Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

SELAGI ADA NYAWA DI BADAN

0 comments

Jika anak kecil yang baru lahir itu berwajah hodoh atau cacat dari segi fizikalnya, lahirnya tidak akan membawa rasa malu terhadap persekitarannya. Dia akan bebas bermain dan bermesra dengan siapa sahaja yang dekat dengannya. Sehinggalah dia masuk ke alam persekolahan.

Fitrah manusia memang sukakan yang indah-indah dan cantik belaka. Maka si anak yang malang itu akan dihina oleh kawan-kawannya kerana mereka di kalangan anak-anak yang sama membesar dan se usia malah masih mentah dalam berfikir. Alangkah simpatinya bagi kita yang melihat adegan caci mencaci di kalangan mereka. Betapa remuknya jiwa yang tertanam di dada si anak yang kurang bernasib baik itu, bahkan mungkin membawanya menjadi manusia yang pendendam kepada sesama manusia atau Tuhan yang menjadikannya.

Maka membesarlah si anak itu dengan penuh rasa rendah diri sehingga enggan menatap wajahnya di cermin lagi. Maka ibu-bapa sangat berperanan dalam membentuk nilai keyakinan si anak itu kesan masa lalunya yang menyedihkan.

Saya pernah melihat seorang pemuda cacat anggota yang berkerusi roda di sekitar Pasar Seni di tahun 90an dulu. Anak muda itu memang membenci dunia dan persekitarannya. Habis segala manusia yang lalu lalang dimaki ikut sedap mulutnya sahaja. Saya suka memerhatikan sikapnya yang angkuh itu. Dan saya tahu alam telah lama memaafkannya. Waktu itu saya sering bertanya kepada diri, apa yang dimarahkannya sangat? Kepada Tuhan? Kepada alam? Kepada manusia yang kebanyakannya sihat dan berwajah tampan atau jelita? Mengapa nasib tidak baik itu datang kepadanya, bukan kepada orang lain. Alangkah bagusnya jika semua manusia itu cacat sepertinya dan mungkin dia akan kembali senyum dan bersikap ramah tamah antara sesama.

Sebetulnya beberapa hari yang lalu saya terpandang seorang anak kecil dalam usia sekitar 3 tahun mungkin berjalan-jalan di hadapan saya dengan penuh girang hati sambil kepalanya bergoyang-goyang mengikut rentak lagu yang saya nyanyikan. Kemudian ibu dan bapanya datang kepadanya lantas mendokong anak mereka dengan penuh kasih-sayang. Anak kecil itu cacat wajahnya bukan mentalnya.

Anak saya pula fizikalnya sihat tapi mental nya bermasalah.

Apa misterinya yang Tuhan kurniakan kita dengan ujian yang sebegini? Setiap kali saya memandang wajah anak saya yang Autisma itu, saya tidak ada jawapan melainkan itulah wajah saya juga dan kesedihan ini tidak ada akhirnya. Apa guna segudang harta jika dia masih di situ dan kita masih bersenang lenang membelek wajah kita di cermin sambil menilai setinggi mana tahap hensem dan lawa kita ini? Dan apabila saya pejam mata sambil menghitung saat untuk pulang ke rahmatNya, anak saya itu tanpa reaksi atau mungkin akan ketawa melihat mata saya terpejam untuk selama-lamanya. Inikah pengakhiran untuk sebuah cerita sedih?

Saya masih terus melangkah untukNya…selagi ada nyawa di badan…

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.