat mengkaguminya walau beliau sudah tidak punya apa cerita untuk diperjuangkan.

Bagi saya yang paling nyata dan drastik tentang perubahan ‘attitude’ Fals pertamanya apabila anak sulungnya Galang Rambu Anarki meninggal dunia pada tahun 1997 dan bila era Soeharto berakhir pada pertengahan tahun 1998.

Kesan kematian anaknya Galang begitu menusuk ke jiwa Fals sehingga beliau mengambil keputusan untuk berehat sehingga tahun 2002 apabila muncul dengan album Suara Hati ( 2002 ).

Berbanding antara semua penyanyi folk yang hebat seperti Franky, Ebiet, Gombloh, Doel, Sawung Jabo mahu pun Leo Kristi, kalau dari segi popularitinya Iwan Fals paling berjaya dan sukses. Franky dan Gombloh sudah meninggal.

Ebiet pula semakin menyepi dari segi karya melainkan hanya menyanyikan lagu-lagu lamanya dan lagu-lagu selepas album Camellia 4 nya tidaklah menyengat sangat. Doel pula terus hanyut dalam dunia Jaipang dangdutnya yang basa-basi itu.

Jadi hanya Fals yang paling berjaya dan namanya terus hidup sehingga gambar dan ceritanya terpampang dalam majalah Rolling Stones versi Indonesia edisi Mei 2007.

Saya mungkin memahami kehendak dan fitrah alam memang begitu ceritanya. Semua penyanyi yang saya kagum dulu sebenarnya hanya bagus di waktu dan saat itu. Waktu di mana segalanya bermula dari kosong. Di mana segalanya dibentuk mengikut apa kata hati tanpa punya kepentingan yang besar.

Apabila terbentuknya acuan dari kehendak dan pembawaan biasanya mereka akan bermukim di situ untuk suatu tempoh apatah lagi jika gaya dan acuan mereka diterima khalayak. Pun di waktu itu mereka mungkin bujang trang tang tang dan tidak punya komitmen yang besar dalam hidup.

Itulah musim yang pernah dilalui oleh artis-artis seperti Ebiet, Fals, M.Nasir juga Sohaimi Mior Hassan. Musim yang terbaik hanya akan datang sekali di dalam hidup. Apabila kita telah melewatinya seiring usia yang semakin menginjak ke depan, kehendak jiwa yang lebih mengimpikan suasana yang redup dan damai akan membawa kita ke wilayah itu tanpa kita minta. Takdir membawa kita ke mana saja yang disukaiNya.

Hari ini saya tidak mengharapkan apa-apa karya pun dari seorang pengkarya bernama Iwan Fals. Album terakhirnya yang saya miliki itulah 50:50 .Segalanya sudah tertulis untuknya, juga untuk kita memilih siapa yang kita suka atau tidak. Apa pun saya masih mendengar lagu-lagu lama Iwan Fals sehingga ke hari ini.

Artikel ini telah disiarkan di portal Malaymailonline


Page 8 of 193« First...678910...203040...Last »