Notes:

untuk pesanan album-album meor yusof aziddin boleh sms 012-5901798..tq

SKRIP DAN CERITANYA

0 comments

Sedar tak sedar umur saya sudah menjangkau 45 tahun.Dalam meniti usia yang sebegini banyak sistem urat dalam badan yang sudah mengendur dan tidak seperti 20 tahun lalu. Memandu terlalu lama pun dah timbul bengkak-bengkak urat kaki. Selagi hidup kita raikanlah mana yang boleh dan termampu.

Dalam hal ehwal perjalanan pula penyatuan dan redha adalah subjek wajib untuk kita tuntut dan faham.Jika segala urusan semakin dipermudahkan itu sudah memadai. Perhubungan saya dengan Tuhan dan alam pun semakin baik, juga kurang merungut dan mengeluh.

Semalam ada orang gila bernyanyi berlagu bersama saya. Bila dia sampai dan ucapkan Assalamualaikum dalam nada yang tegang, saya sudah agak dia sudah masuk ke zon lain, mungkin tanpa kerelaannya. Siang tadi pun pemuda itu datang lagi seperti semalam cuma hari ini dia tunjukkan kad OKU dan kad pesakit mental.

Saya memandangnya dengan rasa sedih juga kerana badannya masih tegap dan sihat, banyak perkara yang perlu dilaluinya sesuai dengan fitrahnya manusia yang normal. Tapi itulah, kerja Tuhan bukannya kita boleh agak. Bila saya nyanyi lagu raya rasa gembiranya tidak terkira, bila nyanyi lagu orang putih frekuensinya agak tidak masuk dengan irama yang saya lagukan. Usai lagu, dia mengucapkan salam lagi dan lagi, sehingga 10 kali berulang-alik mengucapkan Assalamualaikum.

Tadi siang saya ke Low Yatt singgah makan roti canai di kedai mamak dengan isteri, pun melihat satu pasangan yang mungkin penagih dadah yang bekerja di situ sebagai pelayan. Pun saya agak ralat juga kerana mereka boleh memilih jalan yang lebih baik sesuai dengan fitrahnya manusia yang normal. Pun apa boleh buat juga, skrip dan kalendar takdir bukan kita yang tentukan.

Cuma itulah, kita diberi pilihan dan keinginan untuk memilih kiri atau kanan. Ke duanya pun penting juga disisiNya, kerana setiap sesuatu itu ada sebab musababnya. Saya melihat pasangan penagih itu mereka juga sedang meraikan takdir mereka walau dalam mood yang berbeza, itu pilihan mereka, apa yang boleh kita kata lagi?

Hidup ini kadang-kadang memang tidak memerlukan jawapan kerana apa yang dihidang itulah yang sedang kita hadap. Kita makan kerana lapar, sampai ke perut menjadi hampas juga. Sekurang-kurang kita masih merasakan nikmat hidup sebagai manusia yang serba lemah, itu sudah memadai. Begitu? Ha ha ha

Share This Article On Facebook

468 ad

Comments are closed.