Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

PASAR SENI – DULU DAN SEKARANG

0 comments

Antara musim yang terbaik bagi saya sebagai seorang anak muda sedang mencari arah hidup adalah sewaktu melepak saban hari di Pasar Seni (Pasar Budaya) pada pertengahan tahun 80an dahulu sehinggalah ke tahun 2005.

Pasar Seni yang yang dinaiktaraf secara rasminya sebagai pusat yang membudayakan kesenian pada pertengahan tahun 80an dahulunya adalah Pasar Basah yang menjual ikan, daging, sayur-sayuran, barangan runcit dan keperluan harian.

Bangunan tersebut mula dibina pada tahun 1888 oleh pihak British dan disiapkan sepenuhnya pada tahun 1937.

Kedudukannya yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur membuatkan ianya unik kerana Pasar Seni tidaklah sama dengan mana-mana kompleks beli belah komersial popular yang terdapat di Kuala Lumpur waktu itu seperti Petaling Street, Kompleks Campbell, Pertama Kompleks, Sungai Wang Plaza mahupun Sogo.

Unik kerana di dalamnya terkandung segala macam bentuk nilai kesenian yang berteraskan kejiwaan tanpa melibatkan banyak kepentingan dan elemen kebendaan. Kemudahan pengangkutan bas dan teksi juga mudah didapati.

Pertama kali ke sana sewaktu ianya dibuka pada 15h April 1986 jiwa saya terus melekat sehingga Pasar Seni itu sudah saya anggap seperti rumah ke dua saya.

Bagi saya dan rakan-rakan yang sama-sama menghabiskan masa di sana, kami anggap Pasar Seni itu adalah sebuah‘Universiti Kehidupan’.

Apa istimewanya sangat Pasar Seni pada waktu itu ? Banyak sebab – antaranya di situlah tempat saya dicekup sewaktu sedang busking dengan dengan rakan seperjuangan di ruang pejalan kaki Hang Kasturi oleh para pegawai polis cawangan IPK, lantas digari, diangkut ke dalam van untuk ujian air kencing di lokap pudu pada tahun 2005.

Sempatlah saya bermalam di lokap tersebut selama empat malam sebelum menunggu hasil keputusan ujian dari hospital.

Saya juga memulakan karier busking saya di situ pada tahun 2000 dahulu. Jadi ianya memang tempat yang menemukan saya dengan segala macam rasa suka duka peristiwa dan pengalaman hidup sepanjang bergelar manusia di muka bumi Tuhan ini.

Di dalamnya juga terkandung segala macam perangai dan sikap manusia yang boleh kita tonton.

Ada orang gila, ada orang sihat, ada 1001 macam sikap dan ragam manusia dan yang paling penting terdapat pula sebuah restoran mamak untuk kita melepak minum teh tarik dari siang sampai ke malam bersembang tentang hal-hal dunia dan falsafah semaksimumnya.

Ada aktiviti busking, juga ada geng-geng tiang lampu yang diketuai oleh seniman Sani Sudin, Nasir Jani, Pyanhabib dan geng-geng seniman rabak melalak bersajak menggamit anak-anak muda untuk enjoy dengan persembahan mereka.

Sepanjang saya melepak di sana, memang ramai orang gila mencari jiwa atau jiwa yang tersangkut yang datang. Saya tidak tahu apa yang mereka cari tapi seakan ada sentuhan magnet yang menarik jiwa mereka untuk ke situ.

Mungkin juga saya tergolong di kalangan mereka yang gila itu, saya pun tidak pasti tapi jika sehari saya tidak ke situ terasa macam tak sempurna hidup saya untuk hari itu.

Seperkara yang pasti di situ juga ramai kawan yang sealiran dan itu yang membuatkan Pasar Seni itu tempat perjumpaan yang membahagiakan jiwa.

Teringat saya dalam satu babak dalam filem Little Buddha (1993) arahan Bernardo Bertolucci lakonan Keanu Reeves, yang mana dalam satu babak seorang guru telah membisikkan sesuatu ke telinga anak muridnya yang katanya ‘tali itu jika terlalu tegang akan putus, jika terlalu kendur tidak berfungsi pula. Kita perlukan keseimbangan’.

Apabila kita tidak berkepentingan sangat dalam banyak hal-hal dunia saya percaya kita lebih ikhlas dan lebih jujur terhadap diri kita sendiri, mungkin terlalu telus memungkinkah kita tersalah memilih arah samada terang mahu pun gelap. Pun ianya hanyalah sekadar proses semata.

Setiap detik adalah pelajaran dan Pasar Seni secara tidak langsungnya telah membukakan mata dan pengalaman saya dalam mengenal makna hidup dengan lebih jelas dan nyata. Banyak yang saya pelajari sewaktu di situ.

Pasar Seni telah dinaiktaraf sebanyak dua kali iaitu sewaktu pelancarannya pada 15hb April 1986 oleh Menteri di waktu itu Datin Paduka Rafidah Aziz.

Ianya juga telah dinaiktaraf untuk kali ke dua pada 15hb April 2004 dan untuk kali ini saya boleh katakan Pasar seni sudah kurang nilai seninya lagi melainkan penuh dengan elemen materialistik.

Segala ruang di niaga dan dinaikkan kadar sewa sehingga berkali ganda demi untuk memenuhkan kantung para pemodal yang rakus.

Yang menjadi mangsanya adalah para peniaga terutamanya golongan seniman yang melukis sepenuh masa di situ. Kerjaya seni kreatif dari segi untungnya sangat subjektif dan agak bergantung kepada nasib juga.

Ruang lepak di jalan Kasturi yang sebelumnya milik DBKL sudah menjadi sebahagian nadi Pasar Seni. Saban hari tempat itu penuh dengan pihak penguasa dari RELA mahupun Special Branch
(SB) yang mengawasi setiap waktu.

Salah satu sebabnya kerana kehadiran para warga asing dari Indonesia, Myanmar, Nepal mahupun Bangladesh yang memenuhi kawasan tersebut, maka apabila itu berlaku timbullah segala macam masalah sosial yang berlaku seperti pergaduhan dan kejadian jenayah.

Maka dari sehari ke sehari semakin hilanglah seri Pasar Seni yang sudah ditukar nama Pasar Budaya. Ruang busking untuk anak-anak muda di jalan Kasturi sudah di ubah suai menjadi ruang dereten Kiosk untuk disewakan kepada para peniaga.

Apabila setiap ruang itu adalah ringgit semata maka dari segi nilai artistiknya bagi saya semakin kuranglah melainkan nilai seni yang plastik. Maka itu bagi saya tidak ada bezanya Pasar Seni hari ini dengan Petaling Street mahupun Sungai Wang Plaza yang terletak di Bukit Bintang sana.

KOLEKSI ARTIKEL MALAYSIAN INSIDER

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.