Notes:
Ramadhan dan Kenangan
Kehidupan ini adalah mimpi yang nyata. Datangnya hanya sekali. Sekali kerana kita tidak akan dapat mengembalikan mimpi yang kita terjemahkan sebagai kenangan itu datang bila-bila masa kita mahu. Mimpi seawaktu tidur adalah khayalan dan kosong tanpa rasa. Jadi mimpi semasa tidur itu jangan kita endahkan sama sekali kerana ianya hanya putaran yang nakal dari akal kita bahkan mampu menjadi virus jika kita mempercayainya.
Kita semua saya percaya mempunyai kenangan atau masa lalu yang manis mahupun pahit dalam hidup. Kenangan hanyalah sekadar kenangan, jangan dikenang sangat kerana kita tidak boleh hidup dengan berbekalkan kenangan . Kehidupan yang nyata adalah hari ini dan saat ini.
Kenangan akan datang dengan sendirinya tanpa kita minta. Di bulan puasa saya suka mengimbau kenangan zaman kanak-kanak di kampung. Bersahur pukul 4 pagi, memang leceh sebab di kampung cuaca sejuk sangat. Kampung saya dikelilingi bukit bukau. Emak saya akan menghidangkan sarapan untuk sahur. Kami akan makan bersama, emak, arwah bapak, kakak dan abang saya. Banyak sangat minum ais, bila waktu siang memang dahaga. Ha ha ha..Pernah saya tak tahan sangat waktu mandi sungai saya minum air sungai. Jadi saya hari itu macam puasa tapi tak puasa.
Bagi saya hari raya adalah untuk kanak-kanak. Orang tua sikit-sikit sudahlah. Terlebih-lebih nampak pulak kita ni menunjuk-nunjuk. Itu nawaitu sudah lain tu. Saya dulu menyambut hari raya dengan kadar gembira sebanyak 120%. Ha ha ha
Persediaannya macam-macam. Dari stok mercun, meriam tanah, beli baju raya, kasut raya. Segalanya baru. Jadi sambutannya kita sambut pada malam raya dengan kawan-kawan kampung. Bila malam raya kakak-kakak dan abang saya balik kampung untuk beraya, jadi moodnya memang bestlah. Suasananya memang menarik.
Apabila menginjak usia dewasa, moodnya lain pulak terutamanya sewaktu musim rebel. Moodnya murung. Puasa disambut seperti hari biasa. Itu kita kata anti-sosial. Saya buka puasa hanya dengan coklat dengan air tin. Hari raya pulak, makan meggie di rumah bujang, dan tahun-tahun seterusnya hari raya saya busking macam biasa di Pasar Seni. Saya pun tak tahulah tapi itulah musim-musim saya dalam menyambut ramadhan dan hari raya.
Yang terbaik adalah apabila kita menuju ke musim keseimbangan. Kita raikan seadanya. Kita cuba memahami kehendak kita sesuai dengan sifat insan. Pandang satu pada yang banyak, yang banyak pada yang satu. Insyaallah kita tidak akan kesunyian.














